Bergaduh di Sarojini Nagar

July 24, 2016

Hari ketiga (sebenarnya hampir setiap hari), Syah ada urusan rasmi yang perlu diselesaikan. Jadi, sepanjang pagi kami berkampung di pejabat dan tidak ada apa-apa aktiviti menarik yang dapat dibuat. Untuk saya bergerak sendiri, tidak pula saya terfikir. Terfikir sekali pun, belum tentu saya ada keberanian.

Kami sempat beberbual-bual dengan pegawai kerajaan Malaysia yang bertugas di Delhi. Hal-hal semalam di Taj Mahal. Dan apabila kami berkongsi kisah hal "tandas awam" tanpa bumbung tanpa dinding, kata beliau itu bukanlah apa kalau dibandingkan apa yang dihadapi beliau selama menetap di sini.

Kisah beliau

Waktu pagi, udara di Delhi agak segar. Jadi, sesuai untuk aktiviti senaman pagi. Mahu mengeluarkan peluh sebelum ke pejabat.

Itu, kalau dilihat secara kasar.

Kalau menunduk ke bawah, dan memerhati apa yang ada di tepi-tepi laluan, kau mungkin hilang semangat mahu meneruskan senaman.

Kata beliau, waktu pagi akan bersepah longgokan-longgokan kumuhan manusia.

Kami meremang bulu roma.

Mahu muntah.


Bersama kru hotel
Bersama kru hotel

 

Bergaduh

Syah ada menempah sut untuk ke pejabat di sebuah kedai di Sarojini Nagar, dua hari sebelum saya sampai di Delhi. Jadi, petang itu setelah selesai urusan di pejabat kami terus ke pasar awam yang agak terkenal bagi warga Delhi.

Belum siap!

Malah, tukang jahit tidak jumpa pula resit tempahan. Mujur Syah masih ada salinannya. Kata dia, dia akan siapkan juga. Saya tidak yakin, sebab kami hanya berbaki kurang satu hari lagi sebelum pulang ke Malaysia. Dia bersungguh-sungguh. Saya bantah. Saya mahu duit cengkeram dipulangkan. Dia seperti berdolak-dalih. Meleweh-leweh.

Dan dahi saya sudah berkerut seribu. Nafas saya sudah melaju. Saya katakan, tidak. Saya mahu wang dikembalikan. Saya gertak berani-berani, walhal takut dilumat oleh tukang jahit yang bersaiz dua kali ganda. Itupun sebab kami ramai. Kalau seorang diri, menangislah saya di balik sari tergantung merata di pasar ini.

Mujur, selesai juga.

Kami gunakan duit yang bertambah di tangan, untuk membeli-belah lagi.


Sarojini Nagar

Saya tidak tahu jika perbandingan ini sesuai, tetapi saya rasakan Sarojini Nagar ini sama seperti Mangga Dua di Jakarta, atau Padang Besar di Perlis. Di sini, rambang mata melihat pelbagai pilihan dan gaya pakaian serta kain sari. Entah berapa banyak duit dilaburkan di sini, saya sudah hilang hitung.

Asalnya Sarojini Nagar ini dikenali sebagai Vinay Nagarand. Namanya ditukar sempena memperingati jasa perwirawati yang memperjuangkan kebebasan, Sarojini Naidu.

Saya melayan sahaja rentak langkah kekasih. Pelbagai jenis sari sudah dijinjing kiri dan kanan tangan. Untuk anak-anak tersayang juga sudah kami pilih pakaian yang sesuai.

Dan, rupanya hal-hal membeli-belah ini berlanjutan ke daerah lain.

Sudah saya lupa nama tempatnya.

Sampai ke malam.

Tetapi kain sari, terus menyelit dalam bungkusan di tangan.

Sakan.

Kain Sari
Kain Sari

Rambang mata
Rambang mata

Bersyukurlah.

Kerana hari terakhir esok tidak ada agenda shopping dalam aturcara.

Poket sudah kempis!


<< Sebelum
Taj Mahal
Seterusnya >>
Jamaa Masjid, Old Delhi
ITINERARI 4H3M NEW DELHI, INDIA
(Senarai lengkap aktiviti selama 4 hari di New Delhi, India)







You Might Also Like

0 comments

Press

press