Wednesday, 27 August 2014

thumbnail

Gadis Kaunter Bersari Oren

Urusan di imigresen berjalan lancar. Bagasi hanya satu, jadi tidak perlu berlama-lama. Tetapi sengaja juga berjalan lenggang-kangkung, kerana mahu "membunuh" masa.

Selamat sampai itu, Alhamdulillah.

Menunggu lagi 10 jam itu, aduh lah!

Sudah kebuntuan.

Baru teringat, misi pertama apabila sudah tiba ialah mencari simcard telefon. Mahu berhubung dengan kekasih tercinta. Mahu memaklumkan kepada ayah dan bonda. Sekarang ini betul-betul keseorangan. Bohong kalau aku katakan aku tidak takut.

Takut betul, kawan. Takut kerana keseorangan. Takut kerana ada persepsi yang tercipta terhadap India. Dan orang-orangnya.

Takut yang dicipta sendiri, sebenarnya.


Kaunter Air India

Ke hulu ke hilir mencari kaunter perkhidmatan telekomunikasi, masih gagal. Dan tanpa sedar, sudah berada di luar lapangan terbang. Entah bila kaki melangkah keluar, tak perasan. Mahu masuk semula, perlu lalu pemeriksaan polis. Dan mesti punya tiket kapal terbang yang sah.

Baru teringat!

Elok kalau dicari kaunter Air India, mahu mengesahkan tiket yang telah dibeli terdahulu.

Jumpa.

Beratur.

Sebenarnya buntu juga, mahu tanya apa?
"Yes Sir?"
Gadis berpakaian tradisional sari warna oren menyapa di balik kaunter.
"Hi. May I know is there any earlier flight than this?"
Aku hulurkan tiket. Tiba-tiba datang idea mahu segera ke Delhi. Tidak mahu menunggu sehingga 10 jam.
 "Hold on, sir. Give me 5-10 minutes"
Gadis bersari oren meminta masa. Kepalanya tergeleng-geleng. Gaya khas geleng Chennai. Matanya tertumpu ke skrin komputer. Jarinya mengetik-ngetik papan kekunci.
"Yes sir. There is one flight at 10.45 am"

"Good! How much does it cost?"

Lantak lah. English pangkat C3 SPM aku, kalau boleh faham maknanya betul lah tu.
"Give me 5 minutes, sir"
Minta masa lagi. 5 minit lagi. Geleng Chennai lagi.

Gadis bersari hulurkan kalkulator.

Tertera INR 4888.



FOREX

Aku keluarkan jadual "FOREX" yang aku sediakan awal-awal lagi. Senang untuk dirujuk, terutamanya masa berjual-beli.

FOREX
FOREX

Jadual FOREX ciptaan sendiri.

INR 4888 itu nilainya hampir dengan RM300. Agak mahal. Memang mahal. Iya lah, lumrah harga tiket kapal terbang semakin dekat dengan tarikh/masa penerbangan dengan tarikh pembelian, makin mahal lah harganya. Tetapi RM300 untuk penerbangan selama dua jam lebih, agak berbaloi. Tidak perlu membuang masa 10 jam di lapangan terbang yang agak suram ini.

Di waktu sudah ada keputusan akhir, terdetik mahu melihat jam tangan.

10.25 pagi.

Eh! 10.25 pagi?

Kata gadis bersari, penerbangan yang berikutnya jam 10.45 pagi. Ada sela masa sekitar 20 minit. Mana mungkin sempat untuk check-in. Mana sempat! Mana sempat! Arah tujuan di lapangan terbang ini pun aku masih kabur.

Amboi!

Ini memang menjadikan aku marah. Pandai betul gadis bersari mahu mengambil kesempatan atas kepolosan diri ini! Mentang-mentang lah aku keseorangan, mahu dipermainkan aku sebegini rupa.

Tiba-tiba badan aku menggigil.

Mata aku terbeliak. Marah!

Tangan aku keduanya teracung-acung ke atas. Membentuk seperti kembangnya kepala ular tedung.

Aku kerasukan semangat ular!

Nagin
Gambaran ketika aku kerasukan

Lalu aku cuba mematuk gadis kaunter kerana kejahatan beliau yang mahu menipu! Dia menjerit-jerit ketakutan.

Sssssttt...!! Ssssttt...!!

Lidah aku terjelir-jelir, menunggu saat yang tepat untuk memuntahkan racun!

Pap!

Eh!

Itu hanyalah gambaran di kepala. Tidak berlaku.

Cuma sebenarnya aku hanya mampu menahan marah. Kepada gadis bersari oren, aku katakan terima kasih!



Nyanyuk

Aku kembali berdiri di depan paparan "board flight status". Masih marah, aku memerhati satu persatu. Yang bakal berlepas, ada di senarai atas. Aku mencari penerbangan yang dicadangkan gadis kaunter bersari oren. Eh! Kenapa jauh ke bawah? Lambat lagi kah? Ada penangguhan kah?

Mata kembali ke bahagian atas senarai. Penerbangan yang bakal berlepas, jam 8 pagi.

Aik?

Laaaaaa....!!

Tepuk dahi. Geleng Chennai.

Baru teringat. Jam tangan aku masih berwaktukan Malaysia. Jam 10.25 pagi yang aku tengok tadi, itu 10.25 pagi di Gombak. Sekarang aku di Chennai, India. Di sini, baru jam 8 pagi!

Hahahahaha! Gelakkan diri sendiri.

Terus berpatah balik ke kaunter Air India. Kepada gadis bersari oren yang kufitnah sebentar tadi, kuhulurkan senyuman paling manis. Semanis Rajnikanth. Aku meminta dengan gaya paling ayu, sopan dan penuh takzim, sekeping tiket kapal terbang ke Delhi jam 10.45 pagi.

"Okay, sir. Please wait. Give me 5-10 minutes"

Geleng lagi. Geleng Chennai.

Dan aku, menggeleng kepala gaya Gombak terkenangkan insiden tadi.

Itulah.

Cepat betul nak berburuk sangka.

Penerbangan ke Delhi dengan Air India
Penerbangan ke Delhi dengan Air India

दिल्ली, मैं आ गया 


Dillī, maiṁ ā gayā.


Delhi, aku datang!


<< Sebelum
Geleng Chennai
Seterusnya >>
Dari Air India ke Meru Cab
ITINERARI 4H3M NEW DELHI, INDIA
(Senarai lengkap aktiviti selama 4 hari di New Delhi, India)







thumbnail

Geleng Chennai

Dalam kapal terbang, tempat duduknya agak sempit. Biasalah. Namanya pun kapal terbang bajet. AirAsia. Tak lah semewah MAS. Untung juga masih selesa, mungkin disebabkan keadaannya yang bersih.

Aku duduk di deretan paling hujung, bersebelahan tingkap sebelah kiri pesawat. Di sebelah, lelaki India Muslim dari Taiping. Mahu ke Chennai melawat sanak saudara. Berborak sedikit banyak berkaitan Chennai, sejarah keluarga.

Ya. Sejarah keluarga beliau. Perihal migrasi ke Tanah Melayu. Layan.

Brader di kerusi paling hujung, mahu mencelah berborak. Bosan barangkali. Memang berasal dari Chennai, tetapi sudah agak lama bekerja di Malaysia. Peramah, tapi sayang bahasa Malaysianya agak hancur. Berbahasa Inggeris tidak pantai. Jadi, angguk-angguk geleng-geleng sahaja. Banyak geleng sebenarnya.

Dan bila aku mengadu yang aku akan transit di lapangan terbang Chennai selama 10 jam, geleng kepala kedua-dua sahabat semakin ligat dan laju.

Geleng-geleng. Gaya Chennai.

Hiihihihihi!

Kuala Lumpur, Malaysia - Chennai, India
Laluan penerbangan ke Chennai


Bila masing-masing sudah keletihan, mata mula merapat mahu berehat. Aku, sudah tidak lalu mahu tidur. Debar mahu kembara seorang diri masih kuat berdegup. Entah apa entah bagaimana hala tuju apabila tiba di Chennai nanti.

Pemandangan di luar sememangnya menyegarkan. Kombinasi awan yang cantik berkepul dan lautan membiru, sangat mempersona. Tetapi khayal nya hilang bila kapal terbang merempuh awan tebal. Hilang kaki, lembik macam jelly. Tapi itu juga menandakan sudah hampir ke daratan (daripada pengalaman-pengalaman sebelum ini).

Yup! Jam 9.30 pagi juruterbang sudah mengumumkan kapal terbang sudah mahu mendarat.

Kaki bakal mencecah tanah India.

Teruja!


<< Sebelum
Tinggal dulu, anak-anak!
Seterusnya >>
Gadis Kaunter Bersari Oren
ITINERARI 4H3M NEW DELHI, INDIA
(Senarai lengkap aktiviti selama 4 hari di New Delhi, India)







Monday, 25 August 2014

thumbnail

Tinggal dulu, anak-anak!

Delhi, aku datang!



Rabu, 7 November 2012


Hari yang ditunggu sudah tiba. Aku dan anak-anak berkampung di rumah abah. Terpaksa, sebab jam dua pagi sudah mahu bergerak ke lapangan terbang.


12.30 pagi

Abah ketuk pintu bilik. Disuruhnya bersiap. Masih awal, tapi abah tetap mengetuk pintu suruh bangun. Biasalah abah, memang sudah menjadi kebiasaan untuk bersiap awal. Mahu atau tak, tetap kena bangun dan buka pintu. Bersiap ala kadar, jam 1 pagi sudah selesai bersiap. Ada satu jam lagi perlu menunggu, sudah berjanji dengan abang Imi untuk menghantar ke lapangan terbang.

Rugi juga bila terkenang. Sementara menunggu, boleh juga buat solat sunat.

Dalam bilik, muka anak-anak ditenung satu persatu. Si kecil Hanis, terjaga sekejap untuk pastikan abahnya ada di sebelah. Kemudian kembali terlena. Kesian. Hiba. Mahu ditinggalkan anak-anak ini jauh sekali lagi. Walaupun pengalaman sudah ada (ketika menunaikan umrah), tetap ada rasa sedih. Kalau lah ada rezeki, memang dibawa semua anak-anak.


2.00 pagi

Telefon abang Imi. Jam 2.15 pagi bergerak menghala ke KL Sentral. Tinggal ye, anak-anak abah!


2.40 pagi

Sudah berada di atas bas. Melilau juga mencari, mana tahu bas menunggu di tempat lain. Ada kerja-kerja membaikpulih di KL Sentral. Untung ada orang yang memaklumkan bas menunggu di Jalan Tun Sambathan. Tak lah jauh, tapi situasi macam ini biasanya akan buatkan kita rasa gelabah juga.


4.00 pagi

Di LCCT, terus sahaja ke kaunter imigresen. Alhamdulillah, tiada apa-apa halangan. Hanya satu hand luggage, jadi urusan sangat cepat. Dan sebagai anak yang baik, aku maklumkan kepada abah di rumah yang aku sudah sampai di lapangan terbang.


6.20 pagi

Panggilan masuk. Ada sedikit rasa gemuruh. Seorang diri mahu terbang jauh. Entah macamana lah nanti perjalanan solo ini. Lokasi pertama ialah Chennai. Tidak tahu apa yang boleh dijangka di situ. Tambah risau, macam mana mahu dihabiskan masa selama 10 jam sebelum terbang ke Delhi?

"Subhanallazi saharo lana haza wama kunna lahu mukrinin. Wainna ilaihi robbina lamunqolibun"


Semoga perjalanan ini dipermudahkan-Nya.


<< Sebelum
Cinta antara benua
Seterusnya >>
Geleng Chennai
ITINERARI 4H3M NEW DELHI, INDIA
(Senarai lengkap aktiviti selama 4 hari di New Delhi, India)







thumbnail

Cinta antara benua

Isnin, 5 November 2012.

Syah sudah selamat sampai di India. Jam 1 pagi waktu Malaysia. Alhamdulillah. Menerima mesej daripada kekasih jiwa ini sudah cukup melegakan. Tahu, Syah ada bersama-sama rakan sepejabat berempat. Tapi jarak kami yang terpisah antara benua, membuatkan hati tetap terasa gundah.

Penangan cinta panahan Shah Jehan dan Mumtaz.

Benua menjadi pemisah sementara.


Cinta Antara Benua
Status FB 5 Nov 2012
Eheheh!

Biasalah kaki filem hindustan. Drama mesti lebih! :)


<< Sebelum
Permohonan Visa ke India
Seterusnya >>
Tinggal dulu, anak-anak!
ITINERARI 4H3M NEW DELHI, INDIA
(Senarai lengkap aktiviti selama 4 hari di New Delhi, India)







thumbnail

Namaste. Delhi, aku datang!

Taj Mahal, India
Taj Mahal

India.

Tidak pernah terbayang suatu hari akan terjejak juga kaki ke negara yang penuh dengan resam budaya ini. Tanah yang pelbagai warna dan bentuk, menyaksikan perjuangan hero zaman moden yang menjadi idola seantero dunia. Mahatma Gandhi.

Bagi aku, sebelum mengenali Mahatma Ghandi, India hanyalah sebuah negara yang penuh dengan kepalbagaian. India itu Hindustan. Filem hindustan. India itu Bobby, India itu Aal Gale Lag Ja. India itu Shahrukh Khan. India itu Madhuri Dixit.

India itu miskin. India itu polis dan menterinya korup. India itu juga cantik dengan alam semula jadinya (merujuk kepada Kashmir dan lokasi-lokasi penggambaran filem Hindustan).

Tidak banyak yang aku kenal tentang India. Apa yang ditunjuk dalam filem, itulah yang aku terjemahkan sebagai India sebenarnya.

Dan, berpeluang untuk ke India bersama kekasih hati, tidak sesekali akan dipersiakan. Jadi di sini, aku catatkan kenangan dan pengalaman kami ke New Delhi selama 4 hari ini.


ITINERARI



HARI 2 (Khamis, 8 November 2012)
  1. Menyusuri Yamuna Expressway dari Delhi ke Agra
  2. Wajah-wajah Jalanan Agra
  3. Taj Mahal

HARI 3 (Jumaat, 9 November 2012)
  1. Bergaduh di Sarojini Nagar

HARI 4 (Sabtu, 10 November 2012)
  1. Jamaa Masjid, Old Delhi
  2. Mengintai Chandni Chowk




Nota; 
Dikemaskini pada 1 September 2016. Akan dikemaskini dari semasa ke semasa.





Friday, 22 August 2014

thumbnail

Istana Iskandariah, Kuala Kangsar

Selepas solat di Masjid Ubudiyah, kami terus ke Istana Iskandariah yang berhampiran. Tidak berharap untuk masuk ke dalam istana, sudah tahu nasib rakyat marhaen sebegini hanya layak mengintai di balik pagar.

Ehehehehe!

Abang ipar yang beria mahu menunjukkan istana ini. Kami hanya mengikut dari belakang. Seperti kebanyakkan istana di Malaysia, hiasan lanskap istana sememangnya cantik. Kami teruja melihat (baca: mengintai) kehijauan taman sepanjang jalan masuk ke istana. Suasana sebegini memang menjadi idaman ramai. Untunglah menjadi anak raja. Termenung sahaja lah si anak marhaen.

Jalan masuk Istana Iskandariah
Jalan masuk ke istana

Tidak banyak yang boleh kami lakukan di sini, selain daripada bergambar. Boleh lah untuk kenangan. Untuk menandakan kami pernah menjejak kaki. Kalau ada yang boleh bawa kami masuk ke dalam, sangat lah dialu-alukan. Ahahah! Berangan-angan, apa salahnya.

Istana Iskandariah, Kuala Kangsar
Patik bersama dengan permaisuri hati

Istana Iskandariah, Kuala Kangsar
Pagar yang tertutup rapat

Istana Iskandariah, Kuala Kangsar
Ramai-ramai

Jata negeri Perak
Jata negeri Perak

Sedikit maklumat berkaitan Istana Iskandariah;
The design of the palace is based on the architecture of West Asia, which is famous for its pointed arches and onion-shaped domes. The building is rectangular in shape and faces the sunrise and the river. The roof is designed with one main dome in the centre and four subsidiary domes, one on each of the palace. Source - Wikipedia

Untuk ke sini juga tidak sukar. Di bawah ada aku sertakan peta untuk ke sana.

Thursday, 21 August 2014

thumbnail

Masjid Ubudiyah, Kuala Kangsar

Sudah kerap sebenarnya kami ke Kuala Kangsar. Entah berapa kali, sudah hilang kiraan. Selalunya kami hanya singgah di pasar paginya untuk membeli sedikit buah tangan untuk dibawa pulang. Kemudian, menjamu selera dengan juadah Kuala Kangsar yang sering disebut orang.

Laksa Kuala.

Singgahan kami kali terakhir (tahun 2012), ada sedikit kelainan. Kami menjelajah sekitar Kuala Kangsar. Bermula dengan river cruising, kemudian berhenti solat di Masjid Ubudiyah dan akhir sekali bergambar di hadapan Istana Iskandariah dan Muzium DiRaja..

Semasa river cruising, sudah nampak kubah-kubah kuning Masjid Diraja ini dari kejauhan. Agak teruja sebenarnya untuk ke masjid ini, kerana selama ini hanya melihat gambarnya di majalah atau di kaca televisyen. Kali ini, bakal menyaksikan dengan mata sendiri.

Masjid Ubudiyah Kuala Kangsar
Kubah masjid kelihatan dari Sungai Perak


Kami tiba di masjid ini beberapa minit sebelum azan Zohor berkumandang. Tidak ada apa-apa kesukaran untuk memarkir kereta. Kelihatan juga beberapa keluarga yang turut singgah untuk melawat-lawat dan berhenti solat. Jemaah tempatan juga ada, dan seperti di mana-mana masjid pun kebanyakkan jemaah tempatan adalah terdiri daripada golongan warga emas.

Saya juga salah seorang bukan warga emas itu. :)

Keadaan dalam masjid sangat selesa. Sesuai dengan statusnya sebagai masjid diRaja, susunatur dalam masjid sangat indah. Bersama dengan jemaah tempatan, kami menunaikan solat Zohor. Usai bersolat, sempat juga mengambil gambar serba sedikit.

Syiling Masjid Ubudiah
Syiling masjid

Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar
Abang Haris bergambar di pintu masjid

Dan bergambar dengan berlatarbelakangkan masjid ini menjadi kemestian. Dengan ahli keluarga, dan juga seorang sahabat yang tiba-tiba terjumpa di perkarangan masjid.

Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar
Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar

Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar
Sekeluarga

Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar
Mak & Abah

Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar
Keluarga besar


Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar
Sahabat matrikulasi, Akheri aka Siam

Di sebelah masjid, ada sebuah rumah lama yang masih mengekalkan binaan tradisional. Agak menarik, tetapi tidak diketahui apa peranannya. Rumah ini kosong tidak berpenghuni, tetapi persekitarannya agak terjaga.

Rumah lama
Rumah Lama

Rumah lama
Hitam Putih

Lain kali, kalau ada rezeki boleh lagi singgah ke masjid ini.

Insya-Allah.





About