LEGOLAND Malaysia

October 25, 2014

Pagi Ahad, 28 September kami sekeluarga check out dari Hotel Seri Malaysia Johor agak awal. Jam 8.30 pagi kami sudah pun di dalam kereta menuju ke LEGOLAND Malaysia.

Anak-anak sudah teruja. Abahnya lagilah!

:)

Rasanya tak sampai 20 minit memandu, kami sudah sampai di hadapan hotel LEGOLAND yang berwarna-warni. Kebetulan, langit juga membiru. Memang mata tak lepas memandang hotel yang sangat ceria bentuk hiasnya.

Hotel Legoland
Hotel Legoland

Sementara menunggu jam 10 (waktu mula operasi), kami sempat ke Tanjung Pelepas untuk minum pagi. Dibawa sahabat, kami turutkan sahaja. Anak-anak yang mulanya sudah teruja, terus terpinga-pinga bila kami menjauh dari Legoland.

Eheh!

Tepat jam 10, kami sudah kembali ke kota warna-warni ini. Sebelum memulakan pengembaraan, kami bergambar dahulu di depan pintu masuk, "syarat" wajib untuk dijadikan kenangan.

LEGOLAND Malaysia
LEGOLAND Malaysia

Pintu masuk Legoland
Di hadapan pintu masuk Legoland

Pintu masuk

Urusan tiket sudah kami siapkan awal-awal. Dengan bantuan sahabat seuniversiti dahulu, kami mendapat diskaun harga yang agak lumayan. Terima kasih Encik +Md Ali, Mohd Norazli dan isteri, Puan Noriana.  Jangan serik, ya.

Kebanyakkan sahabat yang pernah ke sini berpesan, jangan dibawa itu ini begitu begini ke dalam taman. Nanti di kaunter masuk, ada yang memeriksa. Makanan dan minuman dari luar akan diminta untuk ditinggalkan, tidak boleh dibawa masuk. Kami akur, dan kami hanya membawa yang berpada-pada.

Cis! Kami masuk di kaunter tanpa ada apa-apa sekatan.

Tak mengapalah. Siapa yang tahu, kan?

Kami dibekalkan dengan peta taman tema ini. Bagus juga. Memudahkan kami untuk merancang masa. Taman ini sangat besar, jadi sudah tentu kita tak mahu berada di sesuatu tempat berulang kali. Anak-anak pun sudah segar mata, dan sudah pun menandakan kedai jualan mainan Lego.

Amboi!

Sebelum kami mula merayau, ada maskot karakter Darth Vader dari filem Star Wars yang berkeliaran. Apa lagi, kami pun beraturlah mahu bergambar.

Darth Vader Lego
Bersama Darth Vader

Geram betul! Jurukamera taman yang aku minta tolong ambilkan gambar kami sekeluarga, sekeping pun tak menjadi. Mohon beliau letak jawatan serta merta.

:(

Sedih pun tiada guna. Sudah lepas. Teruskan sahajalah mengembara.

Aku ceritakan secara berasingan setiap singgahan kami kerana entri-entri ini akan penuh dengan gambar-gambar. Maaf ya teman, jika laman ini menyedut bandwith internetmu dengan begitu rakus.




LEGO CITY

Pengembaraan kami dimulakan ke bahagian barat/kanan taman. Mula-mula sekali ialah LEGO CITY. Di sini terdapat pelbagai pilihan permainan untuk kanak-kanak dan juga dewasa. Anak-anak seronok dapat "memandu kereta" di Driving School, kemudian "mendayung" sampan di Boating School. Penat berjalan, boleh berehat sekejap ambil angin dengan LEGOLAND Express.

Cerita sepenuhnya di entri LEGOLAND Malaysia | LEGO City.




MINILAND

Seperti namanya, sudah sedia maklum di sini semuanya bersaiz mini. Bangunan-bangunan yang terkenal dari serata dunia dibina seakan-akan sama seperti yang sebenarnya. Aku sangat teruja dengan binaan-binaan comel ini, dan memang geram untuk mengambil gambar setiap satu. Cuma cuaca yang panas terik agak menghalang, lagi-lagi buah hati yang kecil sudah gelisah tidak selesa.

Cerita sepenuhnya di entri LEGOLAND Malaysia | Miniland.




LEGO Star Wars Miniland

Ini tarikan baru yang ada di sini. Baru sahaja dibuka, jadi kami antara yang terawal melawat Miniland indoor ini. Bagus juga, lepas berpanas terik di luar, boleh la menyejukkan badan sebentar di sini.

Cerita sepenuhnya di entri LEGOLAND Malaysia | Star Wars Miniland.





LEGO Kingdoms

Dari Star Wars Miniland, kami menuju ke LEGO Kingdom di bahagian barat taman ini. Di sini ada permainan yang agak menjerut tali perut. Ummi dan anak-anak sempat merasa Dragon's Apprentice, abah hanya memandang dari jauh. Ehehehe!

Cerita sepenuhnya di entri LEGOLAND Malaysia | LEGO Kingdoms.





IMAGINATION

Ini bahagian paling utara taman ini. Di sini seperti namanya, menjadi pusat sehenti untuk mengembara dan berimaginasi. Boleh lah melepas lelah sebentar di seksyen Build & Test. Hafiz sempat terlelap di sini. Abah melayan anak-anak di Kid Power Towers dan kemudian menonton wayang 4D di LEGO Studios.

Cerita sepenuhnya di entri LEGOLAND Malaysia | Imagination.




Land of Adventure

Namanya pun adventure, memang agak menggerikan jugalah. Entah mana datang berani, kami empat beranak mencuba mainan ngeri di Dino Island! Menakutkan, tetapi dalam masa yang sama mengujakan. Kuyup. Dalam kebasahan, kami sambung pula ke Lost Kingdom Adventure. Anak-anak cukup gembira sepanjang masa di sini.

Cerita sepenuhnya di entri LEGOLAND Malaysia | Land of Adventure.





Pulang

Kami keluar dari taman tema ini hampir jam 5 petang. Bayangkan, bermula dari jam 10 pagi sampai lah jam 5 petang. Tujuh jam! Itupun masih ada lagi yang tidak sempat kami lawat. Permainan yang ada pun, tidak sampai separuh yang sempat kami main.

Konon-konon, mahu pulang jam 3 petang!

Sebenarnya kami masih dikira beruntung. Tidak seperti yang diwar-warkan rakan, keadaan di sini agak tenang dan tidak terlalu sesak. Kami tidak perlu beratur panjang untuk ke setiap seksyen, malahan kami ditawarkan oleh pekerja di situ untuk bermain beberapa pusingan selagi larat.

Masa sahaja yang tidak mengizinkan.

Nantilah. Mana tahu ada lagi rezeki kami ke sana. Kali itu, mungkin menginap di hotel yang berwarna-warni itu.






*********************

Percutian 3H2M Johor-Melaka
SebelumSekolah Tun Fatimah (STF)
Seterusnya; Legoland Malaysia | LEGO City


You Might Also Like

0 comments

Press

press