Tipin di Alam Fantasi

June 28, 2011

Hati Tipin sebak. Air mata macam sudah tak tertahan-tahan, meleleh-leleh keluar. Bibirnya mencebik-cebik, hingus sudah mula turun laju dari hidung. Hidung Rishi Kapoor hero Hindustan, kata mak Tipin. Mancung macam paruh burung. Pipi Tipin yang comot bertambah selekeh bila bercampur dengan air mata. Sedih betul Tipin. Tiada siapa yang tahu kenapa Tipin sedih begitu sekali. Di belakang rumah, di hujung kebun arwah atuk Tipin, Tipin melepas lelah sendu.

Ngatipin bin Ngajiman.

12 tahun.

Siapa sangka, anak jantan Pak Jiman yang terkenal dengan perangai setannya di Kampung Tiang Seri kini terperosok di balik perdu pokok nangka, teresak-esak melayan hati. Tipin betul-betul terasa hati dengan keluarganya, terutama sekali dengan Pak Jiman. Entah apa salahnya, Pak Jiman betul-betul berkeras dengan Tipin. Mak Semah, mak Tipin yang Tipin paling sayang, pun sama macam Pak Jiman. Semuanya berkeras dengan Tipin. Tapi tidak pula dengan adik Tipin, Ngalijah. Apa mahunya adik Tipin tu, semua diturut abah dengan emak. Tipin sedih.

Dalam teresak-esak itu lah Tipin ternampak kelibat kucingnya, Cemong. Dipanggilnya Cemong, tapi Cemong melaju terus ke balik semak. Tipin mahu mengadu pada Cemong. Tipin bingkas bangun mengejar Cemong, tapi makin laju Tipin mengejar makin laju Cemong lari. Tipin muskil. Selalunya Cemong manja dengan Tipin, walaupun ada kalanya Tipin sepit telinga Cemong dengan penyepit baju. Pernah jugak sekali, ekor Cemong hampir putus bila Tipin berangan-angan menjadi pakar bedah, mujur terbantut disergah mak yang terserempak. Tapi Cemong tetap manja dengan Tipin.

Tipin terus mengejar. Matanya tertumpu pada Cemong, sampai tak sedar kaki tersadung dengan akar yang berselirat. Tipin tersembam. Badannya mencium bumi, mujur muka terjatuh di atas timbunan daun kering. Kaki dan tangan Tipin luka. Nasib tak ada yang patah, terseliuh. Tipin mengadu sakit, tapi tak siapa pun yang dengar. Tipin cuba bangun. Perlahan-lahan. Tangan Tipin berpaut pada batang pokok senduduk. Cemong sudah tak nampak kelibat.

Paku pakis
Puteri Pakuqes
"Sakit?"

Tipin tersentak. Dipandang keliling. Tak pasti. Betul kah ada yang bertanya tadi? Tipin pasti tidak ada orang lain di situ.

"Kita tanya awak nih, awak sakit tak?"

Tipin mula berdebar. Tipin pasti dia mendengar suara. Kuat sangatkah jatuhnya tadi, sampai hilang ingatan? Tipin pasti didengarnya suara perempuan, gemersik halus. Dipandang keliling, berpusing-pusing, tapi tak nampak kelibat manusia. Puteri bunian kah? Kini Tipin sudah lupa sakit kaki tangannya, sudah lupa sedih lewehnya. Tipin mahu balik, tapi kaki Tipin bagai terpasak ke bumi.

"Kita kat sini lah wak. Kat depan awak je ni hah"

"Siapa? Siapa tuh? Jangan main-main lah wei, aku belasah kang!". Tipin berani-berani.

"Amboi! Awak ni garang sangat lah. Cuba tengok kat depan awak betul-betul. Kita ada kat depan awak je ni."

Tipin pandang ke depan. Hanya ada longgokan pokok semak hutan. Tipin genyeh mata, mahu melihat dengan lebih jelas. Tipin nampak, tapi Tipin tak pasti. Mata Tipin tak berkelip.

"Hah! Nampak pun. Awak ni pun, toksah la pandang kita macam tu sekali. Malu kita."

Tipin terpempan.

"Nama kita, Puteri Pakuqes. Puteri sekalian tumbuhan serenek alam. Kita tengah main kejar-kejar dengan kawan-kawan kita tadi, tiba-tiba awak terlanggar kawan kita, Puteri Senduduque. Kawan kita tak apa-apa, tapi kesian kat awak jatuh tergolek. Awak tak apa-apa kan?"

Daun Senduduk
Puteri Senduduque

Tipin masih diam. Tipin masih sukar nak terima, pokok paku pakis di depannya berkata-kata. Tuan puteri pula tu. Puteri Pakuqes? Puteri Senduduque? Bermimpikah?

"Awak ni tak banyak cakap eh? Kita tanya banyak kali awak tak jawab pun?"

"Saya tak ada apa-apa. Luka sikit", Tipin akhirnya bersuara. Dahinya masih lagi berkerut, tak faham apa sebenarnya yang berlaku.

"Haaa.. boleh pun bercakap. Kita nak tanya sikit boleh?"

Tipin mengangguk.

"Tadi, masa kita main-main tadi, kita perasan awak duduk menangis kat sana tuh. Lepas tu tiba-tiba je awak lari kat sini. Kita nak tau, kenapa awak nangis? Cerita lah pada kami, kami suka kalau dapat membantu."

Tipin masih bingung dengan apa yang terjadi. Tapi bila diungkit kisah tangisnya, Tipin kembali sedih. Matanya mula bergenang kembali. Tipin nekad. Sudah tak kisah di mana dia sekarang, asalkan ada yang mahu berkongsi rasa. Tipin menceritakan apa yang terjadi. Semuanya tanpa selindung-selindung.

"Oh begitu! Kasihan. Tapi awak pun, tak patut lah lari macam ni. Sepatutnya, awak kuatkan diri, cuba berdepan dengan berani. Takpe lah, kita tahu siapa yang boleh tolong awak. Kalau awak nak, kita boleh bawak awak jumpa dia. Nak?"

"Siapa? Kat mana?"

"Namanya, Tok Rambut Agusti Alam. Rumahnya di tepi sungai sana. Ayuh!"

Langkah Tipin masih teragak-agak, walaupun dalam hati sudah nekad mahu menurut. Tipin yakin, inilah satu-satunya peluang untuk lari dari Pak Jiman. Biar lah apa yang terjadi, asal kemahuan Tipin tertunai.

Tipin mengikut Puteri Pakuqes dari belakang. Semua konco-konco puteri itu turut sama. Puteri Pakuqes bersyair berpuisi untuk mengisi kesunyian. Tipin jadi terhibur. Sambil berjalan, Tipin melihat-lihat keliling. Cantik. Ada pokok yang daunnya berwarna-warni. Ada biru, ada merah, ada yang hijau. Ada juga yang berbunga. Tipin juga hairan, ada pokok yang bertunas, berbunga dan berbuah dalam tempoh tak sampai seminit.



Tipin jadi khayal dengan pemandangan kiri kanannya, tanpa sedar kini Tipin sudah sampai ke tepi sungai. Dari jauh, Tipin nampak buaian berayun di sebatang pokok. Kurang jelas dengan apa yang dilihat, tapi Tipin yakin ada sesuatu di atas buaian itu.

"Itu lah Tok Rambut", tukas Puteri Pakuqes.

Tipin diam. Suasana sepi. Tiada lagi nyanyian, semuanya diam. Hanya terdengar bunyi deru air sungai, sesekali berselang dengan bunyi kreot buaian di bawah pokok. Semakin dekat Tipin dengan Tok Rambut, degup jantung Tipin makin melaju. Badan Tok Rambut kecil, sekecil bayi baru lahir. Diselubung dengan kain hitam, Tipin sukar mengagak. Tapi Tipin pasti itu bukan manusia!

"Tok Rambut. Hamba Pakuqes datang mengadap", sapa tuan puteri apabila hampir, sambil menunduk hormat.

Buaian Tok Rambut berayun perlahan, lalu berhenti. Beberapa helai daun kering jatuh ke sisi Tok Rambut. Suasana redup di bawah pokok, menyukarkan Tipin melihat jelas. Tok Rambut menoleh sedikit ke belakang. Hanya kerlingan mata yang kelihatan.

"Seperti yang Tok Rambut mahukan, kita bawakan pada Tok sebaik kita dapat dia", tambah Pakuqes.

Debar Tipin semakin kencang. Lain betul makna kata si tuan puteri.

"Bagus!". Terdengar garau suara Tok Rambut. Tegas.

"Kau boleh pergi. Yang lain, pastikan manusia ini tak bergerak!", perintah Tok Rambut.

Tipin terpinga-pinga. Puteri Pakuqes tanpa menoleh terus beredar pergi. Konco-konconya yang tinggal, semua rapat ke Tipin. Batang dan akar sudah menjalar ke tangan dan kaki, diikat serapat mungkin. Tipin cuba meronta, tapi semakin kuat ronta Tipin, semakin kuat ikatan konco si pakis. Ronta Tipin semakin lemah. Tipin rebah ke tanah. Menangis. Itu lah saja pilihan yang ada pada Tipin. Tipin menangis minta dilepaskan.

Sangkanya ini yang terbaik, rupanya Tipin sudah masuk ke perangkap.

Kini, Tok Rambut berdiri di hujung kaki Tipin. Masih dengan kelubung hitamnya, Tok Rambut menunduk hanya menampakkan matanya. Renungannya tajam, membuatkan Tipin bertambah takut.

"Apa yang kau nak hah? Kau nak buat apa dengan aku? Lepaskan aku! Lepaskan!"

"Muahahahahahahahahh! Ingat semudah itu aku nak lepaskan kau? Sudah lama aku menunggu, sampai juga hari ni! Hari pembalasan! Muahahahhahahah!"

"Pembalasan? Pembalasan apa? Aku tak buat apa-apa kat kau"

"Ahahahahahahah! Tak buat apa-apa? Aku tunjukkan kau apa yang kau dah buat!"

Kelubung hitam Tok Rimau jatuh ke bumi. Tipin terperanjat. Mulut Tipin kaku ternganga.

"Cemong?!!! Kau Cemong?"

"Hahahahahah! Ye, aku lah Cemong! Si Cemong yang kau sepak-sepak kan, si Cemong yang kau lastik-lastikan, dan aku lah si Cemong yang kau gunting-guntingkan!"

Tipin betul-betul terkejut. Tok Rambut yang disangka boleh membantu, rupanya musibah bagi Tipin. Tipin mula teringat setiap satu salah lakunya pada Cemong. Bukan sedikit. Dan kini Tipin di bawah genggaman Cemong. Cemong kali ini berkuasa, dan mahu membalas dendam

"Cemong, maafkan aku Cemong. Maaf kan aku. Aku janji tak buat lagi Cemong. Aku taubat Cemong!"

"Ahhahahaha! Tak semudah itu! Hutang darah dibalas darah. Hutang ekor dibayar ekor!"

Mata Cemong membulat. Seringainya sampai ke telinga. Kuku kakinya tajam terhunus. Cemong melangkah dekat menghampiri Tipin

"Jangan Cemong, jangan apa-apakan aku. Kau nak buat apa ni Cemong? Aku minta maaf Cemong", Tipin merayu.

"Dah terlambat. Saat ini aku takkan lepaskan. Aku mahu ekormu sebagai ganti"

"Ekor? Aku mana ada ekor. Aku kan....."

Tipin terdiam. Kini Tipin sudah faham maksud Cemong. Dan kali ini Tipin meronta sekuat mungkin, menangis sekuat hati. Cemong semakin hampir dengan seringai dendamnya.

"Ttttttiiiiiiiiidddddddddddaaaaaaaaaaaaaaaakkkkkkkkkk!!!! Jangan potong!!! Jangan potong!!!"


###########################


"Tipin! Tipin! Kau ni kenapa hah?"

Tipin terdengar suara. Suara yang Tipin kenal. Suara itu suara abah Tipin, Pak Jiman. Tipin perlahan-lahan, membuka mata. Ternampak abahnya, Tipin terus menangis merayu-rayu.

"Abah! Tipin tak nak kena potong, bah. Tak nak, bah. Tipin janji tak buat jahat lagi, bah. Tolong bah, tolong. Cemong nak potong Tipin, bah"

"La Ilaha Illallah Muhammadur Rasulullah. Kau ni kenapa Tipin? Waktu ni pun mengigau lagi? Tok Mudim ni kau panggil Cemong? Kau jangan nak tebiat. Buat malu betul. Tak pernah keturunan aku yang lari masuk hutan sebab nak masuk jawi macam kau nih. Ni pulak dah siap kena ikat kaki tangan bagai. Ishhh.. anak bertuah betul!

Tipin tergamam. Dipandangnya kiri kanan. Rupanya Tipin ada di rumah. Di hujung kaki Tipin, Tok Mudim Husin sedang mengasah pisau. Kaki tangan Tipin sudah diikat dengan kain batik lepas, dipegang kejap dek jiran-jiran lelaki. Dan, di muka pintu, Tipin nampak Cemong. Cemong ralit bergurau-gurau dengan adik Tipin, Ngalijah.

Tipin keliru.

Betul-betul keliru. Fikiran Tipin menerawang memikirkan apa yang terjadi sebentar tadi.

Dan dalam keadaan Tipin terpinga-pinga itu, Tok Mudim Husin menjalankan tugas sepantas kilat.

Zaaaaaaaaasssssss!

"Uwwwwaaaaaaaaa! Sakittttnnnyyyyaaaa! Dahhhh pppuuuuttttuuuussssss!"

Kampung Tiang Seri gegak gempita lagi!



Siri bacalah lagi;
Zalila - http://psittacula.wordpress.com/2011/06/28/cerpen-indie-alam-fantasi-apakah-ini/


You Might Also Like

1 comments

Press

press