Terawikh

August 09, 2011

"Kau pegi surau tu, jangan nak memekak Jai. Orang nak sembahyang, kau terpekik telolong. Mak dengar suara kau karang kat surau tu, kena la kau balik umah nanti!".

Mak dah bagi warning siap-siap. Dalam tengah bersiap nak pakai telekung, sempat lagi mak menjalankan rutin. Nasihat.

Dan ugutan.

"Mana ada. Orang pegi nak sembahyang terawikh la."

"Ye lah tuh. Terawikh sangat lah. Tengok lah nanti"

Mak agaknya masih bengang. Bengang dengan abah, yang bagi green light pada Jai untuk ke surau berterawikh. Mak sebenarnya dah jeran nak bawak Jai ke surau. Malu mak dengan perangai Jai tahun lepas masih berbekas. Kes Jai mandi kolah air sembahyang masa orang berterawikh sampai sekarang jadi bahan cerita di Kampung Tengah.

"Biar lah budak tu. Dah 12 tahun dah pun, tau lah dia berpikir. Kita pun ada kan kat surau tu. Tengok-tengok kan je lah nanti."

Abah memang cool.

Di surau, Jai mengotakan janji. Bermula dari Isyak, sampai lah ke rakaat ke 8 terawikh, Jai tetap di barisan makmum. Masuk rakaat ke 9 Jai berhenti, macam majoriti yang lain. Sementara menunggu abah dengan mak habis rakaat ke 20, Jai bersandar di dinding surau. Abah pun dah tak tertoleh-toleh dari barisan depan. Mak pun dah tak terintai-intai di balik langsir, semata-mata nak pastikan Jai masih di surau. Jai tersenyum lega.

Masih ada 4 rakaat berbaki, sebelum terawikh berakhir. Jai yang kebosanan, keluar dari surau mahu mengambil angin. Elok melangkah keluar, dari jauh Jai nampak dua perempuan terkial-kial mengangkat periuk menghala ke surau. Jai kenal. Kak Za dan Kak Ila, kembar seiras anak Mak Lang Tipah.

"Larat ke kak? Nak Jai tolong?"

Jai menawarkan bantuan. Niatnya satu, mahu menambah kredit kepercayaan mak dan abah. Terawikh dah dibuat, ditambah dengan budinya membantu orang, mesti mak dan abah suka.

"Apa ni kak?"

"Kuah mee kari untuk moreh kejap lagi. Takpe lah Jai, berat ni. Akak dua orang dah boleh nih", jawab Kak Ila.

Jai senyap. Tapi Jai tetap mengikut dari belakang.

"Kau buat apa sini Jai? Kau datang nak mandi kolam lagi ke?", Kak Za tiba-tiba menyampuk. Terbarai gelak dua beradik kembar tu. Mengilai.

"Orang pegi sembahyang terawikh lah!", Jai membalas. Marah.

"Ooooo... akak nak tanya Jai boleh? Sembahyang terawikh tu, sembahyang fardhu ke sembahyang sunat?"

Jai makin panas. Tak habis-habis nak dipermainkan.

"Sembahyang fardhu la. Itu pun tak tau ke?".

"Fardhu? Kenapa lak fardhu? Bukan fardhu ada 5 je ke?", Kak Za bersoal galak.

"Ye lah fardhu. Cuba tengok kat surau tu. Abang Mail, Abang Husin, Haji Khamis semua datang sembahyang terawikh tiap-tiap malam. Tapi masa tak puasa, kalau sembahyang Maghrib dorang tu selalu duduk lagi kat kedai kopi. Sembahyang Maghrib boleh tinggal, sembahyang terawikh tak tinggal. Ha! Kan fardhu tu?".

Jai menghurai lebar. Dengan definisi sendiri, tapi yakin. Dan kali ini, gelak Kak Ila makin kuat. Kak Za hanya diam. Kak Ila tau, Kak Za tengah marah sebab sekarang rahsia kekasih hatinya Abang Husin dah terbongkar.

"Dah la. Diam la kau Jai! Pegi lah sana, sibuk je", Kak Za mula menyinga.

Jai masih mengikut. Tak peduli. Sampai di surau, Kak Za dan Kak Ila berhenti di pintu belakang. Periuk ditinggalkan, Kak Za dan Kak Ila patah balik ke rumah mengambil barang yang lain. Jai tetap menunggu di sisi periuk, Nekadnya masih sama. Mahu membantu.

Perlahan-lahan, Jai membongkok mengangkat periuk.

"Takde la berat sangat pun", Jai yakin.

Jai mengangkat periuk separas pinggang. Selipar Tat Seng yang dipakainya, ditanggalkan. Jai mengangkat periuk untuk dibawa ke dalam surau, ke bahagian belakang tempat solat perempuan. Lepas terawikh nanti orang perempuan bergotong royong menghidang moreh. Untung-untung, mak nampak Jai sedang membantu. Mesti mak bertambah suka.

Dan masa Jai tersenyum-senyum berangan itulah, kisah malang Jai berulang lagi. Kaki Jai tersadung dek karpet surau. Solat terawikh rakaat terakhir menjadi kecoh. Jemaah perempuan yang bertelekung putih kini bertukar warna. Coklat ke oren-orenan.

Dan Jai terpandang muka mak. Merah menyala!


Siri bacalah lagi;
1- Zalila - http://psittacula.wordpress.com/2011/08/09/cerpen-indie-13-terawih-pertama-saya/

You Might Also Like

0 comments

Press

press