Samseng jalanraya VS Samseng Cyber

July 16, 2014


Kecoh di kala ini perihal seorang perempuan yang beremosi di luar kawalan kesan daripada pelanggaran tidak sengaja ke atas keretanya.

Sudah tersebar videonya di dunia media sosial.

Aduh!

Aibnya tersebar luas. Sangat luas.

Perempuan itu seorang muslim, dan kebanyakkan penyebar video itu juga muslim.

Perempuan itu salah. Ya, dari segi adab dan tingkah lakunya. Tetapi, cukup lah kesalahan itu terhenti kepada perempuan itu. Biarlah "samseng"nya terhenti di situ. Mana tahu, kala video ini tersebar luas ke seluruh dunia, sudah ada perdamaian antara keduanya.

Yang menyedihkan, tanpa disedari atau mungkin tidak mahu mengaku, yang menyebarkan video kelakuan perempuan itu diinternet juga layak dipanggil samseng. Atas alasan apa sekalipun. Untuk apa disebarkan perkara yang mengaibkan itu? Sudah lah disebarkan aibnya, caci-maki, kutuk-mengutuk yang mengikut kemudiannya tidak langsung terkawal.

Dosa berantai!

Kemudian, tidak cukup dengan sebaran video, diselak pula segala maklumat peribadi perempuan itu. Sudah lah mendapat aib, kisah peribadi pula digembur keluar tanpa ada rasa bersalah. Ibarat penyebar video atau penyiasat aib ini, maksum semuanya. Ibarat yang "berhujah" tentang kesalahan perempuan itu, sudah pasti menempah tiket ke syurga.

Begitukah?

Jangan kita terlampau ghairah menyebarkan sesuatu perkara. Hati manusia ini ada tompok nafsu. Lemah iman, nafsu menjadi raja. Dan kala itu, kelakuan kita juga entah mungkin melebihi daripada perempuan itu. Atau mungkin pasangan kita. Atau mungkin anak-anak kita. Atau mungkin ibu bapa kita.

Astaghfirullah.

Semoga aku dan keluarga serta sahabat-sahabatku tidak terjerumus ke lembah dosa sebegini.

Status dari "dinding" Firdaus Wong yang berkaitan isu ini

2005
Kes ini mengimbau kembali kisah hampir 10 tahun yang lalu. Kala itu, Syah sedang sarat mengandungkan anak kami yang kedua. Kami dalam perjalanan pulang ke pejabat selepas makan tengah hari. Di Jalan Pahang, kereta sudah terhenti akibat kesesakan dan kami turut sama terperangkap.

Hanya beberapa saat selepas tayar Proton Wira kami terhenti, satu bunyi sereten brek kereta yang panjang kedengaran. Aku mengintai di cermin tepi dan tengah, dan belum sempat melihat apa yang terjadi, terus...

BANGGGG!!!!

Kereta kami dilanggar kuat dari belakang. Syah sedang menikmati makan tengah hari yang masih tersisa di tempat duduk sebelah, habis terhambur makanannya ke cermin hadapan. Alhamdulillah, Syah memakai talipinggang keselamatan dan tidak ada apa-apa kecederaan yang berlaku. Kandungan juga tidak ada apa-apa. Aku pula sakit ditengkuk. Akibat hentakan yang kuat. Setelah memastikan Syah tidak ada sebarang kelukaan, aku melangkah keluar. Tika itu orang ramai sudah mula berkerumun.

Kalau diikutkan, aku patut bereaksi marah. Undang-undang sudah aku patuh, langkah keselamatan sudah aku ambil, jadi sudah jelas aku tidak salah. Marah aku sepatutnya lebih lagi, kerana Syah yang sarat boleh terluka, malah membahayakan kandungannya. Jadi, sudah ada justifiasi untuk aku menjadi marah.

Tetapi kala aku melihat orang yang melanggar kereta aku itu, aku menjadi serba-salah. Dia seorang ayah, seorang suami. Ada isterinya yang masih di dalam kereta, ada anaknya yang duduk di belakang kereta. Wajah lelaki itu sangat terserlah rasa takutnya. Bukan takut dengan aku, tetapi aku jangka dia sangat takut dengan pengalaman kemalangan ini. Sama seperti aku, ini kali pertama kami terlibat dalam kemalangan. Aku kendurkan rasa marah.

"Abang, camana? Abang ok?"

Dia mengangguk-angguk. Masih menggigil.

"Orang-orang dalam kereta semua ok?"

Dia masih mengangguk.

Dan urusan kami seterusnya berjalan lancar. Kami bersetuju untuk menyelesaikan kes ini dengan tuntutan insurans. Tidak ada bentak-membentak. Tidak ada marah-marah. Kami selesaikan apa yang patut diselesaikan.

Mudah.

Bukan mahu membangga diri. Bukan mahu mengatakan aku lah contoh terbaik. Tetapi ada masanya, kita perlu, malahan sangat perlu untuk berfikiran waras semasa musibah melanda. Emosi memang akan kuat mempengaruhi, dan seringkali kita akur dengan arahan emosi. Aku juga, ada waktunya gagal mengawal emosi. Ada kalanya aku seorang yang sangat tidak rasional.

Hanya kepada Allah kita mohon keampunan. Pinta kepada Yang Esa ini, agar tidak dibolak-balikkan hati.

Sama-sama kita perbaiki diri.


Bacaan berkaitan;
Inilah Yang Terjadi Apabila Video Menjadi ‘Viral’

You Might Also Like

0 comments

Press

press