LEGOLAND Malaysia | Land of Adventure

Land of Adventure, LEGOLAND
Menuju masuk ke Land of Adventure


Perut masing-masing sudah kelaparan, tetapi disebabkan leka dengan mainan-mainan yang ada kami tetap teruskan perjalanan. Air memang sentiasa ditogok. Yang sikecil, perlu sentiasa dipastikan selesa dan kenyang. Mahu bersuka-ria, jangan sampai terabai si buah hati yang seorang ini.

Menjejak kaki di Land of Adventure, terus Hafiz celik mata. Mahu beradventure barangkali.

Kami berehat di bawah gazebo yang disediakan. Oleh kerana tuan putera sudah bangun dari beradu, sudah tentu sebotol susu perlu diupah. Agar tidak terjadi kacau-bilau dan gegak-gempita yang tidak diundang. Eheheh! Sekali lagi, sementara menunggu ummi menguruskan Hafiz, kami empat beranak melilau mata apa yang boleh kami buat (main) di kawasan berhampiran.





Dino Island

Betul-betul di depan kami ada pintu masuk ke Dino Island. Langsung tidak tahu mainan apa yang ada, kami masuk terus tanpa mahu menyiasat. Sangkanya, bahagian ini ditutup kerana langsung tiada orang yang beratur. Kami teruskan juga sampai ke kaunter. Yang kelihatan ada dua tiga orang petugas dan bot-bot kecil kosong yang sedang menunggu. Tanpa tahu ke mana hala tuju bot-bot itu, kami empat beranak terus naik.

Dino Island
Ruang menunggu yang kosong

Itulah langkah sebaiknya (masuk tanpa usul periksa), kerana kalau disiasat terlebih dahulu pasti kami tidak akan naik!

Rupanya di Dino Island, bot-bot kecil ini akan mendaki ke tempat yang tinggi dan kemudiannya akan menjunam jatuh ke bawah. Kami hanya tahu selepas beberapa saat kami di atas bot. Selepas bot bergerak menjauhi kaunter masuk, baru kami nampak keseluruhan Dino Island ini.

Aduh!

Abahnya sudah lah gayat tempat tinggi!

Kakak Hanim pula tidak lepas-lepas berwirid mengadu takut. Yang seorang ni, memang begitu. Penakut. Untunglah abang Haris dan adik Hanis masih tenang. Terpaksalah abah juga berlagak tenang, tidak mahu kakak Hanim terus menerus merasa takut.

Walhal, kaki abahnya sudah selembik jeli! Ngeri!

Pergerakan bot yang perlahan menambahkan debar. Segala surah-surah lazim sudah dibaca. Entah mana Idgham, entah mana Ihfaq habis dilanggar. Hati sudah dag dig dug. Bila sudah sampai di kemuncak, perlu menempuhi gua kecil yang dihuni naga. Naga itu tidak menakutkan, tapi bunyi naga yang kuat menambahkan debar jantung yang berdegup kencang. Tidak sampai 10 saat selepas "disergah" naga...

WOOOOSSSHHHHHHH!!! WUuuuuuuuuuuuu!!!

AAAAAaaaaaa.....!! Huuuuuu.....!!!

Menjerit-jeritlah kami empat beranak di Dino Island. Tidak ada lagi tatasusila yang luhur.

Dino Island
Menjerit dan ketakutan
Hihihihihih!

Untung juga tiada orang. Untung juga tidak pengsan!

Oleh kerana pengalaman ini sangat unik dan tidak ada kemungkinan untuk berulang, kami mengambil keputusan untuk membeli gambar yang dirakamkan ini. Mahal, tetapi untuk kenangan masa depan tutupkan sahaja mata ketika membayar. Kenangan itu lebih berharga, bukan?

Kelakar betul tengok muka kakak Hanim yang memang terserlah ketakutan. Memang menjadi modal kami sekeluarga untuk "mengusik" kakak.

Kami kembali mendapatkan ummi. Masing-masing seronok berkongsi pengalaman kepada ummi. Kami sudah lencun kebasahan, tetapi kami biarkan saja masa yang mengeringkan. Ada juga mesin pengering, dikenakan bayaran sebanyak RM5 seorang.

Tidak dapat berlama-lama, kami teruskan pengembaraan kami.





Lost Kingdom Adventure

Di sini, ummi mengambil giliran. Abah mahu duduk temankan Hafiz sambil keringkan baju dan seluar. Tidak lama pun kami di sini.

Ke Lost Kingdom Adventure
Jom!

Lost Kingdom Adventure
Pak Arab dan untanya

Gerbang Lost Kingdom Adventure
Gerbang Lost Kingdom Adventure

Di sini katanya perlu menembak, sambil menaiki keretapi. Kata ummi, yang paling tinggi markahnya si Hanis. Amboi! Seronok juga kata mereka, abah anggukkan saja. Abah sudah penat, panas dan lencun. Bateri perlu dicaj.

Anak-anak pun.

Kami kemudian berjalan menuju ke pintu utama. Sambil-sambil itu, sempat juga bergambar terutamanya di zon-zon yang kami tidak sempat kunjungi. Tujuan kami yang terakhir ialah kedai Lego dan juga surau, sebelum beredar balik.

Surau Legoland Malaysia
Bersama Kak Limah dan anaknya di depan surau
Permainan Lego
Abang dengan lego pilihan

Harga permainan lego ini memang agak "menggerunkan". Memang sudahpun dijangka dari awal, jadi tidaklah begitu "terkejut". Anak-anak juga sudah dipesan untuk mengumpul duit tabung kalau mahu membeli mainan di Legoland.

Berbaloilah. Menyimpan dari bulan Januari lagi.

Puratanya setiap permainan anak-anak yang dibeli, abah tambah dalam lingkungan RM20 - RM40.

Sengaja kali ini abah tidak mahu belanja sepenuhnya, sebab abah mahukan anak-anak tahu dan menikmati faedah menabung dan seterusnya dijadikan amalan sampai dewasa kelak. Kalau sudah "dididik" semuanya abah semuanya ummi, yang teruknya nanti abah dan ummi juga. Duit boleh dicari dan diganti. Anak-anak yang berdisiplin dan tahu menghargai, itu sukar mahu diperolehi tetapi itulah yang abah dan ummi mahu.

Selesai sudah pengembaraan kami di Legoland Malaysia.

Alhamdulillah. Segalanya berjalan dengan baik. Percutian kali ini amat memudahkan.

Seterusnya, kami mahu ke Melaka Bandaraya Bersejarah.





*********************








Reactions

Post a Comment

0 Comments