Pembalasan Ramli

December 21, 2011

Episod 1 : Ramli yang sepi 
Episod 2 : Layla Oh Layla
Episod 3 : Layla.. Hatiku Belum Milikmu, Begitu Juga Rudeen
Episod 4 : Lima Hati
Episod 5 : Hati Kontras & Hakikat
Episod 6 : Cinta Harus Memiliki
Episod 7 : Cinta tak Semestinya bersatu
Episod 8 : Ramli Yang Gila
Episod 10 : Layla, Si Pokok Pisang!
Episod 11 : Siapa Mereka? Benarkah Begitu? 
Episod 11 : Pengantin Lari, Pengantin Balik 
Episod 12 : Loh Mahfuz
Episod 13 : Dada Berombak

***************

Jika tadi Ramli berdebar-debar, kini dadanya pula semakin berombak-ombak. Ramli merasakan seolah-olah Tony Jaa, pelakon filem Ong Bak sedang menyiku dan melutut dadanya. Ramli tau, perasaan ini adalah perasaan yang mampu merubah hidupnya. Ramli semakin tidak senang duduk.


Tit...tit...tit...


"Abang Ramli..."


Ramli pusing ke belakang, sambil peluh dingin mula membasahi dahinya. Ramli kaget.


"Abanggg..."

***************

"Ni abang Ramli kan?"
Suara mulus dari gadis comel itu bagai gesekan syahdu biola Cina. Gemersik. Antara dengar tak dengar. Ramli terpegun. Tak disangka kini gadis comel yang diperhatikannya tadi berdiri di depan mata. Cantik berkebaya merah jambu.

Ramli masih tercegat. Mulutnya terkatup rapat. Hanya matanya saja tak terbeliak tak berkelip. Setiap inci muka gadis comel diperhatikan. Matanya, hidungnya, pipinya. Gadis comel berkebaya merah jambu mula menggelisah, walaupun sebenarnya ada sedikit banyak rasa suka. Baginya, renungan Ramli bagai kucing melihat ikan di sinki. Rakus, tapi comel.
"Ni, tadi ada pakcik pesan suruh panggilkan abang ke khemah sana. Pakcik yang pakai baju batik pucuk pisang tu. Ok ye bang?"
Gadis comel beredar. Gadis comel sempat mengenyit mata pada Ramli. Jinak-jinak merpati. Ramli sesak nafas. Panah asmara menusuk kalbu. Sudah lupa pada Layla, sudah lupa pada Rudeen. Dada Ramli kembali berombak. Ombak rindu.

*******************

Izwan yang baru bangun lepas ditumbuk Ramli tadi, terpisat-pisat menghampiri Ramli. Hajatnya mahu membalas, pantang anak jantan kalau ditumbuk tak dibalas.
"He drop my water face! I must reply!", bentak Izwan berbahasa penjajah.
Tapi bila berdiri di depan Ramli, langkah Izwan terhenti. Matanya terbelalak memerhati Ramli yang bagaikan tak sedar diri memerhati gadis comel berkebaya merah jambu pergi. Bila melihat gadis comel mengenyit mata, lagi lah buat Izwan tak cukup nafas.
"Oi Ramli!!"
Ramli tersentak. Di depannya kini berdiri Izwan, dengan buih-buih masih penuh dimulut.
"Agak-agak lah woi kalau nak carik awek pun. Kau nak jadi umat nabi luth ke? Takkan si Dolly aka Dollah tu pun kau nak rembat?"
Izwan gelak kuat-kuat. Sama kuat bila dia menjerit mendedahkan siapa si gadis comel sebenarnya. Dendam Izwan terbalas. Ramli dimalukan. Orang di bawah khemah gelak besar-besar.

Dan saat itu Izwan juga perlu fikirkan pembalasan baru. Tawa Izwan terhenti bila dari kepala sampai ke kaki, kuah gulai nangka kawah dijirus Ramli. Orang di khemah kejung perut gelak lagi kuat.

*******************

Darah muda darahnya para remaja
Yang selalu merasa gagah
Tak pernah mau mengalah
Masa muda masa yang berapi-api
Yang maunya menang sendiri
Walau salah tak perduli
Darah muda

Biasanya para remaja
Berpikirnya sekali saja
Tanpa menghiraukan akibatnya
Wahai kawan para remaja
Waspadalah dalam melangkah
Agar tidak menyesal akhirnya

Darah muda darahnya para remaja
Yang selalu merasa gagah
Tak pernah mau mengalah
Darah muda



Lagu : Darah Muda
Penyanyi : Haji Rhoma Irama


**********************

Dua tahun berlalu.

Kampung Simpang Sepetang hari tu riuh dengan orang ramai. Haji Rizal, yang semakin ranggi semenjak ada motor baru, sekali lagi diberi kepercayaan menjadi ketua majlis. Majlisnya besar, kalau mahu dicatat dalam sejarah kampung, bukan calang-calang belanja yang keluar. Yang perempuan, sibuk mengupas bawang, menyiang ikan. Yang lelaki, di khemah memasak. Sesekali, terdengar bunyi gelak tawa besar. Ada jugak yang melatah-latah. Tak kurang juga, ada yang berbisik-bisik, bergosip perihal Haji Rizal yang khabarnya dah nak membukak "cawangan" baru. Cawangan nombor 3, kawan!

Majlis bertambah kecoh dan kepoh. Itu lah penangan majlis perkahwinan antara Hafis dan Rudeen. Pasangan sejoli yang menjadi bualan kampung. Ramai anak gadis yang iri hati, ye lah, tuah Rudeen yang tak disangka, dipinang Hafis anak saudagar jamu tersohor tanah air. Dan kerana iri hati lah, Rudeen pernah terlantar 6 bulan sebab sakit dijampi serapah orang. Merana Hafis sampai segalanya tunggang langgang. Cinta hatinya dibuat orang, tapi tiada daya untuk membantu. Duit berbelanja untuk mengubat mencecah ratusan ribu. Majlis perkahwinan yang dirancang lebih awal, terpaksa ditangguh dulu.

Tapi bila Rudeen dah kembali sihat, Hafis turut pulih. Kacaknya bukan main. Segaknya tak tertanding. Cinta hati sudah sihat, Hafis yang paling suka. Dihadiahkannya Rudeen dengan segala hadiah yang ada, agar Rudeen tiada yang tandingnya di mana-mana kampung sekali pun.

Dan hari ini, dua hati yang pernah duka akan disatukan.

*******************

Di khemah utama, kelihatan Hadi sedang kecoh mengeluarkan perintah. Jawatan ketua rewang yang diamanatkan, dijalankan dengan penuh tanggungjawab. Sesekali Hadi sempat bergurau-gurau dengan anak-anak dara yang mengagih bunga telur pada tetamu. Tapi Hadi tak sedar, dari dalam rumah pengantin, ada yang memerhati dengan kerlingan mata yang tajam. Cukup kecik si Hadi pada pandangan Layla, bagai mahu dikunyah-kunyah suaminya yang sedang merenyam menunjuk bakat. Semenjak berkawan baik dengan Haji Rizal, Layla sedikit sebanyak mula risau dengan perilaku suaminya. Lain macam. Hati Layla membengkak. Perutnya yang sarat menghalang tindakan otomatis Layla dari menerjah Hadi. Lagi-lagi, anak sulung yang dikendong meragam mintak susu, anak yang sorang lagi menjerit sebab lampin sudah kuyup. Layla kembali menyimpan rasa. Anak kembarnya mahukan perhatian. Untuk Hadi, tunggulah.Tahu lah dia macam mana nak menyekolahkan lakinya di rumah nanti.


*******************

Di hujung jalan, Haji Rizal menggelisah. Mundar-mandir di depan khemah jemputan. Majlis nikah sudah berlangsung, dan sekejap lagi mempelai akan mula makan beradab. Orang yang ditunggu, masih belum sampai.

Panggilan telefon yang Haji Rizal terima minggu lepas, memang tak disangka-sangka. Ramli, yang menghilangkan diri semenjak kenduri kahwin Layla dan Hadi dua tahun sudah, tiba-tiba muncul kembali. Lama Haji Rizal bersembang dengan Ramli bertanya khabar bertukar berita. Dua tahun sudah, Ramli hilang tiba-tiba, dan selepas 6 bulan Mak Lemah jugak hilang menyusul Ramli. Kehilangan Ramli dari kampung tetap menjadi umpatan orang. Rata-rata menuduh Ramli sebagai orang yang bertanggungjawab menjampikan si Rudeen. Mengalir air mata Haji Rizal mengenangkan nasib si Ramli. Masa di kampung, hidupnya diumpat. Bila dah tak ada, masih difitnah.

Hari ini, Ramli akan pulang. Sengaja Haji Rizal suruh Ramli balik pada hari itu. Haji Rizal yakin, sejahat-jahat Ramli, takkan sampai sanggup buat perkara terkutuk tu. Biar lah hari ni orang melihat sendiri Ramli. Dan kalau Ramli mahu, Ramli boleh berkongsi ceritanya.

**********************

Kereta Mercedez mata belalang berhenti betul-betul di depan khemah. Bukan tak ada tempat lain untuk parking, tapi adat orang Melayu hidup mewah, kemewahan perlu ditunjuk-tunjuk dengan riak. Orang kampung bagaikan dikawal dengan butang "pause". Semuanya terhenti. Mata masing-masing pejap memerhati kereta buatan luar negeri berwarna metalik kelabu itu. Pintu depan dibuka. Masing-masing kaku memandang. Layla dari dalam rumah bagaikan angsa, panjang leher mengintai di balik tingkap.
"Assalamualaikum. Ni majlis kenduri Hafis dan Rudeen ke?"
Jejaka berambut ikal yang segak berkaca mata hitam, bertanyakan kepada Pak Borhan yang menyambut tetamu di pintu gerbang khemah. Pak Borhan mengiyakan. Salam yang dihulur pemuda berambut ikal, dijabat dan dilepaskan. Pak Borhan pasti dan sedikit kecewa, memang tidak ada sampul yang terkaut dek tangannya bila bersalam tadi.
"Ye! Anak ni kawannya siapa?" 
"Hihihihihi! Pak Borhan, ni saya lah. Ramli!" 
"Hah! Ramli? Ramli anak Mak Lemah? La Ilahaillallah, lain benar rupa kamu Ramli! Tak cam langsung pakcik!"
Ramli tak berbasa basi. Ramli tersenyum lebar. Pak Borhan kembali menarik Ramli. Dipeluknya Ramli bagai bapak kehilangan anak. Walhal, sebelum ni Ramli lah jadi saspek utama Pak Borhan bila anaknya Rudeen sakit dulu. Tapi saat itu Pak Borhan terus lupa, tak tahu lah apa sebabnya. Terkena silau metalik agaknya.

Haji Rizal yang baru lepas membuang hajat, terkocoh-kocoh terus mendapatkan Ramli. Sebal benar hati Haji Rizal, patutnya dia tadi ada bersama menyaksikan detik kegemilangan Ramli yang memang ditunggu-tunggu. Tapi apakan daya, ketentuan alam tak dapat disanggah. Sakit perutnya memulas-mulas sudah tak tertahan.

Dari belakang kereta pula, keluar 2 wanita yang cukup bergaya. Yang satunya memang orang kampung kenal. Mak Lemah, gayanya sakan. Bajunya berkilat-kilat, dibuat dari kain import luar negeri. Rantai emasnya yang bertakhta berlian, jelas teruntai-untai di dada. Tudung Mak Lemah sudah lain gaya. Dulu bertudung penuh, kini hanya dililitkan saja. Rambut Mak Lemah yang dulu berbelang putih, kini bagaikan warna perencah maggie kari.

Di pintu satu lagi, keluar perempuan yang lebih bergaya. Lebih muda. Cantik berbaju kurung moden warna ungu. Tinggi lampai, kulitnya putih menggebu. Kaca mata hitam ditanggalkan, rambut yang terhurai dikibaskan ke belakang. Aduh! Manis sekali. Terserlah hidung nya yang mancung. Matanya yang besar bulat memang sepadan dengan bulu matanya yang lentik.

Orang ramai berteka-teki. Siapa gerangannya? Isteri Ramli? Kekasih Ramli? Atau, teman tapi mesra?

Oh Ramli! Sungguh kau berbeza. Sungguh kau beruntung.

Layla kini terduduk di balik tingkap. Nafasnya turun naik. Di laman, puntung rokok Gudang Garam Hadi terlepas dari tangan. Mulutnya sedikit menganga. Hafis dan Rudeen hanya memerhati dari khemah makan beradab. Hafis geram. Tumpuan majlis bukan padanya lagi. Bertambah geram, Ramli yang menjadi punca sakitnya Rudeen kembali ke kampung, dan semakin berjaya. Kalau keris di pinggang bukan dibuat dari polistrin, sudah di atas meja Hafis berdiri. Akan ditusuk segala sendi badan Ramli dengan keris senjata tradisi orang melayu. Tapi melihatkan riak muka ayah mertuanya Pak Borhan berjumpa Ramli, Hafis mengendurkan rasa marah. Tunggulah. Kau tunggu Ramli.

Perlahan-lahan, rombongan Ramli dijemput masuk ke khemah. Satu meja VIP dikosongkan serta merta, dan dikhususkan untuk Ramli, Mak Lemah dan perempuan hidung mancung.
"Ini isteri saya, Timah"
Ramli memperkenalkan perempuan berhidung mancung. Timah, walau gayanya moden, tapi adab perempuan melayu tersohor masih terserlah. Kedua-dua tangan dihulur bila bersalam. Senyum manis diberi tanda mesra perkenalan.

Kini, tumpuan benar-benar sudah bertukar arah. Ramli lah sebenarnya raja sehari hari itu. Tak putus-putus orang datang bersalam di meja Ramli. Sampaikan tetamu jauh yang datang pun keliru yang mana satu pengantin. Cuma Pak Borhan masih peka dengan keadaan semasa. Orang yang baru sampai atau mahu pulang, Pak Borhan akan pastikan dialah yang pertama bersalam. Salam paut dan kaut. Rudeen dan Hafis pula hanya akur dengan kehendak masyarakat. Apa lagi yang boleh dibuat. Takkan nak menari joget lambak semata-mata menarik perhatian?

*****************
"...... begitu lah kisahnya. Harap dengan penjelasan ini, jangan lagi ada yang menuduh bukan-bukan terhadap saya, terutamanya ibu saya..."
Ramli berucap depan orang kampung. Peluang yang diberi Pak Borhan tak disia-siakan. Ramli hanya mahu menjernihkan kekeruhan yang terjadi selama ketiadaan dia di kampung. Mak Lemah teresak-esak menangis di meja, sambil menyinsing lengan untuk mengelap air mata yang tak ada. Dalam simpati pada Mak Lemah anak beranak, orang kampung tetap teruja melihat gelang emas Mak Lemah penuh separuh lengan. Menantu lawa Mak Lemah juga menangis sama. Bertambah lagi lah rasa bersalah dan kasihan orang kampung.
"Dan bukannya saya merajuk dengan kampung Simpang Sepetang. Saya menghilangkan diri hanya untuk memperbaiki diri. Saya nekad, kalau saya tak berjaya saya takkan jejakkan kaki ke kampung. Tapi, siapa sangka. Dalam setahun setengah kehidupan saya dah banyak berubah, sehingga ke tahap ini. 
Saya paling ingat pesanan Haji Rizal sebelum saya keluar dari kampung ini. Kata Tuan Haji, apa pun yang kita buat biarlah seperti tahi hidung. Walaupun tinggalnya di dalam hidung, baunya tak dapat dihidu dek hidung. Bila dicungkil keluar, barulah orang tahu di dalam hidung ada tahi. 
Saya akan kenang sampai bila-bila ayat keramat ni tuan haji"

Ramli berucap dengan penuh emosi. Ramli mengelap air mata di balik cermin mata hitamnya. Orang kampung menjadi bertambah-tambah kasihan. Ada juga yang cuba memahami nasihat Tuan Haji Rizal. Tapi hanya seorang dua. Kisah Ramli hidup terseksa lebih meruntun jiwa. Hafis yang marah sudah menjadi rasa bersalah. Layla yang masih di balik tingkap, sudah timbul bibit menyesal atas perbuatannya pada Ramli selama ini. Haji Rizal? Sengih nya dari tadi tak surut-surut. Terkerenying-kerenying.

"Oh! Sebelum tu, alang-alang dah saya dah sampai sini, saya juga ada niat nak berkongsi kejayaan saya hari ini. Kalau tak anak tempatan sendiri yang tak membantu, siapa lagi nak memajukan ekonomi kampung Simpang Sepetang nih, ye tak? Haji Rizal dah uruskan semuanya, pukul 5 nanti saya ada di Balairaya kampung untuk sesi taklimat. Hari ni saja, sebab malam nanti saya dah nak balik semula ke bandar. Jangan lupa sembahyang Asar dulu ye."

Suasana bawah khemah riuh. Macam bunyi langau menghurung. Tetamu kenduri ada yang sudah membasuh tangan memberhentikan suap makan. Ahli-ahli rewang perlahan-lahan sudah mengundur diri. Walaupun jam baru menunjukkan angka 3 petang, sudah ada yang beransur ke hilir kampung, ke balairaya.

*************************

Haji Rizal mengiringi Ramli kembali ke kereta metalik kelabu. Sebelum masuk ke perut kereta, Ramli menghulur beberapa helai kertas kepada Haji Rizal.

"Tuan Haji, tak terbalas saya rasanya pada jasa tuan haji. Terima kasih banyak-banyak. Ini, saya serahkan borang untuk tuan haji sertai bisnes saya. Tuan Haji isi lah, ajak adik beradik datang sekali. Saya khaskan ruang untuk tuan haji kat balairaya nanti"

Haji Rizal kaget. Tak sangka, pertolongan ikhlasnya dibalas begitu besar oleh Ramli. Tertera di atas borang nama syarikat Ramli. Hebat.

PERNIAGAAN GELANG KESIHATAN RAMLEE & TEEMAH
(anak syarikat Dato' Eh Si, artis tersohot tanah air)


Ramli, Timah dan Mak Lemah kini di dalam kereta. Sambil membetulkan tali pinggang tempat duduk, Ramli menguntum senyum. Ramli yakin, niatnya mengajar penduduk kampung akan tercapai! Dendam kesumatnya yang tersimpan dua tahun, bakal terlaksana.

Muahahahahahahahahh!

You Might Also Like

1 comments

  1. waahhhh...berdendam pulak si ramli ni...
    tak sabar nak baca sambungan cerita ni....

    ReplyDelete

Press

press