Jatuh

October 06, 2011

Usai solat Subuh, Ariffin perlahan-lahan bangun menyarungkan baju dan seluar pejabat. Baju kemeja kotak-kotak hijau hadiah dari isteri, sudah digosok rapi. Ada sedikit benang terkeluar dari saku baju, Ariffin masukkan kembali ke dalam. Mahu digunting, baju sudah tersarung. Pesan orang tua, jangan digunting benang di pakaian kala pakaian itu sudah melekat ke badan. Mewarisi kepapaan. Ariffin tahu, itu hanya lah alasan. Cakap berlapik orang-orang dulu. Dikhuatiri kalau dibuat juga, boleh terluka diri.

Sejadah dan kain pelekat sudah disidai di ampaian. Rambut ikal Ariffin sudah diikat rapi. Disemburkan sedikit minyak wangi, juga hadiah si isteri. Siap. Rutinnya, selepas solat Ariffin akan bersarapan dulu. Tapi langkah Ariffin mahu ke dapur terhenti. Ariffin lupa. Ada anak kecil yang terbaring nyaman di atas katil. Matanya masih pejam, air liur basi meleleh di pipi. Ariffin lupa untuk mengucup pipi mongel anak kecil itu. Perlahan-lahan, dahi dan pipi Nur Zaharah anak bongsunya dicium. Tersenyum Ariffin bila Zaharah terkejut pipi merah delimanya tercucuk dek misai. Tapi tidurnya masih lena. Zaharah mengalih posisi. Ariffin memandang, mengucup kepala Zaharah sebelum kembali ke dapur.

Sekali lagi Ariffin terhenti langkah. Diintai pula bilik belakang. Si putera sulung, Muhammad Hafiz dan adiknya, Nur Humairah masih lagi lena. Dikucupnya juga pipi kedua-dua anugerah Ilahi itu, rona bahagia jelas di mata Ariffin. Betapa bersyukurnya Ariffin dengan nikmat yang diamanahkan.

"Bang, meh minum. Dah siap dah ni."

Suara manja Nurisyah, isteri Ariffin, memanggil di dapur. Nurisyah, isteri yang dikahwini Ariffin 6 tahun  lepas sudah siap dengan hidangan sarapan pagi. Setiap hari, Nurisyah lah orang pertama yang bangun. Mengemas, membasuh, menyapu. Kuatnya kudrat seorang isteri. Hari ni Nurisyah cuti bekerja. Mahu berehat di rumah, menghabis masa dengan anak-anak. Walau bercuti, tanggungjawab sebagai isteri dan ibu tetap berterusan. Ariffin memandang dalam wajah isteri kesayangan. Manis, berlesung pipit.

"Abang balik awal ye hari nih. Syah nak masak special"

Ariffin senyum. Mengangguk. Nasi lemak buatan tangan isterinya disuap satu persatu. Kacang goreng penuh sesuku pinggan. Nurisyah tahu, suaminya suka sangat dengan kacang goreng. Lagi-lagi kalau hangit.


Pergi
"Abang pergi dulu, Syah. Assalamualaikum", Ariffin melambai tangan pada yang tersayang. Nurisyah menyambut lambai dengan senyum manis. Kalau tiada yang memerhati, mahu saja Ariffin patah balik mencium pipi isterinya. Sayang, hari ini Ariffin tak dapat bercuti untuk bersama keluarga. Tapi Ariffin pasrah. Cuti tahunannya hanya berbaki 3 hari, sedangkan tahun 2007 masih belum sampai ke pertengahannya. Terpaksalah Ariffin berdikit-dikit bercuti. Mana tau ada kecemasan di hari muka.

Enjin motor Honda EX5 Ariffin mengaum garang. Perlahan-lahan, motor merah buatan Jepun itu menyusur jalan raya. Tapi Ariffin masih membungkam. Jasadnya di atas motor, hatinya di rumah, fikirannya menerawang liar.

Sejak bekerja di tempat baru, Ariffin sering termenung. Lawak jenaka Ariffin sudah makin menghilang. Mulanya Ariffin tak sedar, tapi selepas ditegur isteri baru lah Ariffin tergadah. Entah lah. Ariffin belek satu persatu, apa yang tak kena dengan pejabat barunya. Apa yang pasti, Ariffin masih belum dapat lepaskan kenangan di pejabat lama. Sahabat-sahabat, suasana pejabat, ruang lingkup kerja. Semuanya berbeza dengan tempat yang baru. Rata-rata yang bekerja dengan Ariffin sekarang, umur masih muda. Bual-bual harian, lebih kepada perkara duniawi, terutamanya hiburan. Cakap-cakapnya lepas, perkara dalam kain bagai tiada tapisan. Kalau mencarut, Nauzbillah. Orang bujang kota metropolitan, masih belum ada tanggungan. Masih ditanggung mak ayah kebanyakkannya.

Dari segi pengurusan. janji-janji dari jabatan HR hanya tinggal janji. Janji baru setiap hari ditabur. Duit KWSP sampai hari ni masih belum bertambah, tapi dalam slip gaji sudah ditolak siap-siap. Ditugaskan ke luar kawasan, disuruhnya berjimat-cermat. Habis semuanya nak disukat, kalau tak disekat. Bos Ariffin yang beria-ia berjanji itu ini, sudah pun meletak jawatan. Seminggu dua lagi, pergi ke tempat baru. Makin terkontang-kanting.

Arrrrggggghhhh!

Serentak itu jugalah motor Ariffin terseret mencium bumi. Ariffin tergelimpang di bahu jalan. Sebagaimana kuat jatuhnya semangat Ariffin bekerja, begitu jugalah kuatnya badan Ariffin jatuh terhempas ke bumi.


Pulang
Ariffin terbaring di tepi jalan. Rakan-rakan motor sudah mengelilingi. Motor dibawa ke tepi. Ariffin buka mata. Pandangannya kosong. Soalan bertalu-talu dibiar sepi. Ariffin menangis semahu-mahunya. Air matanya mencurah-curah. Tapi, tiada siapa yang melihat. Tangis Ariffin hanya dalam hati. Dan tangis Ariffin bukan kerana luka disiku. Menangis bukan sebab luka dilutut, tapi tangis Ariffin mengenangkan nasib diri. Lama berhiba, baru lah Ariffin menyahut.

"Saya tak ada apa-apa. Terima kasih bang, luka sikit je kat siku dengan lutut ni"

Luka dalam hati, siapa yang tahu.

Ariffin menggagah diri ke klinik. Doktor menyuntik ubat, agar tidak ada yang melarat. Dibekalkan juga ubat, disisipkan juga surat cuti. Akhirnya Ariffin dapat juga cuti hari ni, seperti yang diminta pagi tadi.

Nurisyah masih belum dihubung. Biarlah, bukannya ada apa sangat pun. Sampai di rumah, Ariffin memberi salam. Nurisyah menyahut dari dalam. Ariffin tersenyum lebar melihat seri wajah sang isteri.

"Ya Allah! Kenapa ni bang?"

Ariffin terkesima. Tak disangkanya isteri tersayang terus menangis. Hiba. Mendayu-dayu. Takut dan terkejut barangkali melihat suami sudah compang-camping dengan luka. Dalam sakit, Ariffin menenangkan Nurisyah. Dipujuknya diam.

"Abang tak ada apa-apa. Sikit je nih"

Walaupun luka dilutut masih terasa, luka dihati masih membisa, Ariffin lupa segalanya bila si isteri menangis. Ya. Tangisan isteri Ariffin membawa bahagia hari itu. Tangisan itu tangisan sayang. Ariffin tak pernah ragu, tapi hari itu tangisan Nurisyah benar-benar terpahat dalam hati Ariffin. Selama-lamanya.

Rupanya, jatuh motor tak ada lah sesakit mana.

:)


Siri Bacalah Lagi;
Norizwan - http://waraskutakwaras.blogspot.com/2011/10/jatuh.html

You Might Also Like

0 comments

Press

press