Sembilan jam

July 26, 2014

Tahun ini beraya di Langkawi. Sepatutnya Gombak. Atas sebab-sebab tertentu.

Tidak mengapalah.

Seawal jam 2.30 pagi sudah dikejutkan Syah untuk bersiap. Mata masih berat mahu terkatup, tetapi sudah ada janji yang perlu dilaksana. Bangkit, mandi dan terus mengemas minit-minit akhir.

Jam 3.24 pagi kami enam sekeluarga meluncur deras di atas jalan.

Berkira-kira mahu berhenti bersahur di hentian rehat di Simpang Pulai. Jangkaan tiba jam 5 pagi, berdasarkan pengalaman lepas. Tapi sejak menjejak ke lebuhraya, kenderaan terus-menerus bertali arus. Tiba di Tanjung Malim, pesta lampu merah bermula!

Kereta mengensot perlahan. Waktu sahur pula sudah mahu menutup tirai. Nekad! Susur keluar di Behrang, dan akhirnya berhenti bersahur di ruang letak kereta sebuah masjid di Slim River. Waktu masih berbaki 20 minit sebelum Subuh menjelma, kami teruskan perjalanan dan berhenti di Petronas Kampar untuk solat.

Usai menunaikan tuntutan fardu, kami menyambung perjalanan. Mahu kembali semula ke lebuhraya. Susur masuk di Simpang Pulai.

Pap!

Tepuk dahi.

Terus serta-merta kembali dengan pesta lampu merah. Dan yang memeritkan, memandu selama DUA JAM dari Simpang Pulai ke terowong Menora. Aduh! Peritnya. Letih. Kantuk masih belum hilang, sudah terperangkap dalam perhimpunan kereta di lebuhraya. Tanpa izin. Tanpa dipinta.

Puncanya ada tayar lori yang meletup. Tapi sesaknya panjang berkilometer. Mujur selepas itu lalulintas kembali normal.

Sembilan jam memandu. Letih. Penat.

Di dalam feri mahu menunaikan hajat mata. Tidak berjaya. Di rumah mertua, gagah perkasa melunaskan dendam. Tanpa sedar, lelap sehingga jam 5.40 petang.

Berbuka. Empat gelas air masih belum cukup!

You Might Also Like

0 comments

Press

press