Hutan Rekreasi Tanjung Tuan, Melaka

Ini sambungan dari kisah kayuhan Kajang - Seremban.

Selepas puas berbasikal sejauh hampir 100 kilometer pada hari sebelumnya, pagi itu kami bangun dengan perasaan yang masih bersemangat. Semasa bersarapan pagi, masing-masing teruja bercerita pengalaman yang pasti tak terlupakan.

Sehingga ada yang bersuara, masih lagi sanggup menyambung kayuh pagi ini.

Amboi!

Kami kemudiannya mengambil keputusan mahu ke Tanjung Tuan, sementara menunggu waktu untuk checkout.

Saya, hanya menurut perintah.

Aktiviti hiking santai di Melaka



Hutan Rekreasi Tanjung Tuan

Saya agak terpinga-pinga kerana lokasi hutan rekreasi ini sebenarnya di negeri Melaka. Betul-betul di sempadan. Saya pernah menginap di Permaisuri Resort yang hanya beberapa meter sahaja dengan hutan simpanan kecil ini. Melihat pada petanya di Google Map, sempadan ini agak unik. Sebuah tanjung, yang kemudiannya dipenggal.




Jarak hotel ke Tanjung Tuan tidaklah begitu jauh. Tidak sampai 15 minit memandu, kereta kami sudah pun diparkir berhampiran pintu masuk.

Tidak ada bayaran yang dikenakan. Percuma.

Dan, walaupun kami namakan aktiviti ini trekking, laluan dari bawah sehingga ke puncak semuanya jalan yang berturap. Laluan trek mungkin ada, tetapi kami memilih menggunakan jalan utama kerana idea ini sangat spontan dan pakaian kami juga tidak sesuai untuk trekking.

Lagi pun, bukannya tahu mahu mula dari mana.

Jalan yang dilalui redup dikelilingi pokok-pokok tinggi di kiri-kanan jalan. Orang awam yang turut melakukan aktiviti trekking ini juga agak ramai, tetapi suasana tidaklah sesak. Pengunjung terdiri daripada pelbagai lapisan umur, yang tua sampailah kanak-kanak.

Kami lebih banyak bergambar, dan sudah tentu berborak hal kayuhan kami pada hari sebelumnya.

Hutan Rekreasi Tanjung Tuan, Melaka
Hutan Rekreasi Tanjung Tuan, Melaka


Rumah Api Cape Rachado

Hutan Rekreasi Tanjung Tuan ini merupakan kawasan berbukit. Dan di puncak bukit, terdapat Rumah Api yang didirikan semenjak zaman penjajahan Melaka dahulu. Kawasan ini berpagar dan tidak dibenarkan masuk. Jadi, kami hanya "tawaf" sekeliling bangunan lama ini untuk melihat-lihat.

Ketika kami tiba di bahagian belakang bangunan, ada seorang perempuan yang sudah tercungap-cungap kepenatan. Di kelilingi oleh ahli rombongan yang lain, keadaan gadis itu kelihatan agak membimbangkan. Saya sempat menegur salah seorang daripada mereka dan katanya, keadaan masih terkawal. Mujur sekali.

Begitulah.

Walaupun laluannya mudah, masih memerlukan badan yang sihat dan cergas wahai kawan. Berhati-hati.

Rumah Api Tanjung Tuan, Melaka
Rumah Api Tanjung Tuan, Melaka

Sedikit catatan berkaitan Rumah Api Tanjung Tuan yang boleh diperolehi dari plank yang dipacak di pintu masuk;

Tanjung Tuan atau Cape Rachado (nama diberikan oleh Portugis) terletak dalam Negeri Melaka merupakan tanjung dengan rumah api yang menghadap Selat Melaka.

Sekitar 1606, Pantai Tanjung Tuan terkenal sebagai kawasan pertempuran tentera laut. Selepas penaklukan Portugis terhadap Melaka pada 1511, Portugis merancang membina sebuah rumah api untuk mengawal kapal-kapal yang melaluinya di Tanjung Tuan yang dinamakan 'Cape Rachado', dibina antara tahun 1528 dan 1529. Apabila Melaka jatuh ke tangan Belanda pada 1641, kemudian pihak British pad 1824, struktr rumah api berkenaan berpindah milik kepada mereka.

Pada 1921, kawasan Tanjung Tuan diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal dengan keluasan 80.97 hektar dikenali sebagai Hutan Simpan Cape Rachado.


Pusaran air

Tuan Salleh sempat berkongsi dengan saya, berhampiran dengan Rumah Api ini, terdapat dua pusaran air yang telah menelan sejumlah mangsa. Pengalaman beliau sendiri yang pernah berkayak di situ, pernah salah seorang rakannya tersasar kayuh lalu menghala ke kawasan pusaran itu. Ajaibnya, beliau selamat sampai ke penghujung tanpa ada apa-apa masalah. Saya mendengarnya agak kengerian, kerana saya bukanlah begitu "mesra" dengan laut. Saya meninjau-ninjau dari puncak bukit, tetapi tidak pula saya dapat pastikan di mana lokasi pusaran air itu.

Pusaran air Tanjung Tuan
Pandangan dari Rumah Api

Tidak lama pun masa yang kami habiskan di sini. Lebih banyak bergambar untuk kenangan pada masa akan datang.

Dan, sebagai bukti kami pernah menjejak kaki di tempat yang sama kaki penjajah Portugis, Belanda dan British menapak.

Bergambar di Cape Rachado
Gambar-gambar kenangan

Kalau mahu mengenang masa lampau sambil memercikkan peluh, Hutan Rekreasi Tanjung Tuan menyediakan pakej itu!

Datanglah.


<< Sebelum
Kayuhan Kajang - Port Dickson (2)
Mula >>
Kayuhan 99.3KM








Reactions

Post a Comment

0 Comments