Muzium Padi, Alor Setar

February 12, 2016

Muzium Padi
Muzium Padi

Ada satu ketika, kecoh orang memperkatakan perihal usaha menanam padi di atas bumbung. Di muzium inilah, kalau tidak salah. Memang huru-hara, kebanyakkannya bersetuju usaha itu hanya sia-sia. Tidak, bukan tidak ada logik kaedah itu. Ianya memang boleh dilakukan. Tetapi yang dibantah, usaha itu membazir dan tiada keperluan.

Tanah di Malaysia ini masih luas untuk bercucuk tanam.

Itu antara perkara yang saya ingat akan muzium yang khusus untuk padi ini. Selain itu, saya hanya memandang dari jauh setiap kali kami memandu melalui kawasan berhampiran. Dari Alor Janggos ke Kepala Batas, kami pasti melalui muzium yang bersebelahan dengan Gunung Keriang yang tegap berdiri.


Singgah

Masa yang banyak berbaki ketika dalam perjalanan pulang ke kampung Disember lalu, kami buat keputusan mengejut. Mahu melawat Muzium Padi. Mujur tidak jauh dari Alor Setar dan mudah dicari. Gunakan sahaja aplikasi Waze ataupun Google Map.

Muzium Padi di kelilingi sawah

Harga Tiket dan Waktu Operasi Muzium Padi

Saya sebenarnya ingat-ingat lupa. Kalau tidak silap, bayaran masuk seperti berikut;
Dewasa; RM5
Kanak-kanak; RM2
Manakala waktu operasinya;
Dibuka setiap hari, dari jam 9 pagi - 5 petang.
Hari Jumaat, waktu rehat (tutup sementara) dari jam 12.30 petang - 2.30 petang.

 

Tingkat Dua

Muzium ini mempunyai tiga tingkat dan setiap tingkat ada kategori pamerannya. Lawatan akan bermula di tingkat dua, kerana di situlah terletaknya pintu masuk (dan keluar) dan juga kaunter jualan tiket. Sebagai muzium yang dikhususkan untuk padi, ruang pamerannya agak besar dan kelihatan tingkat dua ini agak kosong.

Kawasan luar Muzium Padi
Berehat dan bergambar di luar sebelum memulakan lawatan

Bahan pameran di Muzium Padi
Antara barang pameran di tingkat dua
Kita boleh melihat kepelbagaian rupa bentuk padi yang dihasilkan dari setiap negara penghasil beras.

Ya! Sangat banyak rupanya.

Tapi saya tidaklah dapat membezakan rupa antara padi-padi itu.

Hehehehe!

Cuma saya terfikir, bagaimana rupanya (dan rasa) kalau dicampuradukkan beras-beras dari setiap negara yang berbeza ini?

Kami tidak berlama-lama di tingkat dua, dan segera ke tingkat tiga; Puncak Gunung Keriang!


Puncak Gunung Keriang

Di bahagian tengah tingkat dua, ada pintu (yang dihias seakan-akan pintu gua) dan tertera perkataan "Puncak Gunung Keriang" di atasnya. Melangkah masuk, ada tangga berputar dan sebaik sahaja mendaki sampai ke puncak, mata pengunjung pasti terpesona dengan suasana di tingkat tiga ini.

Pening juga boleh jadi!

Puncak Gunung Keriang
Puncak Gunung Keriang

Tingkat tiga muzium ini merupakan ruang tertutup, dan juga mempunyai platform berputar (seperti Menara Kuala Lumpur). Di antara platform dan dinding, terdapat ruang yang agak luas dan dihiasi dengan miniatur-miniatur yang sangat menarik. Rekan miniatur ini berkesinambungan dengan lukisan di dinding. Sangat mempersonakan!

Lukisan apa?

Ya, seperti namanya, lukisan ini merupakan pemandangan yang boleh dilihat sekiranya berada di puncak Gunung Keriang. Sekitar Alor Setar, barangkali. Suasana kampung dengan sawah padi yang luas mata memandang. Dan juga, "di atas" Gunung Keriang ini pengunjung boleh juga "melihat"lukisan Gunung Keriang. Eheheheh!

Pemandangan dari Puncak Gunung Keriang
Pemandangan dari Puncak Gunung Keriang

Suasana orang kampung berkenduri pun ada! :)

Kami pun, jenuh bergambar walaupun kepala sudah mula pening kemabukan.

Bergambar di Gunung Keriang
Dengan keluarga tersayang

Tidak mahu sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku, kami pun turun ke tingkat paling bawah sebelum mengakhiri lawatan.



GUNUNG KERIANG yang sebenar terletak hanya di seberang jalan Muzium Padi. Sedikit catatan dan gambar gunung ini di entri yang berikut; Gunung Keriang


Tingkat Bawah

Di tingkat ini, mungkin lebih menarik untuk dikunjungi. Di sini dipamerkan barang-barang yang diguna oleh masyarakat setempat semenjak zaman-berzaman. Ada juga gambar-gambar yang digantung melihatkan aktiviti-aktiviti menanam, menuai dan sebagainya.

Bahan pameran Muzium Padi
Bahan pameran Muzium Padi di tingkat bawah


Kami tidak melawat keseluruhan tingkat ini kerana perlu mengejar masa. Sebelum beredar, sempat kami bergambar di ruang yang disediakan. Ada juga pilihan untuk bergambar dengan set penggambaran dan sudah tentu bayaran dikenakan. Kami memilih set yang percuma sahaja.

Yang budak kecik tu lah paling suka

Keseluruhannya, lawatan ke Muzium Padi ini boleh saya simpulkan biasa-biasa sahaja. Semacam ada rasa tidak puas. Saya teringat ketika ke MAHA sekitar tahun 2012 di Serdang. Ada satu bahagian menunjukkan hal-hal berkaitan beras dan padi dan saya rasakan suasananya lebih hidup dan lebih mendidik. Mungkin, saya tidak melawat sepenuhnya muzium ini dan mungkin juga, apa yang saya bandingkan itu memang sudah ada di sini cuma saya tidak nampak di mana. Saya juga membayangkan, ada rumah kampung dibina berhampiran dengan sawah, dan ada pula dangau di tengah-tengahnya dan pengunjung diberi peluang untuk merasa sendiri suasana sawah itu, meniru konsep Laman Padi di Langkawi. Lokasi muzium ini sudah menarik tetapi sayang peluang yang ada tidak digunakan sepenuhnya.


You Might Also Like

0 comments

Press

press