Belitong : Corat-coret 2

Sewaktu mahu check-in untuk penerbangan ke Belitong aku sekali lagi muskil, kawan.

Di kaunter Sriwijaya Air, aku menghulurkan tiket kapal terbang untuk diperiksa.

"Ketepe nya minta semua sekali, pak" 
"Aaaa?" 
"Ketepenya semua sekali"

Aku bingung. Bingung bukan main-main.

"Ketepe. Passport!"

Mujur ada seorang jelitawan berusia yang beratur di sebelah membantu. Ketepe itu passport. Passport. Tau passport?

"Oh! Passport."

Aku tersengih.

"Ohh! Orang Malaysia."

Jejaka berbaju merah di kaunter pula bergumam sendiri.

Aku sengih lagi.

Semalam.

Aku tanyakan Ipung, apa itu ketepe. Aku ceritakan lagi peristiwa dikaunter itu. Ipung ketawa kecil.

"Ketepe itu, KTP. Sebutan huruf di Indonesia tidak sama seperti kebiasaan. 'Ke' untuk K, 'Te' untuk T dan 'Pe' untuk P."

Ohhh! Patut lah.

"Maksudnya ketepe aka KTP itu, Kartu Tanda Penduduk".

Ohhh! Begitu.

Hah?!

Kartu Tanda Pengenalan?

Bukan itu maksudnya tanda pengenalan warganegara? Pengenalan penduduk sesebuah negara?

Jadi, kenapa aku? Sudah 2 orang mempersoalkan kewarganegaraanku.

Jangan buat troll, kawan!






Reactions

Post a Comment

0 Comments