Kalau dah rezeki

February 18, 2011

Satu
Jabatan di syarikat saya bekerja nak buat Family Day. Saya, selaku ahli persatuan anti-sosial tegar, sudah mula menyenaraikan alasan-alasan untuk mengelat. Sudah hampir berjaya. Tapi, apa lah daya golongan pekerja picisan yang sememangnya patut akur dengan arahan majikan. Kehadiran diwajibkan dan nama pula tersenarai sebagai AJK kecil.

Saya pasrah.

Hari kejadian, jam 7.30 pagi saya menghadirkan diri ke keraian tersebut. Sudah ber"nawaitu", dah ambik attendance, boss dah nampak muka, boleh la pulang segera. Eheheeh!

Seawal 30 minit pertama, "misi" dah terlaksana. Kehadiran dah dicatit. Boss dah jumpa, sempat lagi bercanda mesra. Gambar pun dah diambil, menjadi bukti kukuh kehadiran saya. Cukup. Sudah boleh angkat kaki. Yeeehaaaa!

. . .

Jam sudah menunjukkan pukul 2 petang. Saya masih berada dikeraian. Entah apa sebabnya, saya masih lagi di situ. Barangkali, ahli jawatankuasa dah pasang ilmu pagar. Saya sudah tak jumpa jalan keluar. Kuat ilmu mereka ni.

Usai makan tengah hari, hadirin dijemput ke dewan. Katanya ada cabutan bertuah, acara akhir. Saya semakin sebal. Saya mengadu domba dengan sahabat.

"Lucky draw nih, tak pernah pun aku dapat!"

Selesai majlis, saya melangkah keluar dengan senyuman lebar ke telinga. Orang yang cuba mengelat, merungut tapi tetap dilimpah rezeki.

hamper = jajan



Dua
Pulang dari Indonesia, penat masih berbaki. Tapi, hati tetap mahu menggembirakan isteri, sebab saya tak bersama ketika hari jadi. Juga anak-anak. Rindu dendam mesti dilampiaskan.

Kami ke JJ Wangsa Maju. Tempat nongkrong kami sekeluarga semenjak 8 tahun yang lepas. Tempat membeli-belah. Tempat makan. Tempat anak-anak bermain. Walau sudah bercambah mall di kawasan sekitar, JJ tetap jadi pilihan. Mesti ada ilmu pelaris yang diguna. Kalau tidak, mana mungkin kami tetap setia?

Makan di Nandos. Kenyang. Mahu mencari VCD Hantu Kak Limah. Singgah pulak ke ruangan lobi. Ada pameran produk tempatan. Ada jualan. Kebetulan si anak sulung membutuhkan beg baru. Beg yang ada sudah rosak.

Ketika mahu membayar, terdengar pengumuman DJ, ada pertandingan mewarna untuk kanak-kanak. Barang-barang disediakan. Isteri saya cadangkan anak-anak untuk turut serta. Saya masih berbolak-balik, pertandingan mewarna atau Dil To Pagal Hai di TV3? Akhirnya, saya akur. Hari ini hari keluarga, bukan hari saya.

Rezeki.

Acara meraikan keluarga menjadi lebih manis bila anak-anak diumumkan sebagai pemenang.



Hanim, tempat pertama (4-6 tahun). Hanis, 4 terbaik (4-6 tahun). Haris, hadiah saguhati (7-9 tahun).

Sekali lagi, perkara yang tak terjangka masih dilimpahkan rezeki.

Rezeki keluarga.


Alhamdulillah.

You Might Also Like

0 comments

Press

press