Tuesday, 21 June 2011

thumbnail

Kilim Geoforest Park, Langkawi (3)

Gua Kelawar

Gua Kelawar
Gua Kelawar

Perut sudah kenyang. Gendang gendut. Bot pun sudah siap sedia untuk ke destinasi terakhir.

Gua Kelawar.

Tempat ini tidak ada apa-apa yang menarik. Kalau pernah ke Gua Kelam di Perlis, macam itulah lebih kurang keadaannya. Bezanya Gua Kelawar ini, terletak di kawasan paya dan tidak sekomersial Gua Kelam.

Untuk masuk, ada dikenakan sedikit bayaran. Ingat-ingat lupa, rasanya seorang RM1. Boleh juga sewa torch light untuk menyuluh semasa di dalam gua.

Melangkah ke pintu masuk gua sudah mula terbau bauan tengit. Bau tahi kelawar, dan kencingnya. Keadaan pula memang gelap, dan agak licin. Bila di suluh ke syiling gua, memang nampak beratus-ratus kelawar yang bergantungan. Budak-budak, suka dalam takut. Habis semua kelawar mahu disuluhnya. Ada juga ternampak staglamites yang terbentuk. Ceritakan kepada anak-anak asal-usulnya, bukannya faham. Haris pun iya kan saja auta abah dia.

Keluar dari pintu gua, ada laluan titi yang dibina di atas paya. Sekali lagi, tidak banyak yang mahu dilihat (bagi kebanyakkan kita yang kurang menghargai alam semulajadi). Cuma warna-warna pokok yang menarik untuk bergambar.

Jadi, kamera pun memainkan peranan lah.

Suasana yang menghijau
Kekasih hati
Permata-permata kesayangan
Anak-anak dan Pak Teh
Bergambar sebelum pulang

Ketam batu


Tempoh masa di sini, terpulang kepada tahap minat masing-masing pada alam semulajadi. Kami, ditambah dengan faktor membawa kanak-kanak, 15 minit sudah cukup. Lepas bergambar sedikit sebanyak, kami terus ke jeti naik bot. Bersedia untuk pulang.



Laut Andaman

Untuk perjalanan balik, kami tak melalui laluan datang tadi. Kali ini kami dibawa keluar ke laut lepas (Laut Andaman). Kalau yang tak suka menaiki bot kecil dan kemudiannya ke tengah-tengah laut, elok lah jangan pilih pakej ini. Macam aku, sudah terlambat. Sudah dipilih, ikut sahaja lah! Nasib baik juga cuaca baik-baik sahaja. Ombak pun tak begitu kuat, tapi sesekali bila bot melanggar ombak, berderau juga darah.

Pucat! Ehehehehe!

Sampai satu lokasi (di tengah-tengah laut), Abau matikan enjin. Katanya, boleh bergambar dengan latar belakang tulisan "Kilim Geoforest Park" di dinding pulau. Dalam takut-takut, aku tetap menjalankan tugas.

Sekali ini sahaja rasanya!

Kilim Geoforest Park, Langkawi
Kilim Geoforest Park
Bot berhenti di tengah laut
Muka orang cuak bot berhenti di tengah laut.

Secara keseluruhan, aktiviti Mangrove Tour ini agak berbaloi. Worth the money? Boleh lah. Nak pergi lagi? Hmmmm... mungkin 10 tahun lagi. Bila-bila anak-anak sudah ada kesedaran dan kecintaan pada alam semulajadi.

Wallahualam.

:)



****************
Kilim Geoforest Park, Langkawi (1)
Kilim Geoforest Park, Langkawi (2)
Kilim Geoforest Park, Langkawi (3)

Saturday, 18 June 2011

thumbnail

Kilim Geoforest Park, Langkawi (2)

Dari Gua Buaya ke sangkar ikan, masih lagi melalui kawasan paya. Pemandangan sangat cantik, kawasan paya itu pun bersih. Selalunya kawasan paya ada bauan hanyir, di sini tidak. Ada juga ternampak plastik tersangkut sana sini, tapi masih boleh dikira dengan jari. Ada juga kawasan yang ditebang dan dikorek untuk dijadikan laluan.

Menghampiri kawasan sangkar ikan, mula kelihatan kapal-kapal persendirian parkir di tengah-tengah kawasan paya. Abau kata, kebanyakan tuan punya kapal ini berasal dari luar negara. Pilihan parkir yang ada; Awana Porto Malai (jeti untuk kapal layar, kapal Dato Azhar Mansor pun ada situ), Teluk Burau, Kuah; tuan punya kapal memilih kawasn ini untuk parkir di sini disebab kos yang jauh lebih murah. Sebulan dalam RM 300 kalau tak silap. Ada macam-macam saiz, ada macam-macam bentuk.

Deretan kapal layar
Deretan kapal layar

Parkir kapal layar
Parkir kapal layar




Hole In The Wall - Restaurant & Fish Farm

Hole In The Wall, nama tempat sangkar ikan yang kami singgah seterusnya. Sebenarnya banyak pilihan sangkar ikan yang ada sepanjang perjalanan naik bot ini. Kami pun sudah lupa kenapa restoran ini yang menjadi pilihan.

Sampai di jeti, kami terus memesan makanan tengah hari sebelum ke sangkar ikan. Macam-macam pilihan makanan laut segar. Dah namanya punsegar, harga pun agak menyegarkan mata juga lah. :) Ikan kerapu, RM 105 per kilo. Seekor boleh mencecah 800 gram lebih kurang. Ada udang, ketam, sotong.

Alang-alang dah sampai, sauk sahaja lah.

Selesai memilih menu, kami terus ke bahagian sangkar. Ikan-ikan yang ada di sini dibela untuk tujuan eksport. Selalunya ke China. Ada kerapu, jenahak, pari. Banyak lagi. Dari tepi sangkar itu, boleh nampak ikan-ikan yang ada. Besar-besar. Bila pekerja campakkan makanan, boleh nampak dengan jelas saiz ikan yang dipelihara.

Setakat tengok sahaja, bosan juga. Ya tak? Jadi, tuan punya tempat ini mengadakan aktiviti menyuap makanan ke dalam mulut ikan. Bukan sebarang ikan. Ikan pari! Ikan yang bersengat di ekor. Huuu... aku? Tak berani. Adik ipar aku pun entah berapa kali cubaan baru berjaya menyuap ke mulut ikan itu.

Tapi yang paling hebat tentulah Puan Kamilah saya.

Selamba!







Aku? Aku ditugaskan untuk mengambil gambar. Nanti kalau aku juga mahu pegang ikan, siapa pula mahu tolongkan ambil gambar. Lagi pun kena jaga adik Hanis. Kesian dia.

Ehehehehehe! Alasan.

Bila sudah puas main dengan ikan, kita makan ikan itu. Hihihih! Makanan yang dipesan awal tadi pun sudah siap. Apa lagi yang ditunggu, perut pun sudah lapar.

Jom makan!

Sotong Goreng Tepung
Sotong Goreng Tepung
Sayur Campur
Sayur Campur
Kerabu Mangga
Kerabu Mangga
Udang Masak Kunyit
Udang Masak Kunyit
Siakap Sweet Sour
Siakap Sweet Sour

Tambah satu jag Fresh Orange, total keseluruhan RM 140. Worth it? Agak kurang memuaskan sikit, sebab masakannya tak berapa mengancam. Air oren agak masam dan lebih kepada rasa jus oren biasa, kerabu mangga agak terlalu masam, sotong goreng tepung berminyak, udang masak kunyit agak baru bagi tekak aku. Dari 5 bintang, aku bagi 2.5 je. Eheheheh!

Ingat! Ini entri tahun 2011 ya. Masa akan datang, mungkin sudah lebih baik. Wallahualam.



****************
Kilim Geoforest Park, Langkawi (1)
Kilim Geoforest Park, Langkawi (2)
Kilim Geoforest Park, Langkawi (3)

Thursday, 16 June 2011

thumbnail

Kilim Geoforest Park, Langkawi

Balik Langkawi baru-baru ni, nampak banyak bunting di tepi-tepi jalan yang kebanyakkannya mempromosikan Kilim Geoforest Park ini. Agaknya, ini salah satu tarikan yang baru di Langkawi, atau mungkin juga baru mula diperkenalkan dengan lebih serius. Aku sudah pernah pergi sekali, kalau tak silap sekitar tahun 2004. Masa itu kami bertiga, menemankan sahabat yang baru berkahwin datang ke Langkawi berbulan madu.

Ummi ada juga menyebut-nyebut mahu ke taman laut ini semasa di Kuala Lumpur lagi, tapi waktu itu tidak ada kata putus sebab yang bongsu kena demam campak. Tapi sesudah 2-3 hari di kampung, Hanis sudah kebah sepenuhnya dan kami pun terus siap sedia mahu ke sana. Call segala kroni yang ada, untuk dapatkan segala diskaun yang patut. Ehehehehe!

Untung ada saudara-mara keliling Langkawi ni!

Kilim Geoforest Park ini lebih kepada aktiviti meronda kawasan paya, laut dan sekitarnya. Permulaanny menempuh kawasan paya, ada juga masuk gua (sekiranya air laut surut), dan akhir sekali ke laut lepas (Andaman). Untuk menaiki bot, ada dua pilihan. Sama ada bermula dari jeti di Tanjung Rhu, atau pun di Sungai Kilim. Checkpoint untuk perjalanan bot bagi kedua-dua tempat sama sahaja, cuma dari Tanjung Rhu laluan bot agak jauh. Harga satu bot berbeza mengikut pakej, ikut jumlah penumpang. Minimum satu bot rasanya untuk 8 orang. Pakej pulak bermula dari RM 150. Itu harga di Kilim, kalau kat Tanjung Rhu mahal RM 50, lebih kurang.

Oh! Sila ambil maklum. Ini harga tahun 2011.




Di Jeti Tanjung Rhu ini, parkir kereta tidak menjadi masalah besar. Nasib kami hari itu, dapat parkir betul-betul bersebelahan dengan jeti. Dan, disebabkan segala "urusan" sudah dibuat lebih awal, tak sampai 10 minit kami sudah pun di atas bot.

:)

Pemandangan di Jeti Tanjung Rhu
Pemandangan di Jeti Tanjung Rhu

Aku ini, sudah berulang entah berapa kali di Langkawi, masih kurang "mesra" dengan laut. Lagi-lagi kalau bot kecil. Kaki bagai sudah melekat dengan lantai bot. Tangan pula, seboleh mungkin tak mahu lepas dengan apa-apa sahaja yang melekat pada bot. Debar dalam hati, Allah sahaja yang tahu. Tapi disebabkan ada anak-anak dan juga kekasih hati, kena lah juga tunjuk gagah perkasa. Ahahahaha!

Sat gi depa tengok pak dia kalut, depa lagi kalut.



Eagle Feeding

Aktiviti pertama kami ialah Eagle Feeding, atau bahasa Melayunya bagi helang makan. Mula-mula sekali juragan bot kami singgah di floating restaurant, membeli isi perut ayam untuk diberi makan kepada helang. Pemandangan di sini pun dah cukup cantik. Restoran terapung tergantung elok di tepian pulau kecil, kedudukannya agak stabil kerana terlindung daripada alunan ombak. Di restoran ini sudah tentu boleh makan, tapi kami dah ada tempat pilihan kami sendiri.

Floating restaurant, Langkawi
Floating Restaurant
Sangkar ikan
Restoran Terapung
Pulau kecil
Pulau kecil
Kawasan paya
Kawasan paya

Bot meneruskan perjalanan selama beberapa minit dan kami sampai di satu kawasan yang sudahpun dipenuhi dengan bot-bot pelancong yang lain. Kawasan ini memang penuh dengan burung helang. Helang merah, sama seperti patung helang besar berhampiran jeti Kuah. Disebabkan aku duduk di bahagian tengah bot, agak sukar untuk mengambil gambar. Sebarang pergerakan dikhuatiri menyebabkan ketidakseimbangan bot, maklum la dah oversize.

Huuuu!

Seronok melihat burung-burung itu landing menyambar perut ayam yang dilempar juragan. Sembang-sembang dengan Abau si juragan, sebenarnya tak elok bagi isi perut ayam ini. Ianya berminyak, dan antara akibatnya telur-telur burung helang itu pun jadi tak elok. Sedikit banyak mengganggu proses tumbesaran burung helang ni. Hmmm... kalau begini, jabatan mergastua perlulah ambil perhatian. Untuk menjana pendapatan pun, alam sekitar kena dijaga juga.

Jap! Juragan pun sudah tahu bahaya, tetapi dibagi juga. Kenapa, ya? ;)

Gambar-gambar burung helang yang aku cuba ambil, agak blur. Yang dapat, gambar burung di kejauhan.

Lang Merah, Langkawi
Burung helang di puncak pokok



Gua Buaya

Selepas 10-15 minit bot bergerak ke destinasi berikutnya, sangkar ikan. Disebabkan waktu itu air laut masih surut, Abau bawa kami melalui Gua Buaya. Waktu air pasang, bot tidakk boleh lalu disebabkan keseluruhan gua dipenuhi air. Anak-anak risau bila kami sampai di mulut gua, tapi masuk sahaja terus nampak pintu keluar di hujung satu lagi, tak sempat mahu takut. Eheheh! Gua ini agak kecil dan sempit, hanya satu bot boleh lepas dalam satu masa.

Kenapa dinamakan Gua Buaya? Sebab sebelum tempat ini dikomersialkan, nelayan-nelayan di Langkawi gunakan laluan ini untuk pergi balik ke laut. Waktu itu, agak kerap terserempak dengan buaya air masin di kawasan sini. Wallahualam. Buaya air masin ini, sesuatu yang jarang di Malaysia.

Tidak ada apa aktiviti di sini, hanya melihat-lihat muka bumi semulajadi. Jadi, kami meneruskan perjalanan. Kami berselisih dengan bot yang agak banyak di setiap laluan, jadi bot memang akan berayun ke depan belakang kiri dan kanan. Silap-silap, ada juga yang termuntah nanti!

Gua Buaya
Gua Buaya

Bot
Bot dari laluan bertentangan
Penunggu paya Kilim
Penunggu paya
Keadaan dalam Gua Buaya
Dalam Gua Buaya


****************
Kilim Geoforest Park, Langkawi (1)
Kilim Geoforest Park, Langkawi (2)
Kilim Geoforest Park, Langkawi (3)

Tuesday, 14 June 2011

thumbnail

Taman Burung, Langkawi

Blue-throated Macaw
Blue-throated Macaw

RM 12 dewasa dan RM 8 untuk kanak-kanak. Itu harga tiket masuk, bagi warga tempatan yang mempunyai Mykad dan Mykid sahaja.

Taman ini terletak di sebelah timur pulau Langkawi, dekat dengan Galeria Perdana, dekat dengan jeti untuk ke Kilim Geoforest Park.

Peta nak ke taman.

Aku tak dapat nak bandingkan dengan Taman Burung di Kuala Lumpur, sebab sudah tidak berapa ingat suasana di sana. Aku masuk dulu pun dah bertahun-tahun yang lepas. Dari segi lanskap, mestilah yang di KL lebih menarik. Yang di Langkawi ni, boleh lah. Walaupun suasana di pintu masuk agak suram.

Dan kalau tak silap, nama taman ini sudah ditukar menjadi "Taman Hidupan Liar", bukan lagi "Taman Burung" atau "Bird Paradise". Memang sesuailah, sebab di dalam ni sudah macam-macam binatang/haiwan yang ada, bukan setakat burung sahaja.

Untuk budak-budak, memang seronok. Tambah-tambah lagi kita dibenarkan untuk menyuap bagi makanan kat kambing, arnab, rusa, etc.

Owl
Owl
Palm Cockatoo
Palm Cockatoo
Serindit(?)
Serindit(?)
Grey Crowned Crane
Grey Crowned Crane
Merak Putih
Merak Putih
Hornbill
Hornbill

Banyak juga kekurangan taman ini, satunya dari segi keadaan binatang yang tak begitu bersih. Termasuk lah kandang. Ada sedikit rasa geli, tapi tak tau lah memang purposely dibuat begitu untuk disesuaikan dengan habitat binatang tu. Juga, aku kurang pasti tetapi rasanya animal show tidak ada di sini. Tak nampak pula mana-mana papan kenyataan, mungkin aku terlepas pandang. Mungkin juga ada pihak taman ada alasan sendiri, kerana jumlah pengunjung juga perlu diambilkira untuk mengadakan pertunjukan.

Keseluruhannya, aku bagi 3 bintang (dari lima) untuk taman ini. Untuk anak-anak, mungkin berbintang-bintang sebab sepanjang masa dalam taman ini, semuanya happy. Bila anak-anak happy, mak bapak pun happy.

Otomatis. :)

Kissing bird
Ayam
Family
Happy kids



Sunday, 12 June 2011

thumbnail

Buffalo Park, Langkawi

Pintu gerbang ke Buffalo Park

Tempat ini tidak ramai yang tahu, tetapi sudah 2-3 orang juga yang bertanya sekiranya aku sudah pernah sampai ke sini.

Tak pernah.

Signboard ke Taman Kerbau ini, memang selalu aku nampak. Dalam perjalanan menghala ke rumah atuk/nenek wife aku di Ulu Melaka, memang selalu nampak signboard ke Buffalo Park ini.

Balik kampung bulan Februari tempohari, sempat juga kami singgah akhirnya. Agak jauh ke dalam, melalui ceruk kampung sebelum sampai. Mungkin ini salah satu faktor mengapa tempat ini kurang terkenal.

Tempat ini tidak ada apa yang betul-betul menarik. Mungkin disebabkan kita sudah biasa dengan keadaan sebegini (suasana kampung yang banyak kerbau). Tempat ini lebih kepada cara memelihara kerbau dengan cara yang sistematik, kemudian ada juga jualana produk makanan/minuman hasil dari kerbau-kerbau nih. Ada juga kedai di situ, jadi bolehlah memesan makanan/minuman yang berasaskan kerbau. Kami anak-beranak pilih aiskrim. Itu pun "kembang tekak" juga mahu makan, disebabkan "aroma segar" kerbau-kerbau kat situ.

Untuk orang dewasa, mungkin tak ada apa sangat yang boleh dibuat di sini. Tapi untuk budak-budak, boleh juga tengok rupa bentuk kerbau tu dari dekat. Mana lagi mahu berhadapan dengan kerbau dengan jarak kurang 5 kaki? Kerbau di sawah? Berani? Tanduk melingkar elok tersemat, renungan mata pula menggentar jantung. Huuu.. ngeri!

Abang dengan kakak bagi kerbau makan, siap pakai topi lagi


Anak-anak puas dapat bagi kerbau makan. Selagi ada, habis disumbat segala lalang (makanan kerbau) yang memang tersedia. Eheheh! Ada juga disediakan aktiviti untuk naik kereta kerbau (selalunya kereta lembu), siap dengan pakaian tradisional orang Melayu zaman dulu. Tujuan utamanya mungkin untuk bergambar, sebab memang tidak ada aktiviti yang lain. Untuk masuk ke kandang dan bagi kerbau makan, kalau tidak silap, seorang dewasa dikenakan bayaran RM 2. Kanak-kanak RM 1.

Kami pun, bergambar sakan. Ehehehehe!

Aktiviti di kandang kerbau
Anak penggembala kerbau. Phewwiiittt!

Gembala kerbau dan anaknya

Comel tak saya?

Caj-caj yang dikenakan

Lokasi Buffalo Park, klik sini.

About