Mendaki Bukit Tabur East, Taman Melawati

September 01, 2016

Sabtu lepas, saya mendaki Bukit Tabur East.

27 Ogos 2016.

Satu pengalaman yang memang sangat menarik lagi mencabar. Kali terakhir mendaki tempat tinggi, Januari lalu semasa ke Air Terjun Lepoh, Hulu Langat. Sama-sama penat, tapi pengalaman yang berbeza.

Bukit Tabur East, mencabar gayat saya.

Gayat, sampai tangan dan kaki menggigil.


Pokme

Mulanya saya berkongsi kenangan "On This Day" FB di group Whatsapp rakan-rakan sekerja praktikal dahulu. Rakan-rakan yang saya kenal sekitar tahun 1999. Tahun itu kami ke Perak untuk trip syarikat, dan ada gambar kenangan di kebun buah yang pernah dikongsi, muncul semula minggu lepas.

"Jom masuk hutan, dah lama dah tak masuk hutan ni".

Seru saya.

Benar. Sudah lama tak mengecapi nikmat hijau dan udara segar di hutan. Rindu baunya.

"Aku nak naik Bukit Tabur Sabtu ni, jom lah siapa-siapa nak ikut".

Balas Pokme. Orang yang aktif dengan aktiviti mendaki dari dulu lagi.

"Aku ikut!"

Tanpa fikir-fikir. Tanpa ragu-ragu.

Pucuk dicita, ulam mendatang.


Bukit Tabur East

Di puncak Bukit Tabur
Di puncak Bukit Tabur

Jam 8.30 pagi seperti yang dijanjikan, kami memulakan langkah. Kami hanya bertiga; saya, Pokme dan isteri. Tapi kata Pokme, Bukit Tabur ini tumpuan ramai di hujung minggu. Silap-silap, ada sesetengah tempat perlu beratur dan mengambil giliran. Saya anggukkan sahaja. Beg galas saya yang berisi kamera DSLR, saya sisipkan rapi.

Saya sedia.

Fikir saya, begitu lah.

Bermula dari kawasan parkir (berhampiran kawasan perumahan), kemudian melalui lorong rumah kampung (atau setinggan?) seterusnya kami melalui antara dua paip besar yang merentang jalan. Tidak sampai 200 meter saya fikir, Bukit Tabur East sudah menunjuk taring dan belang. Trek laluan terus sahaja mencanak tinggi, dengan kecondongan hampir 70-80 darjah.

Terkejut, tetapi saya masih bertahan.

Paip air
Paip air

Sial Menahun
Nama pokok yang menyebalkan

Bertiga
Bertiga

Pacak mencanak
Pacak mencanak

Mula
Mula

Gaung
Gaung



Tegak

Perjalanan bermula baik, sehinggalah sampai ke satu peringkat pandangan mula mendongak ke atas, kerana trek laluan tegak lurus ke puncak. Sedikit penat, mujur aktiviti larian saya membantu mengekalkan tenaga. Cuma lama kelamaan, saya sudah semakin berdebar dan seram sejuk. Trek yang menegak, membuatkan pandangan di belakang (ke bawah) semakin sayup. Ditambah dengan sesetengah laluan tidak ada pokok-pokok, berada di tempat tinggi dengan pandangan terus ke dasar bukanlah satu situasi yang saya idamkan.

Apa lagi mendaki hamparan batu dan bergantung harap dengan seutas tali.

Peluh merenek halus dari setiap pelusuk rongga badan.

Kaki dan tangan sudah menggigil.

Saya sudah terlintas niat untuk patah balik ke bawah. Sudah mengalir ayat mahu diucap, tapi tersangkut di kerongkong. Mengingatkan laluan sebelum itu sama sahaja curam dan tegaknya, saya meyakinkan diri itu (berpatah balik) adalah sia-sia.

Dan mengekalkan takuk gayat saya.

Bila lagi mahu dilawan?

Saya teruskan juga. Tali yang terjuntai untuk dipaut, saya lihat bagai benang yang halus. Nipis. Dan Pokme memberi petua;

Percaya kepada tali!

Ya. Itu yang saya lakukan. Saya percaya kepada tali. Percaya. Yakin. Tali itu kuat untuk  saya bergantung harap.

Satu. Dua. Tiga.

Alhamdulillah.

Saya lepas.


Masih berpokok
Masih berpokok

Akar Kayu untuk berpaut
Akar Kayu untuk berpaut

Curam
Curam

Sempit, berbatu dan seutas tali
Sempit, berbatu dan seutas tali

Hati menangis, siapa yang tahu
Hati menangis, siapa yang tahu

Empangan Klang Gate

Selamat sampai ke atas, kami dihadiahkan dengan pemandangan yang sangat memukau. Air hijau empangan Klang Gate tenang di bawah, dikelilingi pokok-pokok hijau dan dilatari banjaran bukit dan gunung di kejauhan.

Terpikat.

Saya menikmati pandangan indah ini sepuas-puasnya. Ini hadiah saya. Hadiah saya melawan takut dan gayat. Biarpun merangkak, biarpun menggigil. Akhirnya saya berjaya melepasi ketakutan yang sudah lama mencengkam.

Jadi, saya mahu mengabadikan kejayaan ini.

Sudah tentu saya berselfie!

Empangan Klang Gate
Empangan Klang Gate

Gembira dalam ketakutan
Gembira dalam ketakutan

Surut
Surut
Selfie
Selfie

"Sampai jugak ya bang"

Tegur dia. Pemuda berbaju putih, sebentar tadi kami bertegur sapa semasa mahu mengambil giliran memanjat tali. Dia "marah" saya yang berdegil mahu memandang ke bawah, walau sudah tahu gayat yang tak sudah.

"Ni baru satu bang, kat atas nanti ada lagi"

Dia menyambung.

Ada lagi?

Saya memandang Pokme. Dia tersenyum.

Saya kembali berpeluh.

Pelan-pelan Kayuh

Kami meneruskan perjalanan. Mujur Pokme ada membawa bekalan air, dapat saya menumpang teguk menghilangkan haus. Walhal, semasa bersiap mahu mendaki tadi saya memilih untuk meninggalkan bekalan air di kereta. Yang saya bawa, kamera DSLR yang akhirnya kekal terperam di dalam beg sampai ke sudah. Konon mahu bergambar, tapi mahu berdiri tegak pun takut. Mujur juga ada kamera telefon.

Kami berselisih dengan ramai pendaki. Kebanyakkannya anak-anak muda. Mungkin pelajar, mungkin juga yang baru memulakan hidup (bekerja). Jomblo. Tidak ada kanak-kanak. Saya fikir, saya dan Pokme antara yang senior pagi itu.

Veteran.

Tapi itu yang saya mahu buktikan. Bukan kepada sesiapa. Hanya kepada diri sendiri, dan paling tidak pun kepada anak-anak. Kalau mahu, kalau berusaha, umur hanyalah angka. Kesungguhan itu yang utama, hasilnya adalah nikmat.

Bagai tercatit pada keratan-keratan kertas di sepanjang trek, pelan-pelan kayuh!

Pelan-pelan Kayuh
Pelan-pelan Kayuh


Oleh kerana halangan pertama sudah saya lepasi dengan baik, halangan seterusnya sudah menjadi sedikit mudah.

Ya. Seharusnya begitu. Untuk pertama kali, ia sukar. Pengalaman akan mengajar.

Saya gembira.

Dan bila gembira, kita pun bergambar merakam kenangan.

Bersama Pokme
Bersama Pokme

Berlatarbelakangkan Taman Melawati
Berlatarbelakangkan Taman Melawati

Yeay!
Yeay!

Beratur
Beratur
Kami
Kami

Lorong sempit
Lorong sempit

Taman Melewati
Taman Melewati

Sweet Couple
Sweet Couple

Narsis
Narsis sekali

Check Point 3

Kemuncak pendakian ini ialah Check Point 3 (CP3). Satu kemuncak yang sangat menyeramkan. Dari jauh, kelihatan biasa sahaja. Bila kami semakin menghampiri, CP3 semakin jelas.

Pasti.

Pasti sekali, saya tidak akan naik ke puncak CP3.

Melihat kecerunannya, saya sudah pasti gayat saya tidak akan berkompromi. Silap-silap, saya boleh pengsan. Melepasi pendakian curam pada peringkat awal tadi, sama sekali tidak boleh dijadikan penanda aras untuk mendaki CP3. Sangat jauh bezanya. Jauh sekali.

Jadi, kami berhenti.

Dan memerhati sekeliling.

Melihat semut-semut manusia yang mengerumuni CP3. Yang masih berdarah muda, dan gagah perkasa.

Kemudian melihat alam yang terbentang luas di bawah.

Yang dinoda tangan manusia.

Yang masih kekal indah secara alami.

Indah.

Check Point 3
Check Point 3

Balam-balam gunung
Balam-balam gunung
Menuju Puncak
Menuju Puncak

Empangan Klang Gate
Empangan Klang Gate

Tenang
Tenang

Turun

Kami turun setelah selesai merentasi waktu perjalanan yang penuh pengalaman. Letih badan itu lumrah, tapi nikmat yang dikecapi segenap pancaindera hari itu lebih memberi makna.

Menuruni cerun dan curam juga tidak mudah. Laluan turun lebih lapang, tidak banyak pokok untuk kami tumpang bergayut. Kaki dan lutut perlu kuat untuk menampung badan. Perlu lebih berhati-hati dan sebenarnya, menuruni Bukit Tabur East ini lebih memenatkan.

Kami sampai di sebuah ladang. Bermakna, kami sudah semakin hampir ke penghujung perjalanan. Jalan juga sudah tidak curam lagi, lebih banyak mendatar.

Alhamdulillah.

Kami tamatkan pendakian kami hari ini dalam tempoh hampir tiga jam.


Persediaan amatur untuk mendaki Bukit Tabur East

Saya masih amatur dalam hal-hal pendakian. Jadi, sebagai amatur saya berkongsi pengalaman saya yang secebis ini untuk rujukan sekiranya berkenaan. Sebaiknya, dapatkan nasihat daripada orang yang lebih berpengalaman.
  1. Kasut - sediakan kasut yang bersesuaian untuk mendaki. Ada juga sandal, tetapi harus dari jenis yang dibenarkan. Selalunya kasut untuk mendaki ini berjenis tapak kaki keras.
  2. Pakaian - seluar, biar yang mudah regang dan tahan lasak. Maklum lah, mendaki kadang-kadang memerlukan langkah (kangkang) yang besar. Jangan sampai ada bunyi "prak"! Malu nanti. Baju pula, pilih lah yang berjenis dry-fit. Jangan sampai peluh memberatkan badan.
  3. Beg - biarlah jenis bergalas. Kesilapan saya hari itu ialah membawa beg dengan satu tali. Agak menggangu ketika mendaki. Ada beg khusus untuk aktiviti lasak. Maaf Pokme, menyusahkan hari itu.
  4. Bekal - air, itu asasnya. Sama ada air kosong atau 100 Plus (atau seumpamanya), bawalah. Pisang sebagai pembekal tenaga. Ubat-ubatan, jika perlu.
  5. Kamera - memadailah kamera telefon, ataupun kamera kompak. Kalau mahu membawa DSLR, fikirkan juga "keselamatan" kamera semasa mendaki. 
  6. Telefon - bukan setakat untuk berselfie, tetapi untuk kecemasan. Bukit Tabur banyak sejarahnya dengan kemalangan pendaki. Jadi telefon sangat membantu. Tutup aplikasi yang banyak menggunakan bateri (FB terutamanya)
  7. Niat yang betul - panjatlah Bukit Tabur untuk menikmati pancaroba dan keindahan yang ada. Biar ada makna, bukan setakat untuk bersuka-suka.

Serba sedikit.

Semoga ada manfaatnya.

Sebelum berpisah, saya katakan kepada Pokme jangan ada serik mengajak saya lagi. Saya yang gayat, tetapi masih mahu mendaki tinggi.

Pokme setuju.

Dan saya menanti waktu untuk dipanggil lagi.

You Might Also Like

2 comments

  1. Kenangan manis dirakam di blog. Lengjai very hardworking. Keep it up!

    ReplyDelete

Press

press