Tuesday, 30 August 2016

thumbnail

Tips Menyambut Hari Kemerdekaan Di Dataran Merdeka

Saya tidaklah kerap ke Dataran Merdeka untuk sambutan upacara gemilang Malaysia ini setiap tahun. Baru beberapa kali, dan belum pernah saya kongsikan di dalam blog ini.

Sambutan Merdeka Di Stadium Bukit Jalil tahun 2012
Sambutan Merdeka Di Stadium Bukit Jalil tahun 2012


Hari ini, saya kongsikan perkara-perkara yang boleh dijadikan panduan sekiranya berkenaan.
  1. Datang awal. Acara bermula awal. Sekiranya mahu ke kawasan pentas utama, saya tidak tahu bila waktu terbaik. Pengalaman lalu, kami hanya berkumpul di Jalan Raja Laut berhadapan dengan bangunan DBKL.
  2. Gunakan pengangkutan awam. LRT Putra, LRT Star, Komuter antaranya. Itu yang terbaik. Tidak ada siapa pun yang mahu tersangkut dalam kesesakan hari itu. Tambahan lagi, jalan banyak ditutup.
  3. Sediakan kad Touch & Go, atau Rapid KL. Paling mudah, topup Touch & Go yang sudah tersedia pada kad pengenalan. Kalau tidak, bersedialah untuk beratur panjang di stesen.
  4. Pakaian yang sesuai. Hari itu, pasti banyak berjalan dan berdiri. Jadi, pastikan kasut, seluar dan baju bersesuaian dengan suasana sesak dan panas.
  5. Isi perut terlebih dahulu. Mencari makan mungkin tidak ada masalah, tetapi harganya mungkin boleh menjulingkan mata.
  6. Bawa bekal air dan makan. Untuk berjimat, untuk memudahkan.
  7. Sambil bergembira, terangkan kepada anak-anak hal-hal yang berkaitan dengan kemerdekaan dan sambutannya. Jangan dibiarkan kosong. 
  8. Sentiasa waspada dengan sekeliling, terutamanya anak-anak kecil. Dalam suasana sesak sebegitu, kita tidak mahu ada kehilangan.
  9. Kalau jerebu masih tidak berkurangan, bawalah pelindung muka yang betul. Kalau kesihatan tidak mengizinkan, tahun ini batalkan sahaja rancangan mahu ke Dataran Merdeka. 

Kalau ada lagi yang berkaitan, saya akan tambah.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-59.

Sehati sejiwa.

Wednesday, 10 August 2016

thumbnail

Mengintai Chandni Chowk

Saya pernah mendengar Chandni Chowk ini dalam filem-filem Hindustan. Selalu. Dalam dialog, dalam lagu. Saya hanya tahu ianya sebuah tempat di India, tetapi kenapa ianya terkenal tidak saya tahu.

Tahun 2001, zaman kegemilangan filem Kabhi Kushi Kabhi Gam. Antara adegan yang saya ingat ialah ketika Rahul (lakonan Shahrukh Khan) mahu menghantar ubat kepada Daijan. Adiknya Rohan (lakonan Hritikh Roshan), disakat dan dihalang oleh Pooja (Kareena Kapoor).

Kata Pooja yang samseng,

"Jika mahu masuk ke Chandni Chowk, perlu ikut apa yang saya cakap!

Chandu ke chacha ne chandu ki chachi ko chandni chowk mein chandi ke chamach se chatni chatayi."Maksudnya; Chandu's uncle fed Chandu's aunt chutney with silver spoon in Chandni Chawk in moonlit night

Gigih, kan?

Chandni Chowk disebut lagi.

Peniaga buah
Peniaga buah

Moonlight Square

Berinspirasikan bulan dan sinarannya, begitulah tempat ini mendapat nama. Chandni Chowk ini dibina oleh anak Shah Jahan, Jahanara Begum. Asas tujuan pembinaan tempat ini adalah sebagai tempat berdagang dan berniaga. Catatan mengatakan Chandni Chowk hari ini terlalu berbeza dengan rekabentuk asal.

Begitulah.

Kemodenan sedikit sebanyak merosakkan tinggalan sejarah.

Tanah airku, jangan jadi begitu!


Mengintai

Kami tidak berpeluang untuk berlegar di Chandni Chowk, walaupun jarak Masjid Jamaa dan Red Fort (lokasi lawatan kami seterusnya) hanyalah beberapa meter. Di situ meriah untuk membeli-belah, dan kami sudah "tutup buku" untuk acara menabur duit ini.

Melalui lorong-lorong menghampiri Masjid Jamaa, sebenarnya kemeriahan Chandni Chowk boleh dirasakan. Apatah lagi, Masjid Jamaa juga menjadi tumpuan pelancong dan pengunjung tempatan. Sudah tentu peluang berniaga untuk menjana pendapatan tidak dilepaskan.

Peniaga di Chandni Chowk
Peniaga

Jual beli
Jual beli
Delima
Delima

Delima.

Sangat merah dan besar dan manis dan sangat menggoda.

Kami jadi kegeraman melihat buah delima yang tersusun tinggi sepanjang lorong. Limau juga banyak, tapi kami lebih teruja dengan delima. Sempat kami singgah dan membeli.

Longgokan Delima
Longgokan Delima

Kami tinggalkan Chandni Chowk.

Biarkan Pooja terus menunjuk samsengnya kepada Rohan.


<< Sebelum
Jamaa Masjid, Old Delhi
Seterusnya >>
Istana Mughal Red Fort
ITINERARI 4H3M NEW DELHI, INDIA
(Senarai lengkap aktiviti selama 4 hari di New Delhi, India)







Monday, 8 August 2016

thumbnail

Jamaa Masjid, Old Delhi

Sudah masuk hari terakhir. Barang-barang, sudah siap kami kemas malam sebelumnya. Beg sudah semakin sarat, menunggu detik untuk bersalin entah anak kembar berapa.

Mujur, hal-hal membeli-belah sudah selesai.

Hari ini, kami meneruskan langkah ke beberapa tempat lagi. Masa kami agak panjang, kerana penerbangan pulang kami pada waktu malam. Dan melihat senarai tempat yang mahu dilawati, hati saya berbunga-bunga. Saya suka.

Ketahuilah, saya ini senang khayal dengan sejarah. Dan kota Delhi ini sangat sarat dengan tinggalan sejarah masa lampau. Setiap kali melihat dan berada di tempat-tempat yang penuh kisah ini, saya cepat benar terbang ke masa lalu. Terbayang-bayang.

Pagi ini, kami mahu ke masjid dahulu.

Jamaa Masjid, Old Delhi
Jamaa Masjid, Old Delhi

Islam di India

India ini, yang paling ramai ialah penganut agama Hindu. Hampir 80% daripada penduduknya menganut agama yang sekelompok dalam agama tertua di dunia. Tidak sampai 15% beragama Islam. Tetapi sepanjang empat hari saya di sini, saya lihat pengaruh Islam sangat besar dalam tinggalan monumen sejarah di India. Atau mungkin lebih sesuai kalau saya katakan, India Utara. Saya tahu ada sejarah di sebaliknya, pengaruh Parsi, penjarahan Gengkhis Khan dan lain-lain.

Seperti sekarang.

Burung berterbangan
Burung berterbangan

Di ruang solat terbuka
Di ruang solat terbuka


Masjid Jamaa

Kami sudahpun bertentang mata dengan salah sebuah masjid tinggalan silam. Dari ruangan parkir, kami nampak menara masjid menjulang tinggi. Kedudukan masjid ini agak tinggi, jadi kami masih belum dapat mengintai lagi. Dari sebelah kanan masjid, kami mendaki dan perlu meninggalkan kasut di luar masjid.

Dan dikenakan sedikit bayaran.

Entah siapa yang bertugas di situ, kami akur sahaja. Kasut tidak dibenarkan dibawa masuk. Mintalah resit, kalau ada. Atau, ambil video ketika bayaran dibuat.

Kenapa?

Kerana kami terpaksa bergaduh semasa mahu mengambil kasut sewaktu pulamg. Petugas sudah bertukar ganti, dan mereka mendesak kami untuk membayar lagi. Bukan mahu berkira, tetapi cara yang kasar begitu menyakitkan hati. Kami ambil dan terus beredar.

Dimaki? Biarkan. Bukan faham pun.

Model Tangga
Model Tangga



Masjid-i Jahān-Numā

Itu nama asalnya yang bermaksud, mosque commanding view of the world. Tetapi kemudian hari lebih dikenali sebagai Jamaa (Jumaat). Keluasannya boleh memuatkan seramai 25,000 makmum dalam satu-satu masa. Shah Jahan, membina masjid ini beberapa tahun selepas Taj Mahal siap dibina.

Kemahuan Shah Jahan.

Kerana itu tidak banyak beza rekabentuk masjid ini seperti masjid di sebelah Taj Mahal. Sama, cuma ruang solatnya lebih luas dan Masjid Jamaa ini mempunyai dinding di sekeliling. Masih berkonsepkan "langit terbuka", tidak berbumbung kecuali ruang solat utama. Saya tertanya juga, bagaimana mahu mendirikan solat dengan najis burung yang meriah bertaburan di lantai? Sekalipun dibentang sejadah, burung-burung merpati sangat banyak berterbangan di kawasan masjid. Dan kolam wuduk yang terbuka juga, aduhai, banyak khazanah di dasarnya.

Merpati.

Sangat banyak.

Dan Syah berlari mengejar merpati sambil lensa kamera merakam kenangan.

Berdua
Berdua
Milah Dixit & Sharul Khan
Milah Dixit & Sharul Khan
Ruang Solat Masjid Jamaa
Ruang solat

Riang ria
Riang ria



Ruang Solat

Kami masuk ke dalam masjid, hanya untuk melihat-lihat. Rugi juga kalau difikir-fikir. Dua rakaat solat dhuha boleh sahaja dibuat. Iyalah, kalau mahu solat mahu berwuduk pula. Tak tahu sama ada saya yakin mahu berwuduk dengan air kolam yang bertompok-tompok dasarmya itu.

Tidak jauh saya merayau. Kerana susun aturnya sama seperti di Taj Mahal, saya tidak bersungguh-sungguh mahu melihat.

Solat
Solat

Kubah
Kubah

Ruang Solat
Ruang Solat
Menara
Menara


Kami beredar selepas puas bergambar.

Begitulah.

Bergambar terus-terusan.

Saat ini masih lagi bernuansakan "pelancong", bukan pengembara.


<< Sebelum
Bergaduh di Sarojini Nagar
Seterusnya >>
Mengintai Chandni Chowk
ITINERARI 4H3M NEW DELHI, INDIA
(Senarai lengkap aktiviti selama 4 hari di New Delhi, India)







Friday, 5 August 2016

thumbnail

Ladang Anggur Tasik Beris, Sik Ditutup

Awal minggu ini saya terbaca di FB, memaklumkan Ladang Anggur di Tasik Beris Sik, Kedah sudah ditutup.

Sayang.

SIK - Ladang tanaman anggur di Tasik Beris dan Sungai Senam yang diusahakan Syarikat Excel Agrotech Sdn Bhd kini ditutup akibat penjagaannya yang rumit.

Penyelia ladang anggur Sungai Senam, Mohd Nor Azizi Ismail berkata, kedua-dua ladang yang beroperasi selama 10 dan lapan tahun itu ditutup pada 6 Mei lalu.

Menurutnya, beberapa pekerja terpaksa diberhentikan, namun dibayar pampasan.

“Sebelum ini ladang anggur di Tasik Beris dipindahkan di Sungai Senam untuk tanaman semula, tetapi sebab penjagaan yang begitu rumit kedua-duanya ditutup, Mei lalu.

“Mengusahakan tanaman anggur rumit, hasilnya tidak menentu, bunga anggur juga mudah terbakar sekiranya cuaca terlampau panas,” katanya di sini semalam.

Mohd Nor Azizi berkata, dia sedih dengan penutupan itu dan ladang anggur mungkin tidak akan dibuka lagi.

“Selepas ini mungkin ladang anggur di sini tidak lagi dibuka, rasa sedih bila ladang anggur yang merupakan kebanggaan bagi daerah Sik terpaksa ditutup,” katanya.

Bagaimanapun, pihak pengurusan ladang anggur kini menggantikan tanaman itu dengan buah rock melon.

Sumber: Sinar Harian

Ladang Anggur Tasik Beris
Ladang Anggur Tasik Beris


Tempat ini sangat menarik untuk dijadikan sebagai lokasi tarikan pelancong. Walaupun lokasinya agak jauh, tetapi sekeliling kawasan ini (empangan) amat sesuai untuk dijadikan tarikan untuk aktiviti berbentuk alami.

Begitulah.

Cara saya melihat, sudah tentu tidak sama dengan mereka yang terlibat. Pengusaha memaklumkan pengurusan penanaman anggur ini sebenarnya rumit. Dan pulangannya juga tidak begitu memberangsangkan. Jadi setelah mengambilkira semua faktor, penanaman anggur dihentikan. Bakal digantikan dengan tanaman baru, rock melon.

Apa pun, semoga berjaya.




Terima kasih kerana pernah memberi pengalaman yang menarik kepada kami sekeluarga.


Thursday, 4 August 2016

thumbnail

Temerloh

Temerloh agak asing bagi saya.

Kali pertama saya benar-benar melihat bandar Temerloh ini, sekitar 16-17 tahun yang lepas. Tahun 1998 atau 1999. Saya ke Mentakab ke rumah rakan sebilik semasa di matrikulasi. Kami singgah ke Temerloh untuk ke rumah sahabat yang seorang lagi. Tidak banyak yang saya ingat.

Kami sampai di pekan Temerloh, masih ada pasar pagi. Beberapa penjual melonggok ikan patin yang hitam gebu di lantai jalan. Saya ketika itu, bukan tahu kemasyhuran ikan sungai ini. Jadi, sekadar meerhati.

Kemudian, kami bergambar di tepi Sungai Pahang. Yang luas.

Dan terus ke stesen bas untuk pulang semula ke Gombak.

Terhad.

Itu sahaja yang saya ingat.

Jadi kesempatan ke Kuala Krau, Temerloh pada hari Sabtu lepas, saya kunjungi semula tempat ini. Tidak susah untuk saya cam lokasi "gambar" saya 16-17 tahun yang lepas. Masih sama. Masih ada pokok-pokok besar itu.

Dan rupanya nama tempat ini sudah bertukar juga.

Temerloh, Pahang
Temerloh


Esplanade.

Hai! Macam sudah tidak ada nama yang lain.

Sungai Semantan dan Sungai Pahang
Sungai Semantan dan Sungai Pahang

Jambatan Gantung
Jambatan Gantung

Kami (tanpa Kakak Hanim)
Kami (tanpa Kakak Hanim)

Temerloh, bandar ikan patin
Temerloh, bandar ikan patin

Anak-anak lelaki
Boys
Kenangan
Kenangan

Tak tahu, bila lagi kami ke sini.

Buat masa ini, biar gambar sahaja menjadi bukti.

About