Lima Buku Kisah Hidup Yang Disarankan Untuk Dibaca

September 03, 2016

Sebenarnya, banyak buku hasil anak tempatan yang menarik untuk dibaca. Ada pelbagai genre dan sangat banyak pilihan. Terpulang kepada citarasa setiap individu.

Cuma saya fikir, trend "kisah hidup" sangat banyak memenuhi pasaran (buat masa ini). Kisah-kisah hidup yang menginspirasi diceritakan samaada melalui aktiviti yang digemari, pengembaraan, pekerjaan atau perkara-perkara harian yang dilihat lebih daripada rutin semata-mata.

Saya memilih lima, antara banyak-banyak buku yang menarik pernah saya baca. Tidak disusun mengikut kegemaran, lebih kepada susunan rawak (dan yang saya ingat).


Lemoi

Kisah seorang guru perempuan mengajar di kawasan pedalaman. Berhadapan dengan cabaran yang saya fikir, saya sendiri entah mampu atau tidak untuk menghadapinya. Membaca pengalaman yang dicatat, memang selayaknya beliau dilantik menjadi pendidik. Tidak ada keluh-kesah seperti yang banyak dikongsi dalam dunia siber, beliau terus-menerus menghadapi cabaran fizikal dan mental dengan selamba. Tabik!

Ulasan Lemoi.


Geng Cuci Masjid

Kisah tiga anak muda yang mengembara seluruh Semenanjung; bermula dari Selangor ke Selatan, kemudian ke Timur dan kembali ke Selangor selepas melalui tanah utara. Hebat! Niat dan matlamat mereka sudah begitu hebat, apa lagi kuderat dan nekad mereka mengembara dengan hanya berjalan kaki. Pengalaman mereka sangat istimewa, dan ya, saya hanya mampu "cemburu" di balik setiap helaian kertas. Hebat!

Ulasan Geng Cuci Masjid.


Lelaki Terakhir Menangis Di Bumi

Kisah pelarian Syria meloloskan diri ke Jordan mahu mencari ruang bernafas, selepas lemas dengan kerakusan si celaka Bashar dan sekutunya. Namun bagaikan keluar mulut buaya, masuk pula ke mulut harimau. Malang yang bertimpa-timpa. Kehidupan di Jordan hanya tidak ada peperangan, tetapi perjuangan hidup hampir sama. Muncullah anak muda dari Malaysia yang menghulur sedikit sebanyak bantuan kepada mereka. Sangat besar. Hatinya besar. Jasanya besar.

Ulasan Lelaki Terakhir Di Bumi.



Wachaa The Adventure

Perempuan. Seorang diri di negara yang entah bagaimana suasananya. Kenya. Bukan sedikit cerita yang tidak baik tentang negara ini. Bukan. Bukan. Sebenarnya, bukan banyak cerita baik datang dari negara-negara Afrika. Ego kita di sini, mengatakan semuanya sama. Porak peranda. Ganas. Tetapi doktor muda ini membuka mata. Ya, tidak adil pula "menafsir Afrika" hanya melalui sebuah buku, tetapi setidak-tidaknya kita tahu wujud kesamaan antara kita di sini dan mereka di sana.

Ulasan Wachaa The Adventure.


Aku, Dia & Rezeki

Along, membuktikan hal-hal biasa boleh menjadi luar biasa. Tidak perlu menunggu-nunggu, teruskan sahaja dan jadikan kebiasaan. Sangat berbaloi untuk dibaca.

Ulasan Aku, Dia & Rezeki.


Lima Buku Kisah Hidup
Lima Buku Kisah Hidup






You Might Also Like

0 comments

Press

press