11 tips meluangkan masa untuk membaca (bagi orang yang sibuk)

September 04, 2014

Rak buku
Rak buku yang berselerak

11 cara meluangkan masa untuk membaca bagi orang yang sibuk.

Atau yang pura-pura sibuk.

Ehehehe!

Artikel ini dikongsikan oleh sahabat FB. Bila membaca entri ini, rasanya banyak yang perlu aku perbaiki. Rupanya ada cara-caranya, ada strateginya. Ada yang sudah aku buat, tanpa aku tahu itu memang cara yang betul.

Baik. Aku kongsikan catatan ini (diterjemah ke bahasa Melayu, secara literal) beserta dengan sedikit ulasan. Maksudnya mungkin berbeza dengan pemahaman aku, jadi aku sarankan baca lah artikel asalnya di sini.


  1. Pinjam (atau beli) buku lebih banyak!
    Percaya atau tidak, bila ada buku yang menimbun di hadapan kita, sedikit sebanyak akan ada "motivasi ciptaan" untuk kita luangkan juga masa untuk membaca. Buku yang dibeli sendiri mungkin akan tertangguh (kerana kita tahu buku itu akan "kekal selamanya" di rak buku sendiri), tetapi yang dipinjam daripada perpustakaan (atau kawan), ada tempoh tertentu. Mahu atau tidak, kita akan segera membaca.

    Oh ya! Jangan lupa ya pulangkan buku yang dipinjam. :)
  2. Baca lebih daripada satu buku dalam satu-satu masa
    Bagi kebanyakkan orang (termasuk aku) lebih gemar membaca satu buku sahaja dalam satu masa. Ini mungkin disebabkan kita ingin mengekalkan kesinambungan bacaan kita. Aku pernah cuba membaca 2 buku serentak, tetapi tidak berjaya (penghayatan).

    Mengikut artikel ini, jenis buku yang dibaca juga boleh disesuaikan dengan masa. Contohnya, buku novel-fiksi sesuai dibaca ketika malam, ada pula yang sesuai ketika mengembara, dalam keretapi, ketika di pejabat.

    Mungkin sebagai permulaan, aku boleh mulakan begini;
    Selepas solat Subuh & Maghrib; Al-Quran dan juga buku-buku ilmiah/motivasi
    Waktu tengah hari (di pejabat); buku-buku kemahiran
    Waktu malam atau waktu senggang; buku-buku novel fiksi
  3. Tetapkan target untuk setiap sesi pembacaan.
    Disebabkan kekangan masa, kita tidak mempunyai "kemewahan" untuk membaca dengan banyak dalam satu-satu masa. Jadi, setkan pembacaan kita kepada jumlah mukasurat tertentu, misal kata 50 muka surat sebelum berhenti. Atau, satu bab untuk setiap sesi. Cara yang terbaik ialah memastikan sesi pembacaan berikutnya lebih banyak berbanding dengan sesi pembacaan sebelumnya.
  4. Abaikan seruan "apa yang patut" kamu baca
    Ok. Yang ini ada sedikit pengecualian. Sebagai seorang muslim, kita sememangnya PATUT membaca Al-Quran. Bukan baca sahaja, tetapi juga faham apa yang mahu disampaikan.

    Cuma mengikut artikel ini, dia menyarankan kita membaca hanya apa yang menarik minat kita untuk membaca. Yang membuat kita rasa bersemangat. Jangan disebabkan buku itu "bestseller", kita pula terburu-buru membeli mahu membaca. Walhal, sekelumit pun kita tak minat.

    Kalau kau bagi aku novel Rindu Awak 200% yang ngetop itu, entah bila lah akan dibaca. Sekadar contoh. Ehehe! Jangan sentap, ya?

    Senangnya, pastikan "genre" apa yang kita gemar. Novel cinta, sejarah, travelog atau apa sahaja. Bila kita sudah ada minat, semangat untuk membaca (sampai penghujung) akan membara!
  5. Amalkan bacaan-laju
    Speed-reading, aku terjemaahkan sebagai bacaan-lau. Boleh lah ya?

    Aku kurang pasti dengan kaedahnya, tapi bila membaca buku cerita yang kurang ada "ummpphh"nya, aku memang "membaca" dengan cepat. Kadang-kadang aku langkaukan perenggan-perenggan yang "berbunga-bunga", atau paling ekstrim, aku langkaukan satu-dua mukasurat yang tidak akan mencacatkan jalan cerita kalau tidak dibaca.

    Artikel ini ada mengongsikan teknik bacaan-laju ini di sini.
  6. Bacaan digital menggunakan semua gajet mobil
    Huh! Pening juga mahu terjemah.

    Di sini diterangkan kelebihan membaca bahan bacaan digital. Ianya lebih mudah untuk dibawa ke sana ke mari, dan boleh diakses pada bila-bila masa. Bukan itu sahaja, bahan bacaan digital ini boleh dikongsikan ke dalam setiap alat digital yang kita ada; tablet, smartphone, laptop, pc dan pelbagai lagi. Jadi, apabila bahan bacaan ini diselarikan ("sync"), capaian kita akan menjadi lebih mudah. Berbanding dengan buku (fizikal), ianya agak sukar untuk dibawa ke sana-kemari, terutamanya jika saiz buku itu sebesar pinggan makan!

    Bagi aku, bacaan digital ini agak kurang memuaskan. Tetapi sekarang ini sudah semakin banyak pilihan yang ada dan juga harga yang jauh lebih murah.

    Akan diusahakan! Setakat ini tiada halangan untuk membaca Al-Quran digital, malahan lebih kerap membaca Al-Quran menggunakan telefon.

    Gulp!
  7. Baca sebelum tidur
    Berbalik kepada item 4, elok juga dibaca Al-Quran sebelum tidur. Kita sama-sama usahakan, ya?

    Menurut artikel ini, bacaan bersifat fiksi dan juga non-fiksi yang menyelerakan, boleh membantu kita tidur dengan lebih tenang. Kita akan khayal dalam dunia buku dan sedikit sebanyak dapat melupakan lelah seharian bekerja.
  8. Cari rakan "sekepala"
    Untuk apa aktiviti sekali pun, selalunya yang menjadi penggalak untuk sesuatu aktiviti adalah daripada kelompok yang mempunyai kegemaran yang sama. Jadi, cari rakan-rakan yang mempunyai hobi membaca. Apabila ada aktiviti "bedah siasat" buku yang sama kita baca, ianya akan membuat kita akan teruja. Kawan-kawan ini juga akan merekomendasi buku-buku terkini ataupun yang mungkin relevan dengan selera kita.

    Terima kasih +Rizal Gunx+Mohd Fauzi dan +Suhaimi Sujak. Kerana "Laskar Pelangi", kami sudah sampai ke Belitung!
  9. Pantau pembacaan secara online
    Untuk ini, apa yang perlu ialah capaian kepada internet. Terdapat pelbagai pilihan, tetapi yang menjadi penulis asal artikel ini ialah GoodReads. Dan ianya juga menjadi pilihan aku! Eheheh!

    Cari aku di https://www.goodreads.com/sharulnizam

    Kalau di sekolah anak-anak aku, ada program Nilam. Di mana buku-buku yang dibaca dicatat maklumatnya dan juga sedikit ulasan.

    GoodReads juga begitu. Kita boleh memantau buku yang sedang kita baca, sudah baca dan yang kita mahu baca. Aplikasi ini juga akan mencadangkan buku-buku yang mungkin sesuai dengan kita berdasarkan pembacaan kita terdahulu. Terus-terang, koleksi buku aku sekarang kebanyakkannya dirujuk di sini. Ini memudahkan carian, terutamanya semasa ke pesta buku. Sudah tahu buku yang mahu dibeli, dan boleh dicari di internet untuk harga yang lebih ekonomi. :)
  10. Berhenti membaca bacaan rawak
    Aku kurang bersetuju dengan cara ini. Kata beliau, membaca bacaan rawak yang diperolehi di internet terutamanya di laman sosial akan menyebabkan masa kita digunakan dengan cara yang tidak sepatutnya.

    Mungkin bagi beliau, bacaan di laman sosial itu kebanyakkannya tidak relevan dan tidak berfakta. Tetapi, kalau bukan disebabkan laman sosial (dalam kes ini, Facebook), mana mungkin aku terjumpa artikel beliau. :)
  11. Sertai cabaran membaca
    Ya. Seperti zaman sekolah dahulu, setiap hujung tahun anugerah akan diberi kepada pelajar yang "paling banyak" membaca. Walaupun pengiraan "banyak" itu boleh dipertikaikan, ianya tetap "berjaya" menimbulkan semangat ingin membaca.

    Sikit. :)

    Bezanya kali ini, cabaran ini adalah cabaran kepada diri sendiri. Tidak ada hadiah, melainkan kejayaan peribadi. Aku juga mencuba, di GoodReads.

    Tahun 2013; Cabaran 20 buku hanya tercapai 18
    Tahun 2014; Cabaran 40 buku (sekarang sudah 26)

    Sememangnya cabaran ini menjadi pemangkin untuk membaca lebih banyak!

Jadi, cara atau tips sudah ada.  Terpulang kepada kita sekarang.

Selamat membaca.

Sumber; http://www.lifehack.org/articles/productivity/11-ways-busy-people-make-time-read.html

You Might Also Like

0 comments

Press

press