Kayuhan Kajang - Port Dickson (2)

March 18, 2016

Di Seremban, ahli ekspedisi kami bertambah. Saudara Akmal turut serta dengan basikal beliau yang sangat bergaya. Daripada gaya sembang-sembang beliau dalam Whatsapp, Akmal juga sama seperti Usop dan Salleh, sudah lama "berkecimpung" dalam aktiviti berbasikal ini. Blog Akmal juga banyak berkisah hal-hal basikal.

Boleh kunjungi blog beliau di http://akmalbikepark.blogspot.com/.

Setelah selesai mengisi perut dan menghilangkan haus, kami kembali memulakan kayuhan. Kali ini Akmal mendahului, penghormatan sebagai "abang kawasan". Bandar Seremban waktu itu sangat panas dan sesak. Bahang matahari dan juga bahang dari enjin kereta sangat menyeksakan. Air yang baru saja kami minum, bagaikan sudah habis tersejat sekelip mata.

Sewaktu ini, selain panas yang membara, saya masih dapat bertahan. Saya sendiri tidak menyangka masih mampu untuk meneruskan kayuhan. Ketika di Pulau Pinang dahulu, saya menamatkan kayuhan sejauh 82 kilometer dalam masa lima jam. Satu jam yang terakhir sangat menyeksakan. Jujur saya katakan, ketika itu punggung bagai sudah melekat dengan tempat duduk. Kaki, sudah hampir hilang kudrat untuk meneruskan kayuhan.

Tidak kali ini.

Mungkin faktor berhenti rehat yang kerap membantu saya mengumpul kembali tenaga. Dari Kajang ke Seremban, entah berapa kali kami berhenti mengatur nafas. Dan mungkin juga, faktor kekerapan saya melakukan aktiviti senaman kardio sebelum ini membantu saya mengawal tenaga. Sekurang-kurangnya saya membuat larian sejauh lima kilometer dalam satu minggu. Jadi, saya sudah mendapat "kelebihan" di situ.


Seremban
Di bandar Seremban

Rantau

Dari Seremban melalui Mambau, kami meneruskan kayuhan menuju Rantau. Mungkin saya terlalu banyak mengulang-ngulang, tetapi percayalah. Terik matahari dan bahang jalan benar-benar menjadikan kami letih dan kepenatan. Ditambah lagi dengan corak jalan yang beralun-alun. Mendaki bukit yang landai dan jauh, juga bukit yang cerun tetapi pendek, sangat-sangat memerah tenaga. Tekanan untuk menghentikan kayuhan tidak dinafikan, wujud. Tetapi entah mana datang angin semangat yang meniup, kayuhan tetap diteruskan.

Berhenti rehat?

Sudah malas mengira. Asal mendaki bukit, pasti kami rehat melepaskan lelah.

Kuala Sawah - Rantau
Aksi digambar yang ceria tidaklah menggambarkan perasaan sebenar.

Antara kerisauan saya semasa mengayuh ini ialah anjing. Ya, anjing yang nakal. Bukan tidak pernah terjadi orang berbasikal dikejar anjing. Semasa di Kuala Sawah, kami melalui sebuah kilang di kawasan yang agak tersorok. Beberapa ekor anjing mundar-mandir di pintu masuk (berhampiran jalan utama). Untuk menambah lagi kemuncak cerita, lokasinya di jalan berbukit!

Aduh!

Saya sudah berkira-kira mahu memecut. Larat atau tidak, saya tetap mahu melajukan kayuhan. Kereta Kak Siti di belakang, tidak dapat menghalang anjing kerana jalan yang sempit menyukarkan kereta mahu berhenti di tepi. Jadi, pecut sahaja pilihan yang ada.

Mujur.

Mujur sekali ketika saya sudah semakin hampir dengan kumpulan anjing itu, sederet kenderaan datang dari kedua-dua arah. Jalan menjadi sibuk dan anjing-anjing yang tidak comel itu mengundur masuk ke dalam kawasan kilang.

Lega!

Lebih lega dari segelas air sejuk yang sangat diperlukan ketika itu!

Akhirnya, kami sampai di pekan Rantau.

Untuk kesekian kalinya, kami berhenti menghilangkan haus.

Pekan Rantau
Pekan Rantau

Ayer Kuning

Selepas berehat di Rantau, kami menyambung kayuhan dalam paksaan yang direlakan. Mahu saya ceritakan lagi hal cuaca? Ehehe! Cukuplah. Matahari benar-benar di atas kepala, dan angin pantai laut Selat Melaka masih belum menyapa.

Kali ini, hanya empat orang yang meneruskan kayuhan sehingga ke garisan penamat. Usop, Akmal, Saleh dan saya. Akmal dan Usop sudah jauh ke hadapan. Saya cuba mengejar, mahu merasa berada di hadapan pula. Namun kelibat Usop semakin menghilang. Satu ketika, Akmal berhenti untuk menunggu saya dan Saleh. Saya biarkan Akmal menemankan Saleh, manakala saya masih berharap boleh menyaingi Usop.

Gagal.

Usop hilang. Saleh dan Akmal tidak  kelihatan. Saya sekarang berada di kawasan ladang kelapa sawit di kiri kanan jalan. Seorang. Kereta Kak Siti dan Kak Asmah juga tiada.

Saya berdebar. Risau. Cemas. Dengan keadaan yang sangat letih dan berseorangan, fikiran mula membayangkan perkara yang tidak menyenangkan. Yang saya risaukan ketika itu, manusia. Ya, manusia yang punya niat jahat. Saya keseorangan, keletihan. Keadaan saya ketika itu sangat "lemah" dan terdedah kepada "serangan".

Saya nekad meneruskan kayuhan. Mengharapkan ada kawasan perumahan atau tempat persinggahan yang memungkinkan saya tidak berseorang lagi. Kayuh dan terus kayuh, sehinggalah saya ternampak deretan kedai dan kelibat manusia.

Alhamdulillah!

Waktu itu, saya betul-betul bersyukur.

Itulah.

Manusia hanya ingat kepada yang Satu hanya bila dilanda kesusahan.


Kayuh dan terus kayuh
Kayuh dan terus kayuh

Selepas Ayer Kuning, saya memutuskan untuk kayuh beriringan dengan Saleh. Tidak mahu lagi berseorang diri. Ketika ini juga Saleh sudah sangat kepenatan. Lutut Saleh yang sememangnya sudah lama sakit mula memberikan kesan. Hanya semangatnya yang berkobar-kobar menjadi penguat kudrat untuk meneruskan ekspedisi.

Destinasi akhir sudah semakin hampir. Port Dickson hanya dalam lingkungan 10 kilometer. Usop masih lagi bertenaga dan mendahului kayuhan.

Semasa di Sungai Menyala, ada lagi peristiwa yang kurang menyenangkan. Ketika saya dan Saleh berhenti melepaskan lelah, saya terdengar deruman enjin motor yang semakin perlahan menghampiri dari belakang. Kiri-kanan kami hanyalah hutan dan jalan lengang tidak ada kenderaan. Secara automatik saya memikirkan yang tidak baik. Sama seperti ketika saya berseorangan di Ayer Kuning sebelum itu.

Tanpa berlengah, saya mengajak Saleh meneruskan kayuhan. Ya, jalan berbukit juga. Tetapi saya sudah tidak peduli. Dan sekali lagi, Alhamdulillah. Hanya beberapa meter selepas kayuhan kami, sudah nampak kereta Kak Siti menunggu di depan selekoh.

Motor tadi, yang dibonceng dua pemuda tidak berhelmet, kembali melaju. Saya ingat, yang di belakang itu berbaju ungu, rambutnya diwarnakan keperangan.

Entahlah. Mungkin saya terlalu berburuk sangka.

Tetapi dalam keadaan begitu, saya tidak mampu berbuat apa lagi.

Kan?

Kemudian, di satu kawasan tidak jauh dari tempat kejadian itu, sekali lagi kami diduga.

Beruk!

Ya. Beruk yang begitu banyak menunggu di pinggir jalan. Rupanya sudah menjadi perkara biasa kenderaan menghentikan kereta di situ dan melontarkan makanan kepada beruk-beruk yang berlonggok-longgok.

Saya nampak beruk jantan yang besar. Di kiri jalan, juga di seberang jalan. Betul-betul menyesakkan dada. Takut tiba-tiba saya dikejar. Beruk, lebih ganas daripada anjing. Sepupu saya pernah dikokak kakinya oleh beruk peliharaan!

Tanpa menoleh-noleh, saya melajukan kayuhan. Tidak lagi saya menunggu Saleh, walaupun sebenarnya dia betul-betul di belakang saya. Saya hanya mahu segera melepasi kawasan itu dan mujur, ianya tidak terlalu jauh untuk meninggalkan kelompok itu.

Eh!

Simpang ke Teluk Kemang?

Sudah hampir ke penghujung.

Yeay!


Port Dickson

Walaupun sudah tersasar jalan pada mulanya, kami patah semula menuju ke simpang yang betul. Dan, dari kejauhan kami sudah nampak papan tanda "Selamat Datang ke Port Dickson".

Alhamdulillah.

Terima kasih, ya Rahman.

Yang Maha Melindungi. Kami, selamat sampai ke destinasi akhir.

Kami meneruskan kayuhan ke checkpoint terakhir di Teluk Kemang. Usop, yang sudah terlajak jauh akhirnya tiba menyertai kami.

Cendol, Coconut Shake dan fishball goreng menjadi juadah meraikan kejayaan kami. Nikmat yang tak terkata.

93 kilometer.

Itu catatan di Endomondo saya.

Tidak sampai 100 kilometer, tetapi tetap sesuatu yang membanggakan.

Proud fathers
Proud fathers


Anak-anak.

Suatu hari nanti kalau terbaca blog abah ini, kisah pengembaraan abah ini, cabarlah diri sendiri. Kembaralah. Ikut rentak sendiri.

Ini kisah kembara abah. Yang mahu mencabar diri sendiri. Yang mahu melihat kemampuan diri. Yakinlah kepada yang Maha Esa, bantuan-Nya akan datang tak terduga.

The Cycling Fathers
Terima kasih, sahabat.

Untuk Tuan Saleh dan Kak Siti, Tuan Usop dan keluarga, serta Akmal.

Terima kasih kerana memberi peluang dan tunjuk ajar. Tak terbalas saya akan jasa baik tuan-tuan budiman sekalian.

Jangan serik, ya. Ajaklah saya lagi!

Pantai Tanjung Gemok
Di Pantai Tanjung Gemuk

Terima kasih, Syah.

Yang memahami kehendak suamimu yang gemuk ini.

:)



<< Sebelum
Kayuhan Kajang - Port Dickson (1)
Seterusnya >>
Hutan Rekreasi Tanjung Tuan, Melaka


You Might Also Like

0 comments

Press

press