Telefon Baru

April 08, 2015

Android Lollipop 5.0 untuk Samsung S5
Android Lollipop 5.0 (Sumber gambar: http://www.gadgetadda.com/)

Melihat iklan-iklan di televisyen, laman sosial dan sebagainya, manalah tidak meleleh menitik-nitik air liur nafsu dengan godaan keluaran telefon yang terbaru.

Yang ringan.

Yang nipis.

Yang lebar.

Yang canggih.

Yang mutakhir.

Ah! Kalaulah duit itu boleh dipetik dari pokok kaduk yang melingkar menjalar di kebun, barangkali setiap bulan aku bertukar telefon.

Oh nafsu!

Sememangnya aku agak obses (obes pun boleh juga) dengan gajet-gajet terkini. Baik telefon, kamera, komputer. Mungkin kerana aku "tahu" menggunakannya. Sebab itu jika ada peluang berziarah ke Plaza Low Yatt, syurga gajet elektronik Malaysia, pasti mata menjadi berbinar-binar.

Wang?

Itulah. Mujur daun kaduk tidak boleh dijadikan wang. Harga gajet-gajet ini bukan lah murah. Nasib lah juga masih pandai berfikir-fikir. Tahan saja kemahuan, dahulukan keperluan.

Telefon Samsung S5 yang aku sedang guna ini pun, canggih juga. Harga di pasaran, memang lah mahal. RM2000++. Siapa yang mahu beli telefon mahal sebegitu? Mujurlah di pejabat, ada tawaran khusus daripada syarikat telco tempatan. Promosi khusus ini, harga telefon jatuh berganda-ganda. Syaratnya, ada kontrak perjanjian selama dua tahun.

Terima saja lah.

Tapi itulah. Sudah setahun berlalu. Mengikut kitaran hayat telefon, Samsung S5 aku ini sudah menginjak usia belia.

Di pasaran kini, banyak yang sunti menanti untuk disunting.

Sabar. Sabar.

Untung menenangkan sementara jiwa yang gelora, hati yang kemaruk, aku tukarkan saja screen protector yang baru. Yang lama sudah retak. Dan untung juga, Ahad yang lalu Samsung S5 aku yang comel ini sudah di upgrade kepada Lollipop 5.0.

Jadilah.

Ada juga perasaan "telefon baru" itu.

Heheheeh!

Teruk betul!






You Might Also Like

0 comments

Press

press