Proses pembaharuan dan permohonan baru passport

April 08, 2013

Alhamdulillah.

Semalam (Ahad), berjaya juga menyiapkan passport. Untuk kami 4 beranak. Umi punya passport masih ada 3 tahun lagi jangka hayat. Saya mahu memanjangkan tempoh. Kekasih manja kami yang bertiga, mahu dibuat baru. Jenuh menunggu. Keluar rumah seawal 7 pagi. Selesai urusan sudah jam 12 tengah hari. Tak apa lah. Semua dah pun selesai.

Insya-allah. Cuti sekolah pertengahan tahun, kami akan ke seberang untuk berlibur. Tempat asal-usul keturunan saya. Entah ada atau tidak saudara mara di sana, saya tidak tahu. Saya sendiri sudah generasi yang ke 5 di sini.

Entri ini cuma mahu berkongsi cerita. Proses-proses permohonan passport. Untuk rujukan masa akan datang.

  1. Kenal pasti Jabatan Imigresen yang ada. Kami beruntung di Gombak. Banyak pilihan yang ada. Kami memilih Pejabat Imigresen Jalan Duta. Boleh rujuk di sini (cawangan Kuala Lumpur).
  2. Ada antara pejabat imigresen ini yang beroperasi pada hari hujung minggu (Sabtu dan Ahad). Jadi ini memudahkan kepada mereka yang tidak mahu mengambil cuti, dan juga membawa anak-anak tanpa perlu ponteng kelas. Jalan Duta buka pada hari minggu. :)
  3. Untuk pembaharuan passport, sila bawa dokumen yang berikut;
    1. Gambar berukuran passport yang terbaru (sekeping)
    2. Kad Pengenalan
    3. Passport lama
    4. Wang RM100 (untuk 2 tahun) dan RM300 (untuk 5 tahun)

       
  4. Untuk permohonan baru passport, sila bawa dokumen yang berikut;
    1. Gambar berukuran passport yang terbaru (sekeping)
    2. Kad Pengenalan
    3. Wang RM100 (untuk 2 tahun) dan RM300 (untuk 5 tahun)

      Tambahan (untuk permohonan anak-anak bawah 12 tahun)
    4. Surat beranak asal
    5. Salinan surat beranak (sekeping)
    6. Salinan kad pengenalan ibu/bapa (sekeping untuk setiap permohonan/anak)

       
  5. Untuk permohonan passport anak-anak, mereka perlu di bawa bersama untuk proses pengambilan cop jari.
  6. Tidak ada borang yang perlu diisi. Ini pengalaman saya di Jalan Duta. Tidak tahu jika ianya sudah diseragamkan ke seluruh negara.
  7. Terdapat 4 kaunter yang terlibat (merujuk pengalaman sendiri di  Pusat Imigresen Jalan Duta);
    1. 8.00 am; kaunter nombor. Walaupun pintu hanya dibuka pada jam 8 pagi, orang ramai sudah mula beratur di luar pejabat seawal jam 7.30 pagi lagi! Setiap permohonan akan diberikan satu nombor.
    2. 9.00 am; kaunter penerimaan. Segala dokumen yang diperlukan akan diproses. Di sini setiap pemohon perlu hadir kerana pengesahan cap jari akan dilakukan.
    3. 9.35 am; kaunter pembayaran. Sediakan wang seperti yang telah ditetapkan. Terdapat perbezaan harga untuk sesetengah kategori (warga emas, OKU dan lain-lain). Untuk kanak-kanak bawah 12 tahun, RM 80 untuk 2 tahun dan RM 150 untuk 5 tahun.
    4. 12.00 pm; kaunter penyerahan. Passport yang sudah siap diproses (tanpa ada masalah) akan diserahkan di sini.

       
  8. Antara kaunter pembayaran dan kaunter penyerahan ada sela masa yang agak panjang. Kalau ikutkan padat catatan resit, waktu menunggu sepatutnya 1 jam sahaja. Tetapi semalam kami menunggu sehingga 2 jam setengah. Tak dapat dipastikan ini memang kebiasaannya atau hari itu sahaja tempoh masa menunggu menjadi begitu lama. Jadi kalau membawa anak-anak, siap sedia untuk menghadapi karenah kebosanan mereka. Ada cafe untuk sarapan pagi (pilihan terhad).


Alhamdulillah. Semuanya berjalan dengan lancar. Tidak ada apa-apa halangan (setakat ini) untuk kami sekeluarga ke luar negara.

Tak sabar nak bercuti.

Malaysian Passport 

You Might Also Like

0 comments

Press

press