Kayuhan Kajang - Port Dickson (1)

March 16, 2016

Seperti yang saya kongsikan tempohari, rancangan mahu mengayuh basikal dari Kajang hingga ke Port Dickson ini berlaku tiba-tiba.

Dan saya pula nekad untuk mengikut.

Alhamdulillah.

Semuanya berjalan dengan lancar. Basikal kesayangan saya, Encik Putih, sekali lagi menabur jasa. Kali ini kami bergandingan ke Port Dickson, bermula dari Kajang. Jarak keseluruhan, 99.3 kilometer. Kali pertama kami kayuh jarak jauh, sekitar tahun 2013 di Pulau Pinang.

Saya kongsikan di sini, untuk menjadi kenangan pada masa akan datang.

Iyalah. Bukan selalu mendapat peluang sebegini.

Sabtu, 30 Januari 2016.

Tarikh ini akan menjadi satu titik permulaan untuk "langkah" saya seterusnya.


Bersama Saleh, kawan sepejabat
Bersama Saleh, kawan sepejabat

 

Masjid Kampung Baru

Semalaman saya sukar melelapkan mata. Pertama, saya takut terlewat bangun kerana berjanji mahu bergerak dari rumah sekitar jam 4.30 pagi. Kedua, sudah tentu perasaan risau, takut dan teruja yang bercampur-baur. Soalan yang sama bergentayangan di dalam fikiran; mampukah aku? Walaupun sudah diberitahu akan ada kenderaan mengikut dari belakang (untuk mengangkut sesiapa yang sudah tidak mampu mengayuh), itu bukanlah satu jaminan yang menghilangkan runsing.

Apapun, saya berserah dan bertawakal.

Sahabat saya, Saleh dan isteri datang menjemput di rumah dan kami bergerak ke Kampung Baru untuk bersaing dengan sahabat Saleh yang turut serta, Usop sekeluarga. Kami menunaikan solat di Masjid Kampung Baru sebelum bergerak ke tempat permulaan kayuhan. Tidak putus-putus doa saya semoga perjalanan saya dan rakan-rakan dilindungi daripada sebarang kecelakaan yang memudaratkan.

Anak-anak dan isteri di rumah, saya pohonkan terlindung daripada sebarang musibah.

Doakan abah, ya?


Kajang

Di Kajang, kami berhenti berhampiran dengan TESCO. Saya tertanya juga, kenapa memilih Kajang sebagai lokasi permulaan? Walhal, kami semua menetap di Kuala Lumpur. Selepas diterangkan Saleh, baru saya faham. Kami tidak bermula di Kuala Lumpur kerana ingin mengelakkan jalanraya yang sibuk dan agak merbahaya. Kajang menghala ke Port Dickson menggunakan jalan lama, risikonya lebih kecil.

Saya akur sahaja.

Kajang
Siap sedia

Kami bersiap sedia. Makan pisang sebagai pembekal tenaga. Air sudah siap sedia di dalam botol. Sarung tangan, helmet sudah siap dipakai.

Jam 8.00 pagi, tayar basikal bergolek memulakan pengembaraan.

Bismillah.


*****

Permulaan kayuhan bermula baik. Cuaca pagi sangat meraikan kami dan jalanraya di Kajang, agak biasa-biasa.

Cuma, selepas 30 minit yang pertama Saleh menerima panggilan daripada isterinya, Kak Siti. Keretanya rosak. Aduh! Cabaran yang pertama. Ikut perancangan, Kak Siti akan mengekori kami dari belakang sebagai marshall, untuk mengawasi keselamatan kami sepanjang ekspedisi ini. Saleh dan Usop (keluarga Usop juga mengekori dari belakang dengan kereta) berbincang dan membuat beberapa panggilan.

Selesai.

Kak Siti akan menyelesaikan hal kereta dan kami akan meneruskan kayuhan.

Kasihan Kak Siti, pengorbanannya besar.

Menangani cabaran pertama

Melalui Semenyih menghala ke Rincing, saya mula mendapatkan rentak. Sambil kaki rancak mengayuh, mata memerhati keililing, fikiran saya sesekali menerawang jauh.

Saya suka begini. Mengembara. Dengan apa cara sekalipun. Kali ini saya memilih berpetualang dengan dua roda. Seronok di dalam hati sukar saya gambarkan. Seronok dapat melihat-lihat. Dapat mendapat pengalaman baru. Dapat sahabat baru. Lagi-lagi, ekspedisi ini bukanlah untuk mengukur laju. Santai. Tenang-tenang.

Terima kasih saya sebanyak-banyaknya kepada Tuan Salleh yang sudi mengajak. Takkan saya lupa!


Beranang

Kami tiba di Beranang sekitar jam 9.30 pagi. Saya agak ketinggalan sebelum itu semasa di Semenyih. Kayuhan saya sangat santai, tidak bercita-cita untuk mengayuh laju, dan saya juga beberapa kali saya tertinggal di simpang lampu isyarat. Ahahahaah! Selepas kehilangan Saleh dan Usop dari pandangan, barulah saya menambah kelajuan. Selepas Rincing, saya mendekatkan jarak dan akhirnya kami berhenti di Checkpoint (CP) 1, Beranang. Kami berhenti melepaskan lelah (entah kali yang ke berapa, sudah tak terkira) dan Kak Asmah, isteri Usop serta anak perempuan mereka, Mimi sudah mula menurunkan basikal masing-masing dari kereta.

Wah! Dari bertiga, kami akan berlima meneruskan kayuhan.

The more, the merrier!

Kasihan juga kepada sahabat saya Saleh. Runsing sepanjang kayuhan memikirkan Kak Siti yang keseorangan menyelesaikan masalah kereta.

Insya-allah. Baik-baik sahaja.

Beranang
Beranang

Nilai, Negeri Sembilan
Melepasi sempadan Beranang, Selangor - Nilai, Negeri Sembilan




Bukit Mantin 

Sudah dinyatakan sejak awal lagi, cabaran utama ekspedisi ini ialah Bukit Mantin. Kata Usop, mendaki yang meninggi. Saya cuba berlagak tenang, dan mengharapkan ini adalah sesuatu yang mudah. Pengalaman mendaki bukit semasa kayuhan CFAL Pulau Pinang tahun 2013 sedikit sebanyak menimbulkan debaran. Saya masih ingat, ketika mendaki bukit melalui dusun-dusun durian di Balik Pulau, hujan turun agak lebat. Saya, mahu atau tidak, meneruskan kayuhan dalam kesejukan dan kepenatan yang tak terperi.

Mujur, Bukit Mantin tidak begitu membebankan.

Suku dakian pertama, kami berhenti kayuh. Menolak basikal sekitar 200-300 meter, sebelum berhenti untuk mengambil nafas. Cerunnya agak menegak, jadi kami tidak mahu mengambil risiko memaksa diri. Kemudian, berani-berani takut saya cuba mengayuh kembali sehingga sampai ke puncak.

Berjaya!

Bukit Mantin, Negeri Sembilan
MTB (Mari Tolak Basikal) di Bukit Mantin

Baru saya tahu Usop pernah menjalani pembedahan jantung. Tetapi masih utuh mengayuh ke Port Dickson. Dan sentiasa jauh di hadapan, meninggalkan saya dan Salleh di belakang. Beratnya pernah mencecah 100++ kilogram sebelum ini, dan turun hampir 14 kilo selepas kembali aktif mengayuh basikal.

Ini inspirasi!



Seremban

Dari Bukit Mantin ke Seremban, perjalanan semakin mudah. Sesudah penat mendaki, kami menikmati saat bahagia membiarkan angin menerpa muka semasa menuruni bukit.

Sedapnya lah hai!

Jalanraya sudah makin sesak dan penuh dengan kenderaan, menandakan kami sudah betul-betul masuk ke dalam pekan. Saya jarang melihat/melalui bahagian Seremban yang ini, kerana kebiasaannya saya datang melalui lebuhraya PLUS. Tahu-tahu, kami sudah sampai di tengah bandar.

Haji Shariff Cendol, Seremban
Melepaskan lelah di Haji Shariff Cendol, Seremban


Cuaca sangat panas. Sangat terasa peritnya yang membakar pipi. Haus? Sudah berbotol-botol air saya habiskan. Mata juga sudah pedih diceroboh debu dan asap.

Ini akan saya jadikan peringatan. Untuk ekspedisi akan datang, sekiranya ada, saya akan pastikan memakai losyen pelindung cahaya matahari, dan juga cermin mata gelap. Mesti!

Kami menikmati makan ala kadar di Haji Shariff Cendol. Saya sempat menikmati semangkuk cendol, sepinggan rojak (yang pedas) dan juga tambahan belakan air 100 Plus. Kami berehat hampir satu jam, dan Kak Siti akhirnya muncul untuk menyertai kami semula.

Ok. Good to go.

Kami bakal meneruskan perjalanan bahagian yang kedua. Seremban - Port Dickson.

Dalam fikiran, ini sepatutnya lebih mudah. Seharusnya lah begitu.

Begitukah?


<< Sebelum
Kayuhan 99.3KM
Seterusnya >>
Kayuhan Kajang - Port Dickson (2)


You Might Also Like

0 comments

Press

press