Gadis Kaunter Bersari Oren

August 27, 2014

Urusan di imigresen berjalan lancar. Bagasi hanya satu, jadi tidak perlu berlama-lama. Tetapi sengaja juga berjalan lenggang-kangkung, kerana mahu "membunuh" masa.

Selamat sampai itu, Alhamdulillah.

Menunggu lagi 10 jam itu, aduh lah!

Sudah kebuntuan.

Baru teringat, misi pertama apabila sudah tiba ialah mencari simcard telefon. Mahu berhubung dengan kekasih tercinta. Mahu memaklumkan kepada ayah dan bonda. Sekarang ini betul-betul keseorangan. Bohong kalau aku katakan aku tidak takut.

Takut betul, kawan. Takut kerana keseorangan. Takut kerana ada persepsi yang tercipta terhadap India. Dan orang-orangnya.

Takut yang dicipta sendiri, sebenarnya.


Kaunter Air India

Ke hulu ke hilir mencari kaunter perkhidmatan telekomunikasi, masih gagal. Dan tanpa sedar, sudah berada di luar lapangan terbang. Entah bila kaki melangkah keluar, tak perasan. Mahu masuk semula, perlu lalu pemeriksaan polis. Dan mesti punya tiket kapal terbang yang sah.

Baru teringat!

Elok kalau dicari kaunter Air India, mahu mengesahkan tiket yang telah dibeli terdahulu.

Jumpa.

Beratur.

Sebenarnya buntu juga, mahu tanya apa?
"Yes Sir?"
Gadis berpakaian tradisional sari warna oren menyapa di balik kaunter.
"Hi. May I know is there any earlier flight than this?"
Aku hulurkan tiket. Tiba-tiba datang idea mahu segera ke Delhi. Tidak mahu menunggu sehingga 10 jam.
 "Hold on, sir. Give me 5-10 minutes"
Gadis bersari oren meminta masa. Kepalanya tergeleng-geleng. Gaya khas geleng Chennai. Matanya tertumpu ke skrin komputer. Jarinya mengetik-ngetik papan kekunci.
"Yes sir. There is one flight at 10.45 am"

"Good! How much does it cost?"

Lantak lah. English pangkat C3 SPM aku, kalau boleh faham maknanya betul lah tu.
"Give me 5 minutes, sir"
Minta masa lagi. 5 minit lagi. Geleng Chennai lagi.

Gadis bersari hulurkan kalkulator.

Tertera INR 4888.



FOREX

Aku keluarkan jadual "FOREX" yang aku sediakan awal-awal lagi. Senang untuk dirujuk, terutamanya masa berjual-beli.

FOREX
FOREX

Jadual FOREX ciptaan sendiri.

INR 4888 itu nilainya hampir dengan RM300. Agak mahal. Memang mahal. Iya lah, lumrah harga tiket kapal terbang semakin dekat dengan tarikh/masa penerbangan dengan tarikh pembelian, makin mahal lah harganya. Tetapi RM300 untuk penerbangan selama dua jam lebih, agak berbaloi. Tidak perlu membuang masa 10 jam di lapangan terbang yang agak suram ini.

Di waktu sudah ada keputusan akhir, terdetik mahu melihat jam tangan.

10.25 pagi.

Eh! 10.25 pagi?

Kata gadis bersari, penerbangan yang berikutnya jam 10.45 pagi. Ada sela masa sekitar 20 minit. Mana mungkin sempat untuk check-in. Mana sempat! Mana sempat! Arah tujuan di lapangan terbang ini pun aku masih kabur.

Amboi!

Ini memang menjadikan aku marah. Pandai betul gadis bersari mahu mengambil kesempatan atas kepolosan diri ini! Mentang-mentang lah aku keseorangan, mahu dipermainkan aku sebegini rupa.

Tiba-tiba badan aku menggigil.

Mata aku terbeliak. Marah!

Tangan aku keduanya teracung-acung ke atas. Membentuk seperti kembangnya kepala ular tedung.

Aku kerasukan semangat ular!

Nagin
Gambaran ketika aku kerasukan

Lalu aku cuba mematuk gadis kaunter kerana kejahatan beliau yang mahu menipu! Dia menjerit-jerit ketakutan.

Sssssttt...!! Ssssttt...!!

Lidah aku terjelir-jelir, menunggu saat yang tepat untuk memuntahkan racun!

Pap!

Eh!

Itu hanyalah gambaran di kepala. Tidak berlaku.

Cuma sebenarnya aku hanya mampu menahan marah. Kepada gadis bersari oren, aku katakan terima kasih!



Nyanyuk

Aku kembali berdiri di depan paparan "board flight status". Masih marah, aku memerhati satu persatu. Yang bakal berlepas, ada di senarai atas. Aku mencari penerbangan yang dicadangkan gadis kaunter bersari oren. Eh! Kenapa jauh ke bawah? Lambat lagi kah? Ada penangguhan kah?

Mata kembali ke bahagian atas senarai. Penerbangan yang bakal berlepas, jam 8 pagi.

Aik?

Laaaaaa....!!

Tepuk dahi. Geleng Chennai.

Baru teringat. Jam tangan aku masih berwaktukan Malaysia. Jam 10.25 pagi yang aku tengok tadi, itu 10.25 pagi di Gombak. Sekarang aku di Chennai, India. Di sini, baru jam 8 pagi!

Hahahahaha! Gelakkan diri sendiri.

Terus berpatah balik ke kaunter Air India. Kepada gadis bersari oren yang kufitnah sebentar tadi, kuhulurkan senyuman paling manis. Semanis Rajnikanth. Aku meminta dengan gaya paling ayu, sopan dan penuh takzim, sekeping tiket kapal terbang ke Delhi jam 10.45 pagi.

"Okay, sir. Please wait. Give me 5-10 minutes"

Geleng lagi. Geleng Chennai.

Dan aku, menggeleng kepala gaya Gombak terkenangkan insiden tadi.

Itulah.

Cepat betul nak berburuk sangka.

Penerbangan ke Delhi dengan Air India
Penerbangan ke Delhi dengan Air India

दिल्ली, मैं आ गया 


Dillī, maiṁ ā gayā.


Delhi, aku datang!


<< Sebelum
Geleng Chennai
Seterusnya >>
Dari Air India ke Meru Cab
ITINERARI 4H3M NEW DELHI, INDIA
(Senarai lengkap aktiviti selama 4 hari di New Delhi, India)







You Might Also Like

0 comments

Press

press