[Buku] A Thousand Splendid Suns (Khaled Hosseini)

March 27, 2016

A Thousand Splendid Suns (Khaled Hosseini)


Seribu Matahari Syurga oleh Khaled Hosseini
Nilaian: 5 bintang

Terjemahan buku A Thousand Splendid Suns. Buku kedua Khaled Hosseini yang saya baca. Dan seperti bukunya yang pertama, saya hanyut meneroka bumi Afghanistan.

Afghanistan yang malang.

Rakyatnya yang hidup melarat akibat kerakusan manusia menunjuk kuasa. Perang. Selepas satu, satu lagi mengambil tempat. Saya fikir, semenjak tahun 1979 sehingga hari ini, bumi Afghanistan masih mencari-cari ketenangan yang hakiki.

Kisah Mariam, yang kemudian bersatu bersama dengan Laila, sangat menghibakan. Perang di sekeliling, hubungan keluarga yang menyedihkan dan kemudian, kedua-duanya berkongsi suami yang menunjuk kuasa ke atas perempuan yang lemah.

Hanya masa yang memberi balasan.

Saya jujurnya sangat tertekan pada sebahagian penceritaan dalam buku ini, bahagian yang sangat memualkan tetapi saya kira memang perlu untuk menggambarkan situasi yang meyakinkan. Khaled pandai mengaitkan situasi untuk menambah minat pembacaan.

The Kite Runner; Buku pertama karya Khaled Hosseini yang saya baca. Terbaik!


Keseluruhannya, saya sangat teruja membaca buku ini, walaupun sangat jelas temanya tidak jauh berbeza dengan buku beliau The Kite Runner. Isu peperangan, kehidupan mewah bertukar malang, hubungan sulit dengan orang gaji, hubungan anak dengan ayah, hal pendidikan. Itu sangat jelas persamaannya.

Jadi, saya cadangkan bacalah buku ini bukan sejurus membaca The Kite Runner. Biar selepas beberapa ketika.

Buku ini, pasti kekal di rak almari saya!

Ulasan buku yang lain

You Might Also Like

0 comments

Press

press