Pengalaman Oscar Saya

April 05, 2011

Baju di badan sudah lencun dengan peluh. Hangit. Masam. Seakan tenggelam bau minyak wangi Munif Hijjaz yang disembur separuh botol tadi. Baju batik sutera tempahan khusus buatan tangan Jaafar Oniwa bagaikan guni bawang, kesat dan kasar. Entah apa yang suteranya tak tau lah. Sesekali bila diselak, nampak kesan birat-birat merah di badan. Silap birat, boleh jadi bahan panas untuk ruangan gossip majalah Mangga kerana tersangka love bite. Kalau tidak memikirkan ini pakaian tajaan, haram aku nak pakai. Kualiti kainnya satu hal, corak-corak bunga mataharinya satu hal.

Suhu dalam kereta pulak dah jadi macam dalam sauna. Panas meluap. Entah apa silapnya, waktu macam ini jugak lah aircond tak berfungsi betul. Yang keluar hanya angin menderu. Penyejuk takde langsung. Tingkap kereta masih tidak dapat dibuka. Macam mana lah si Maman boleh bersetuju dengan tawaran syarikat Protot untuk tajaan kenderaan. Wira Limo-sen SE. Katanya direka cipta khas sempena kejayaan aku yang julung kalinya mengharumkan negara. Entahlah. Reka macammana sekali pun, masalah power window masih tetap ada. Trademark Protot agaknya.

Urusan penajaan dan perjalanan aku ke kota New York aku serah sepenuhnya kepada pengurus yang jujur berkhidmat semenjak aku mula berkecimpung dalam bidang seni. Maman, atau nama penuhnya Calman. Orangnya tinggi, kurus dan berkulit hitam manis. Mukanya ada iras Afdlin Shauki, tapi penuh jerawat kesan pengambilan pencuci muka yang tidak konsisten. Dari segi execution, Maman memang tip-top. Cuma dari segi urusniaga, pernah sekali aku hampir-hampir melakukan tugasan secara percuma dek kerana kelurusan Maman. Senang sangat dibolak-balikkan. Kalau tak mengenangkan persahabatan yang dah terjalin semenjak zaman sekolah dulu, memang dah lama aku carik pengganti Maman.


Tersentak
Jari mulus Deq Riz mengelap peluh di dahi menghilangkan lamunan. Sambil tersimpuh sopan di kerusi depan, Deq Riz keluarkan compact powder dari beg make-up merah jambunya. Dengan perlahan dan santun, bedak yang dah mencair di muka mula diperbaiki. Sesekali bila mata bertentangan, ternampak senyuman manja Deq Riz. Manis orangnya. Matanya yang semulajadi kuyu, bagai menyimpan rasa sedih. Kulitnya putih melepak, tak menampakkan dia bagai anak Melayu tulin. Walhal, bila diteliti susur galur keluarga, tak seorang pun yang pernah berkahwin campur. Ada juga terdengar-dengar cerita, tapi aku malas melayan. Asal kerjanya bagus, sudah. Maman lah yang cadangkan supaya aku ambik Deq Riz untuk bekerja. Kata Maman, elok lah ambik Deq Riz jadi tukang solek, takde masalah bila bersentuhan. Semahram.

Bahang panas tadi sudah mula berkurang. Mungkin faktor hari sudah menjengah malam yang menyejukkan suasana. Peluh pun sudah berkurangan. Kiri kanan, lampu neon sudah menerangi jalan. Kota New York sudah mula berkilauan dengan lampu berwarna-warni. Cantik. Sesal juga tinggalkan kamera EOS 7D di hotel. Maman lah ni. Kata Maman, orang New York ambik gambar pakai kamera telefon je. DSLR katanya orang Malaysia je yang pakai. Bila ke New York, gaya pun kena lah New York. Entah iye entah tidak.

Perjalanan masih berbaki 30 minit, kata pemandu. Pejam celik pejam celik, sampai lah ke dewan Kodak Theater tu nanti. Saat untuk menunggu keputusan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik peringkat antarabangsa semakin hampir.  Tercalon pun sudah cukup hebat, apa lagi kalau menang. Dan hati mula berdebar kencang. 30 minit bukan lama. Sekejap. Sekejap itu juga aku rasakan perjalanan untuk sampai ke tarikh hari ini.

Siapa sangka, keputusan nekad untuk berhenti kerja dan menyertai program Pilih Kasihku anjuran sebuah syarikat televisiyen Malaysia sememangnya membuahkan hasil. Dinobatkan sebagai juara, tawaran untuk berlakon melimpah ruah. Bagai tiada henti. Dan, tawaran Tan Sri Chuhaimi menjadi pemangkin kepada kejayaan hari ini. Arahan beliau untuk filem "Dari Melaka ke Carcossa Negara", merupakan karya terhebat bagi filem dari Asia. Mendapat pujian yang tak putus-putus, sehinggalah sampai tercalon di anugerah Oscar. Sayang, Tan Sri tak dapat bersama nak meraikan kegembiraan hari ini. Tanggungjawab dan keghairahan beliau untuk menyiapkan filem terbarunya, "Ada apa dalam botol?", menuntut beliau untuk berada di lokasi penggambaran. SMS nya kejap tadi, sekarang berada di Sungai Ular untuk adegan berkejaran di tepi pantai.

Aku tersenyum. Aku sememangnya beruntung dikelilingi orang-orang yang hebat.


Teruja
Pemandu sudah memberikan signal masuk ke simpang. Dewan semakin hampir. Sudah terdengar hiruk pikuk orang awam yang menjerit memanggil-manggil artis kesayangan mereka. Aku sendiri teruja. Teruja bila terbayang aku akan berada dalam upacara yang dipenuhi dengan orang-orang ternama. Siapa sangka, artis ihsan undi rakyat Malaysia macam aku kelak boleh bersalam dengan Al-Pacino, Nicholas Cage dan juga Britney Spears. Pengacara malam ni katanya Angelina Jolie dan Brad Pitt.

Hebat.

Kereta semakin hampir ke tempat menurunkan VIP. Aku memperkemas-kemaskan ketrampilan diri. Maman dah lama turun untuk berurusan dengan penyambut tetamu. Deq Riz memperbetul-betulkan tatarias mukanya. Masing-masing cuba mengawal emosi diri. Berdebar, teruja.

100 meter menghampiri tempat perhentian, Maman masuk kembali ke dalam kereta. Mukanya merah padam. Dadanya naik turun, bagai menahan marah yang amat. Aku dan Deq Riz berpandangan. Maman terus bisikkan sesuatu kepada pemandu. Pemandu mengangguk, dan kereta dipandu laju keluar dari barisan. Kini kami menongkah arus. Kereta semakin laju menjauhi majlis. Aku makin tak paham. Maman seperti mahu menyusun kata. Sudahnya, telancar juga dari mulut Maman.

"Kita balik hotel. Nanti aku terangkan."

Aku menunggu. Apa yang selanjutnya.

"Esok kita balik Malaysia!", Maman menyambung.

Pang! Aku terkesima. Aku betul-betul tak faham apa yang terjadi. Maman berterusan suruh aku bersabar. Kuatkan semangat. Aku betul-betul kehilangan semangat. Lemah.


Surat
Sampai di hotel, Maman terus menghidupkan TV. Siaran langsung anugerah Oscar sudah lama bermula. Terpapar persembahan Lady Gagal dan Adam Lambek yang penuh dengan aksi-aksi "dewasa". Pejuang hubungan sesama jenis ini cuba meyakinkan dakyah songsang mereka dengan cara yang kreatif. Mereka berbakat, bijak dan juga pandai mempengaruhi. Kalau tak, takkan berani 200 anak Malaysia mengaku songsang di Youtube. Sepatutnya, kebijaksanaan mempergunakan peluang tu yang patut dipelajari, bukan nya budaya gila.

Aku sudah tersandar di kerusi. Mata ke TV, tapi hati masih perih. Deq Riz masih belum berhenti menangis semenjak dari dalam kereta. Teresak-esak, sesekali muka ditekap ke bantal.

Maman melangkah perlahan. Dihulurkannya sekeping surat. Katanya, semua jawapan yang dicari ada dalam surat tu.

(setelah dialih bahasa ke bahasa Melayu)

Rul,


Akak tau sekarang ni Rul mesti sedih, tension, marah. Akak faham. Tapi ketahuilah Rul. Akak turut bersimpati dan sedih dengan apa yang berlaku.

Saat-saat akhir akak diberitahu, Rul dan krew tak dibenarkan masuk ke dalam dewan. Ada beberapa sebab. Pertamanya, ada berita mengatakan Rul tak pandai bersosial. Jadi tak sesuai untuk dibawa masuk ke majlis yang hebat sebegini. Dorang kata, kat Malaysia Rul tak salam dengan orang perempuan. Akak faham, Rul ada pendirian Rul sebab tu ada kaitan dengan agama. Tapi kat Amerika, kami tak boleh terima perkara-perkara ni Rul. Sedangkan di Malaysia sendiri Rul pun pernah kena hentam dengan menteri sebab perkara ni.

Pihak dari negara Rul pun agak melebih-lebih. Semuanya nak ditaja. Rul tau tak kita dah tetapkan kod pakaian untuk majlis? Pakaian mesti sendat-sendat, belah-belah, dedah-dedah. Baju batik yang Rul pakai tu, langsung tak sesuai.

Kereta tu. Mana ada orang datang naik kereta macam tu Rul. Buruk beb. Akak sendiri macam tak percaya bila Rul datang jugak dengan kereta enjin pinjam tu.

Yang paling akak tak faham Rul, ada permintaan dari pihak sana untuk dapatkan satu kerusi khas untuk seorang isteri pemimpin negara kau Rul. Boleh? Apa kepentingan dia Rul? Permintaan tu tak munasabah lah Rul. Dah lah tuh, mintak pulak kerusi tu bubuh warna pink. Tak melampau ke Rul?

Dahtu pulak, nak mintak slot khas nak buat persembahan kebudayaan. Eh! Come on lah Rul. Ni bukan majlis kahwin. Ni majlis Oscar.

Itu lah Rul. Sebab musababnya kami tak benarkan Rul masuk. Bukan pasal Rul sebagai individu, tapi seperti sebab-sebab yang akak jelaskan kat atas. Rul jangan salah faham. Lakonan Rul dalam filem "Dari Melaka ke Carcossa Negara" memang hebat, terutamanya scene Rul mandi air perigi pakai kain batik tu. *wink*

Andai kata Rul menang malam ni, kami dah ada wakil yang akan ambilkan award tu bagi pihak Rul. Rul mesti kenal dia. Dia pemenang no dua dalam pertandingan Pilih Kasihku, di mana Rul jadi johan. Rul kenal Fauzi kan? Ye. Fauzi Bay Am. Kenapa? Macammana? Nanti Rul tanyalah dia sendiri.

Harapnya Rul jelas dengan situasi sekarang. Semoga Rul tenang dan bersabar dengan dugaan yang mendatang.

Ikhlas,
Kak Lina J & Abang B. Pitt

 
Perlahan-lahan aku lipat surat dan masukkan kembali ke dalam sampul. Elok sampul tertutup, terdengar sorakan dalam tv, dan Fauzi Bay Am berjalan megah di atas pentas dipimpin gadis-gadis genit.

Esok, sampai Malaysia, ada dua benda aku nak buat. Satu, pecat Maman. Dua, nak ke Niyang Rapik mahu berjumpa tok guru santau. Nahas kau Bay Am!


Untuk versi Pengalaman Oscar Saya yang lain;
Gunx - http://gunx.blogspot.com/2011/04/pengalaman-oscar-saya.html
Mat Sen - http://olok2.blogspot.com/2011/04/pengalaman-oscar-saya.html
Man - tak siap lagi. cikgu besar, sila tolak markah ketepatan masa

You Might Also Like

3 comments

  1. huhu..kesiannye...

    tapi, nape maman kena pecat?
    die tak bersalah..huhuuhu

    ReplyDelete
  2. hehehehe... maman manager, dia patut tahu dan arrange semuanya dari awal... tu yang kena pecat tuh.. eheheh!

    ReplyDelete
  3. ooo..ok..cian si maman...^_^"

    ReplyDelete

Press

press