Mee Siput

October 18, 2015

Semasa berumur 16 tahun, saya berkelana di Muar demi perjuangan mencapai kecemerlangan hidup. Pendapatan saya hanya bergantung pada elaun bulanan ayahanda. Walaupun mencukupi, tetapi tidaklah pula saya berpeleseran dengan wang itu sewenang-wenangnya.

Cuma dilema saya ialah usaha untuk mengekang nafsu serakah saya untuk makan. Walaupun saya kurus (ketika itu), jumlah pemakanan harian saya seperti membela 14 ekor hantu raya. Selain pisang goreng panas (RM1 untuk 5 biji) dicicah kuah kicap yang saya boleh habiskan dalam 14 kunyahan, saya masih lapar dan masih ada ruang kosong untuk diisi.

Kemudian di Muar ini saya diperkenalkan dengan mee siput. Ianya bukan lah mee secara literal, apatah lagi berbentuk siput, tetapi seperti lingkaran keropok berbentuk bulat. Dijual oleh warden asrama yang garang, sama sekali tidak membantutkan selera saya untuk membelinya.

Rangup.

Sambalnya yang lazat.

Harganya cuma 30 sen sekeping. Tambah 20 sen, saya dapat pula menikmati aiskrim Malaysia berperisa Milo.

Alhamdulillah.

Semenjak hari itu, jikalau dewan selera menghidangkan ikan jaket kejung untuk makan malam, ianya bermaksud akan lebih banyak keping mee siput yang saya beli.

Hari ini, setiap kali menjamah mee siput kenangan zaman anak dara kembali menjelma. Anak-anak pun barangkali sudah bosan mendengar cerita yang berulang-ulang. Tetapi kenangan itu tetap mengundang.

Mee Siput
Mee Siput

Sedap woih!

You Might Also Like

0 comments

Press

press