Menguji Gayat Di Menara Taming Sari, Melaka



Dari Johor, kami tiba di Melaka ketika hari sudah pun malam. Oleh kerana badan sudah berlengas, kami terus ke hotel untuk menyegarkan diri. Bila badan sudah segar, penghawa dingin pula sudah mengulit badan, mata pun sudah mula mahu beradu.

Yang hairannya, anak-anak masih cergas dan mahu bersengkang mata dengan permainan LEGO yang baru dibeli.

Umi pula sudah mengeluarkan pekeliling, kita keluar cari makan!

Ya juga. Perut sudah berkeroncong kelaparan. Mahu tidak mahu, kami pun keluar ke bandar Melaka. Tidak ada tempat tertentu yang mahu dituju, ikut sahaja kaki melangkah.

"Bang, kita pergi naik Menara Taming Sari dulu tau"

Itu pekeliling kedua. Sudah lupa sebenarnya. Memang sudah disimpan hajat dari awal, di Melaka nanti mahu menaiki menara ini.

Menara Taming Sari.

Bersempena nama keris milik Pahlawan Melaka yang tersohor, Hang Tuah.


Dari hotel ke menara ini, tidaklah begitu jauh. Kurang lebih lima minit memandu, kami sudahpun bertentang mata dengan mercu Melaka ini. Usai memarkir kereta berhampiran tapak pasar malam, kami pun terus ke kaunter tiket.

Kami memilih pakej kombo. Termasuk harga tiket dan juga sedikit jajan. Untuk kami 6 sekeluarga, sudah lupa berapa bayarannya. Jika tidak silap, RM60.

Boleh dirujuk pada laman web Menara Taming Sari untuk mengetahui harga dengan lebih lanjut.


Menara Taming Sari

Ruang melihat menara ini berbentuk bulat, dan ada tempat duduk yang disediakan. Seramai 66 orang boleh dimuatkan dalam satu-satu masa. Tidak ada keistimewaan tempat duduk, jadi pilihlah yang mana suka. Sedikit tolak ansur diperlukan. Diingatkan supaya mengambil tempat duduk mengikut jumlah tiket yang dibeli. Jika membawa beg, letaklah beg di bawah. Fikirkan juga ya keselesaan pengunjung lain.

:)



Pergerakan "elevator" (aku tak tahu apa namanya) ini amat perlahan dan agak lancar. Jadi, tidak lah kita terhoyong-hayang dan paling penting, tidak pening semasa elevator ini berputar.

Cuaca agak baik malam itu, jadi jarak penglihatan agak jelas. Boleh dilihat sekitar bandaraya Melaka seperti Mahkota Parade, Dataran Pahlawan Mall dan juga beberapa bangunan moden yang lain.

:)

Kau faham apa yang aku mahu sampaikan di atas?

Ya. Pemandangan sebegini hanyalah biasa-biasa. Tidak ada istimewanya. Hanya kelihatan bangunan-bangunan moden menghiasi bumi Melaka. Kalau aku menaiki menara ini pada waktu siang, pendapat aku mungkin berbeza. Berpusing (entah berapa kali pusingan) tanpa ada apa-apa pengisian yang menarik. Masuk pusingan yang ketiga atau keempat, aku sudah berkira-kira bila elevator ini akan turun. Pihak pengurusan patut menjadi lebih kreatif. Melaka ini bandar bersejarah. Setiap daerahnya ada cerita. Kegemilangan Tanah Melayu banyak berpuncadari tanah ini. Terangkanlah apa yang ada dan apa yang pernah berlaku di setiap sudut pandang.

Di mana lokasi Tuah lima bersaudara membunuh orang mengamuk?

Di mana berlabuhnya kapal Afonso De Albuquerque?



Entah lah. Ini agak sambil lewa.

Sesudah berputar-putar di udara, aku meluangkan masa selama 15 minit untuk berurut dengan OKU yang ada di bahagian bawah menara. Hanya mahu mencuba-cuba, di samping mahu memberi sedikit sumbangan. Jadi, aku tidak mahu lah berkongsi kualiti perkhidmatannya.

:)

Selesai berurut, kami pun mengisi perut di restoran yang berhampiran.

Esok, sebelum balik mahu singgah ke Mini Malaysia.





*********************
Seterusnya; Mini Malaysia, Melaka










Reactions

Post a Comment

0 Comments