Pantai Pasir Tengkorak, Langkawi

Pantai Pasir Tengkorak.

Namanya agak menakutkan. Tengkorak, amat sinonim dengan perkara-perkara yang menyeramkan. Kenapa pantai ini dinamakan sedemikian rupa? Ini misteri!

Menurut satu plank maklumat di tepi pantai ini, ada pelbagai cerita yang menghuraikan asal-usul nama Pantai Pasir Tengkorak.

Satu legenda tempatan ada menceritakan perihal raksasa laut atau air pusar yang telah menenggelamkan banyak kapal dan mencampakkan tengkorak mangsanya ke pantai ini.

Menurut satu lagi legenda, satu pertempuran yang hebat di antara burung Garuda dan Jentayu berlaku di pulau berhampiran mengakibatkan banyak nyawa yang terkorban. Jasad para pahlawan yang terkorbantelah banyak ditemui di pantai ini.

Secara faktanya pula, pada suatu ketika dahulu terdapat sebuah penjara di Pulau Tarutao. Walaupun ramai banduan yang cuba melarikan diri, ia sukar dilakukan kerana banyak jerung berkeliaran di perairan ini pada masa lampau. Yang gagal biasanya akan lemas atau dibaham jerung dan jasad mereka terdampar di sini.

Hmmm! Terpulanglah mahu percaya atau tidak.

Bagi kami sekeluarga, nama itu hanya nama. Terutamanya anak-anak, sedikit pun tidak terjentik rasa takut. Kerana apabila mata bertentang dengan rupa sebenar pantai utara Langkawi ini, hanya satu yang bermain di fikiran.

Nyebur!

Lihat sendiri doeng, pantai kayak gini hanya mau dilihatin? Ehehehe!

Pantai Pasir Tengkorak, Langkawi
The colours
 
Pantai Pasir Tengkorak, Langkawi
My son

Tarutao Island, Thailand
Pulau Tarutao, Thailand

Pantai Pasir Tengkorak, Langkawi
At the west side of the beach

Pantai Pasir Tengkorak, Langkawi
Rocky area. Nice place for wedding photoshoot

Pantai Pasir Tengkorak, Langkawi
Short stretch of Pantai Pasir Tengkorak

Gambar-gambar di atas diambil sekitar Februari 2011. Dan sepanjang aku menjadi "rakyat" Langkawi, ini lah rupa pantainya dari dahulu (2002) sampai sekarang (2014). Pantai ini agak jauh ke barat laut pulau (ingat tak ni, Geografi?), dan rasanya tidak ada papan penunjuk arah sepanjang perjalanan. Kalau mahu ke mari, cari sahaja jalan mahu ke Taman Buaya. Kira-kira 4-5 km (atau kurang) lajak ke depan, akan sampai ke pantai ini. Kalau tak perasan, boleh terlajak sampai ke hujung pulau. Sebab pantainya agak terlindung dari jalan utama.

Bayaran? Dahulu, tiada bayaran masuk dikenakan. Hanya bayaran menggunakan tandas sahaja. Sekarang, dengan pengurusan baru, untuk masuk ke kawasan pantai dikenakan bayaran RM2 untuk dewasa, RM1 untuk kanak-kanak. Walaupun ada yang merungut dengan alasan ini pantai awam, bayaran sekecil itulah yang digunakan untuk menampung (sebahagian) perbelanjaan menguruskan kebersihan pantai. Untuk kita juga, kan? Jadi tak perlu lah nak berkira sangat, ya!


Tetamu

Satu lagi perkara yang perlu diambil kira di sini ialah kedatangan pihak yang tak diundang. Okay, nama pantai memang seram, tetapi yang datang "menyerang" ini bukan daripada kelompok alam ghaib. Ehehehe! Ada dua entiti yang perlu diberikan perhatian;
  1. Beruk/Monyet/Ungka/Lotong; Maaf lah, kurang pasti yang mana satu. Yang ini agak ganas, suka merampas. Jadi elakkan datang waktu lengang, sebab masa ini puak ini bermaharajalela.
  2. Ulat bulu; Tepi pantai banyak pokok rendang untuk kita berteduh. Tetapi ada juga pokok yang banyak ulat daunnya. Jadi yang beranak kecil terutamanya, sentiasalah peka. Sebab memang gatal-gatal badan jadinya.
Oh ya! Untuk makan, sila lah bawa bekal sendiri. Tidak ada kedai makan di sini, kecuali yang dimiliki oleh pihak resort bersebelahan. Pilihan makanannya terhad, harganya kurang pasti. Untuk kepuasan bawalah bekal sendiri.


Tandas

Tandas awamnya agak menyedihkan. Sebelum ini agak berbau dan banyak yang rosak. Tetapi kali terakhir kami ke sana (Mac 2014), keadaan sudah agak baik. Tetapi paip mandi tetap masih belum berganti. Bilik air yang berpintu juga agak terhad. :)

Pantai ini tetap menjadi pilihan kami sekeluarga. Pantainya bersih dan kurang padat (berbanding Pantai Chenang). Kalau ada yang mengomel pantainya banyak sampah-sarap, sebenarnya bukanlah benar-benar sampah. Lebih kepada ranting-ranting kayu, pelepah daun dan yang sejenisnya. Ini normal terutamanya jika musim hujan, "sampah-sampah" ini akan hanyut ke laut dan kemudian terdampar ke tepi pantai. Jangan risau, ada yang akan membersihkannya nanti.

Di bawah ini pula gambar diambil pada penghujung tahun 2013.
Pulau Tarutao, Thailand
Pulau Tarutao, Thailand

Kakak Hanis
Hanis
Abang Haris
Haris
Kakak Hanim
Hanim
Adik-beradik
Permata hati. 

Selamat bertengkorak! :)



*****************
Ke mana lagi di Langkawi? Klik di sini.





Reactions

Post a Comment

0 Comments