Catatan seorang pendosa

October 02, 2015

Semalam, jam 7.08 malam saya bergegas turun ke tingkat B6 untuk mendapatkan motor merah saya. Dalam fikiran ketika itu, saya hanya mahu segera pulang. Badan sudah mula terasa seram sejuk. Petanda badan tidak sihat.

Dan saya pasti benar, waktu yang sama azan Maghrib sudah berkumandang di bumi Kuala Lumpur. Seharusnya saya berhenti dulu di B3 untuk ke surau, namun saya memilih untuk pulang ke rumah sahaja untuk bersolat.

Saya ingkar untuk menyegerakan seruan Ilahi tanpa paksaan. Sudah pasti, solat saya akan lewat sekitar 20-30 minit jika mahu solat di rumah.

Nauzubillah.

Dari KL Sentral ke Sentul, kondisi keadaan badan saya semakin teruk. Hampir seluruh bahagian atas badan menjadi kebas, terutamanya di bahagian tangan. Helmet di kepala terasa sangat membebankan, malah seperti cerutan kuat yang melemaskan. Saya membawa motor dengan kesedaran keselamatan yang minima. Asalkan tidak ada yang menghalang di hadapan, saya keraskan lagi kelajuan motor. Kiri kanan atau belakang, saya abaikan. Mujur lebuhraya Mahameru tidak sesibuk mana.

Bibir pula terlalu kering dan saya sangat dahagakan air. Berfikir-fikir, saya mahu singgah ke mana-mana kedai untuk mendapatkan seteguk air. Kerana, untuk tiba di rumah dalam keadaan sebegini saya rasa saya sudah tidak semakin kuat.


Lemah

Sebaik saja saya turun dari motor yang saya parkirkan entah di mana di hadapan deretan kedai di Sentul, keadaan menjadi semakin bercelaru. Saya mula terhoyong-hayang, tapi saya kuatkan juga langkah untuk mencari seteguk air. Mujur 7-11 hanya berselang dua tiga kedai, tetapi untuk melangkah ke pintu kedai serbaneka ini saya kira ianya terlalu jauh. Beg yang saya galas bagai mahu menyeret saya tumbang ke belakang.

Segera saya dapatkan sebotol air 100 Plus sebaik masuk ke dalam kedai, dan tanpa sempat membayar saya meminta izin adik di kaunter untuk saya minum terlebih dahulu. Saya terperosok di hujung kaunter, duduk di atas bakul barang yang diterbalikkan. Penutup botol saya putarkan dengan tangan yang pucat serta menggigil, dan saya menogok terus air ke dalam mulut.

Hanya dua teguk.

Itu sahaja yang saya mampu alirkan ke dalam kerongkong. Saya terus terduduk dan menguatkan tangan untuk membayar harga air minuman. Mujur adik di kaunter sangat memberi kerjasama dan bertimbangrasa. Usai membayar, saya berusaha untuk bangun namun gagal. Badan sudah menjadi sangat lemah, malah untuk kembali duduk saya juga tidak kuat. Saya nekad, dengan izin adik di kaunter, saya merebahkan badan di sebalik kaunter. Dengan harapan, selepas lima minit saya akan kembali pulih.

Hanya Allah yang tahu apa perasaan saya ketika itu. Dengan waktu Maghrib yang semakin menghampiri penghujung, saya hanya mampu terlentang di ruangan kecil berlantaikan marmar yang sejuk. Allah itu Maha Mengasihani. Allah tetap mahu membantu hamba-Nya yang culas ini, lalu menggerakkan hati saya untuk menghubungi isteri di rumah. Sambil berbaring, saya dailkan nombor kekasih hati.

"Syah, tolong abang Syah. Abang tak larat nak bangun. Sekarang abang ada di 7-11 Sentul"

Itu sahaja yang saya ingat. Selebihnya saya sempat kongsikan lokasi semasa saya melalu aplikasi Whatsapp. Pada saat ini, saya mahu melihat wajah-wajah yang saya kenal. Bukan orang asing. Saya menanti, dan sesekali saya melihat kedua-dua belah tangan saya yang sangat pucat bagai tak berdarah.

Oh tuhan! Dugaan apakah ini?


Perlahan

Pada mulanya (selepas berbaring), saya masih mampu menggerakkan tangan, kaki dan badan. Malahan, saya sekali lagi cuba bangun untuk ke klinik yang hanya bersebelahan dengan kedai 7-11 ini. Sebaik sahaja saya berdiri, kepala saya bagaikan berpusing, bagai dihentak dengan sangat kuat. Saya kembali terbaring di lantai dan saya kekal dalam posisi itu tanpa bergerak hampir setengah jam kemudiannya.

Lama-lama kelamaan saya rasakan saya sudah menjadi terlalu lemah. Lemah yang paling lemah dalam sejarah hidup. Langsung tiada daya. Yang muncul dalam fikiran ketika itu ialah pertanyaan "sudah sampaikah masanya?". Ya, saya berfikir tentang mati. Saya tidak tahu apa rasanya mati, tapi waktu itu saya benar-benar fikir ini pengakhiran hidup saya. Saya masih waras, lalu memilih untuk bersyahadah, beristighfar sekerap yang mungkin. Saya mahu kalimah akhir dari mulut saya ialah ayat yang mentauhidkan Ilahi. Ya, terbayang juga anak-anak dan isteri. Dan itu sebenarnya penguat saya untuk terus kekal sedar, kerana saya tahu isteri kesayangan dalam perjalanan untuk menjemput saya.

Akhirnya saya memejamkan mata. Masih sedarkan diri, dan saya mendengar pelanggan kedai yang berulang tanya kepada adik di kaunter akan situasi saya. Daripada 10 orang (kurang lebih) hanya dua orang yang benar-benar cakna dengan keadaan saya. Berkali-kali saya disoal keadaan diri, saya menjawab lemah. Mereka mahu membantu menghantar saya ke klinik, tetapi saya enggan kerana kepala saya benar-benar berat, untuk menoleh pun saya tidak sanggup. Lalu ada yang mengusulkan untuk memanggil ambulan. Saya katakan tidak perlu kerana keluarga saya dalam perjalanan.

Lalu saya kembali menutupkan mata.

Saya kembali merasa keseorangan. Yang saya nantikan ialah keluarga. Sesiapa sahaja, saya mahukan mereka ada di sisi.

Dan ketibaan abang sulung saya adalah satu kegembiraan terbesar. Abang mahu membawa saya ke klinik di sebelah, atau ke hospital. Saya enggan. Saya mahu pulang. Atau ke klinik yang saya sering kunjungi. Saya mahukan suasana yang saya sudah biasa. Bukan di tempat asing. Bukan bersikap terlalu meminta, tapi entah kenapa saya yakin saya akan kembali mendapat kekuatan jika saya dikelilingi dengan suasana yang bukan asing.

Dengan sisa kekuatan yang ada, saya bangun dengan dipimpin abang dan juga seorang lelaki yang tidak sempat saya lihat mukanya. Terima kasih. Ini ingatan kepada saya, berbaktilah kepada sesiapapun, dimana-mana pun. Bertatih perlahan, langkah demi langkah saya menapak memuju ke kereta. Saya celikkan mata, kelihatan isteri tersayang sudah menanti di kereta bersama dua anak lelaki saya. Itu juga "ubat" saya. Tidak tahu bagaimana untuk saya jelaskan, tetapi momen sebegitu memberikan seribu kelegaan.


Kembali

Kami tiba di klinik diiringi tangisan hujan malam Jumaat. Orang agak ramai, namun saya sudah tidak kisah. Jujur saya katakan, keadaan saya sudah semakin pulih. Saya sudah mampu berdiri walaupun dipapah, sudah mampu melangkah. Saya juga sudah boleh berbicara, berbanding 15 minit sebelumnya saya hanya mampu bercakap hanya dua tiga perkataan.

Oleh kerana keadaan saya yang agak teruk, saya terus dibawa berjumpa doktor, mendahului pesakit-pesakit lain. Terima kasih sekali lagi. Saya disoalselidik doktor dengan pelbagai soalan. Ujian jantung, darah juga dibuat untuk mengenal pasti punca.

Bukan darah tinggi. Bukan masalah jantung.

Saya kisahkan kepada doktor, kali terakhir saya pernah sakit sebegini kira-kira 7 tahun yang lalu. Malahan lebih teruk. Kala itu, jika tertoleh sedikit kepala saya pasti muntah akan keluar. Dan jika saya membuka mata, segala yang saya lihat bagaikan terbang ke sana sini. Cuma kali ini, tidak teruk seperti itu dan proses kembali pulih itu agak pantas.

Tekanan darah rendah, atau vertigo.

Rumus doktor.

Pesannya, kalau terjadi lagi dalam tempoh empat hingga enam bulan lagi, saya perlu mendapatkan rawatan pakar. Dikhuatiri ada sesuatu yang lain. Saya pasrah. Sekarang saya mahu pulang dan berehat. Di luar klinik, kakak dan abang ipar pula sudah sampai mengiringi.

Saya lega.


Berehat

Di rumah, saya bagaikan sudah pulih sepenuhnya. Melihat anak-anak di depan mata, berada di rumah sendiri cukup untuk menerbitkan rona kelegaan. Kakak kedua juga datang bertandang. Masing-masing bertubi-tubi menasihatkan untuk terus mendapatkan rawatan di hospital. Entahlah. Saya tidak mahu memikirkannya lagi. Buat masa ini, saya hanya mahu berehat.

Dan saya juga berpesan kepada adik-beradik, jangan ceritakan kejadian malam ini kepada mak dan abah.

Jangan sesekali.

Sebelum tidur, sempat saya segarkan diri dengan mandian air panas. Solat Isyak juga saya tunaikan, diikuti qada solat Maghrib yang saya tinggalkan tadi. Ucapan Alhamdulillah tidak kunjung lepas dibibir, kerana masih diizinkan-Nya untuk saya bernyawa pada saat ini.

Sesungguhnya saya ini pendosa, dan ujian hari ini adalah kafarahnya. Ada pesanan yang mahu disampaikan dengan ujian ini, maka saya perlu memuhasabah diri mencari makna.

Dan saya catatkan kisah ini agar saya tidak lupa lagi.

Yang saya ini hanya insan yang hina.

Yang saya ini punya tanggungjawab sebagai hamba kepada Yang Satu.

Yang saya ini punya keluarga yang menyayangi.

Alhamdulillah.



Catatan Seorang Pendosa
Terbaring

You Might Also Like

0 comments

Press

press