Menara Condong Teluk Intan, Perak

Menara Condong Teluk Intan
Menara Condong Teluk Intan
Aku hanya pernah mendengar kisah dan juga menonton di televisyen (juga internet) tentang Menara Pisa Malaysia ini, tetapi tidak pernah sekali pun bertentang mata. Dari sehari ke sehari, perasaan ingin singgah untuk melihat sendiri itu tetap ada. Iya lah, sudah selalu sangat disebut orang. Jadi kesempatan bercuti ke Pulau Pangkor baru-baru ini, tidak aku sia-siakan.

Inilah untungnya menjadi ketua rombongan, keputusan boleh dibuat mengikut kehendak sendiri.

Oleh kerana kami tidak bermalam di dalam pulau, masa yang kami ada, lebih panjang. Maka arah tujuan kami yang pertama ialah Teluk Intan

Teluk Intan

Dahulu, namanya dikenali sebagai Teluk Anson. Aku sudah ingat-ingat lupa kisahnya. Teluk Anson itu, nama semasa pemerintahan penjajah di Tanah Melayu. Ditukar kepada Teluk Intan setelah negara mencapai kemerdekaan. Nama "Intan" itu juga ada kisahnya.

Sumber: Laman Web Majlis Perbandaran Teluk Intan

Teluk Mak Intan. Nama Teluk Mak Intan diambil dari seorang janda yang dikatakan mempunyai rupa paras yang cantik iaitu Mak Intan, beliau adalah seorang saudagar yang berasal dari Mandahiling, Sumatera. Beliau adalah peneroka yang membuka Teluk Intan disekitar awal abad ke 19. Pada waktu itu, kawasan yang diterokai oleh Mak Intan dikenali sebagai Pekan Mak Intan.

Berikutan penerokaan ini, ramailah orang seberang berketurunan Jawa, Rawa, Mandahiling, Minangkabau, Kampar dan kemudian India-Bombay datang mendiami kawasan yang baru diterokai itu, kebanyakan daripada mereka adalah para petani dan para pedagang barangan tradisi seperti rempah ratus, kain, inggu, kacip, parang dan sebagainya.

Berkuatkuasa 1 Januari 1982, bandar ini bertukar nama dari Teluk Anson kepada Teluk Intan.

Info lain:
  • Nama asalnya ialah Teluk Mak Hitam. 
  • Nama asalnya Teluk Mak Intan. Seorang gadis bernama Intan dari sebuah keluarga keturunan Sumatera yang berpengaruh. Bapanya berulang-alik dari Sumatera ke sini untuk berniaga kain batik. Gadis ini mandi di tebing Sungai Perak bersama-sama rakan-rakannya. Cincin pemberian ibunya telah tenggelam dan lenyap di dalam lubuk Sungai Perak. Sejak itu diberi nama Teluk Mak Intan 
  • Kemudiannya Telok Mak Intan telah di tukar nama kepada Teluk Anson sempena nama Jeneral Archibald Anson iaitu gabenor Inggeris yang datang ke Telok Mak Intan pada masa itu.


Kami tiba ketika matahari sudah terpacak tepat di atas kepala. Melihat puncak menara ini dari jauh, hati sudah teruja. Untung mencari ruang meletak kereta tidaklah sukar, kami menyelit antara puluhan kereta yang lain di ruang parkir berjajaran dengan deretan kedai. Bangunan kedai lama, seperti kebanyakkan yang masih wujud di bandar-bandar lama.


Kaki Lima
Kaki Lima
Hafiz yang baru bangun dari tidur

Menara Condong di kejauhan


Condong

Kami terus ke perkarangan Menara yang agak luas, mahu mencari-cari sudut pandang yang boleh menampakkan kecondongan menara ini seperti yang disebut-sebut. Ya, memang jelas ada kecondongan pada bangunan ini, tetapi untuk aku buktikan dengan gambar mungkin sukar untuk orang percaya.

Kerana gambar-gambar aku ambil, yang sedia lurus pun menjadi senget. Eheheh!

Sebelum menjejak masuk ke dalam menara, kami sempat berselfie bergambar bersama.

Bersama keluarga
Bersama keluarga
Bersama kakak dan bonda
Bersama kakak dan bonda

Setelah puas berterik berpanas, kami pun melangkah masuk ke dalam menara.


Tiga Tingkat

Sedikit catatan di plak yang disediakan berhampiran pintu masuk menara;

Telah dibina di dalam tahun 1885 oleh kontraktor Leong Choon Chong.

Asalnya menara ini menempatkan sebuah tangki air untuk dibekalkan ke bandar ini sekiranya berlaku kemarau atau kebakaran. Ianya juga pernah berperanan sebagai penanda waktu dan penunjuk arah laluan kapal ke Pelabohan Telok Anson suatu masa dahulu.

Kecondongan menara ini sering dibandingkan dengan Menara Condong Pisa, Itali. Namun menara ini hanya mempunyai ketinggian 25 meter dengan 110 anak tangga berbanding dengan Menara Condong Pisa yang mempunyai ketinggian 55 meter.

Menara ini mempunyai senarai seni bina yang berkonsepkan senibina sebuah 'pagoda'. Dari luar, menara jam ini hanya mempunyai ketinggian seolah-olah sebuah bangunan 8 tingkat, tetapi sebenarnya hanya 3 tingkat sahaja. Menara ini diperbuat daripada struktur kayu dan batu. Lapisan bawah bangunan ini berukuran garis pusat 13 meter dan semakin menguncup ke atas berukuran garis pusat 8.2 meter.

Kini, Menara Condong Teluk Intan hanya berperanan sebagai menara jam. Jam yang dipasang di dalam tahun 1894 dibeli dari London, buatan firma J.W. Benson-Ludhgathill.
Sebaik masuk ke dalam menara, terdapat ruang yang agak luas. Lantai pertama ini kosong, dan terdapat hiasan dinding yang pelbagai. Kami tidak berlama-lama di sini, terus saja menaiki tangga menuju ke tingkat atas. Tangga ini mungkin selebar 3-4 kaki, jadi agak sempit. Perlu berhati-hati dan bergilir-gilir dengan orang yang mahu turun dari atas.

Pandangan tangga dari bawah
Pandangan dari bawah
Pandangan tangga dari atas
Pandangan dari atas
Tingkat dua juga tidak mempunyai apa-apa yang menarik. Ya, agak kosong.

Hihihihi!

Yang sebenarnya, aku pun sudah lupa apa yang ada. Sudahnya, kami lebih banyak bergambar.

Bahagian luar Tingkat 2
Wefie
Ummi dan Hafiz

Bahagian dalam Tingkat 2
Father and Son
Ummi dan Hafiz

Tangga untuk ke tingkat 3 berkunci rapi. Jadi, setelah puas bergambar di tingkat dua kami pun turun ke bawah.

Cuma agak terkilan dengan sikap manusia, tidak sudah-sudah mahu merosakkan. Ada saja tangan yang gatal berkurap mahu menconteng dinding bangunan ini. Geram betul! Kenapa kemaruk sangat mahu mencatat nama di dinding batu, padahal nama kau satu hari sudah pasti tercatat di batu nisan?

Vandalisme
Vandalisme

Memalukan.

Apa yang kau dapat?

Kompleks Sejarah Pasir Salak - Luangkanlah masa melawat tempat ini bersama keluarga. Mengimbau sejarah tanah air, khususnya di Pasir Salak ini.

Turun

Kami turun dan keluar dari menara dengan cuaca di luar yang masih terik. Sebelum berangkat ke destinasi seterusnya, sempat juga menghilangkan dahaga dengan aiskrim.

Sebenarnya, bertambah haus.

Untuk kesekian kalinya, kami bergambar lagi.

Ummi, Hafiz dan Abah
Ummi, Hafiz dan Abah
Menara Condong
Menara Condong
Atuk dan Hafiz
Atuk dan Hafiz
Nenek, Atuk dan Hafiz
Nenek, Atuk dan Hafiz

Sengih Hafiz
Sengih Hafiz



Waktu Operasi dan Tiket Masuk

Tidak ada bayaran yang dikenakan untuk masuk ke menara ini. Percuma, dan waktu lawatannya seperti berikut;

 Waktu Lawatan Menara Condong Teluk Intan
Waktu Lawatan Menara Condong Teluk Intan


Sekarang, ayuh ke Pasir Salak!

ITINERARI PERCUTIAN 2H1M PULAU PANGKOR, PERAK
(juga cerita dan gambar-gambar aktiviti)








Reactions

Post a Comment

0 Comments