[Buku] Saya Malala (Malala Yousafzai)

October 05, 2016

Saya Malala: Gadis Yang Memperjuangkan Pendidikan Dan Ditembak Oleh Taliban oleh Malala Yousafzai
Nilaian: 4/5 bintang

"Saya tidak mahu dikenali sebagai budak yang ditembak Taliban, tetapi saya mahu dikenali sebagai budak yang memperjuangkan pendidikan"

Begitu kata Malala. Cintanya kepada ilmu bukan main-main. Umurnya masih muda, tapi daya fikir dan keberaniannya bukan calang-calang. Beliau bersungguh-sungguh mahu hak menuntut ilmu kepada setiap kanak-kanak (terutamanya perempuan) tidak dihalang.

Malang sekali Taliban tidak bersetuju. Ironi, puak tidak berilmu ini menentang usaha yang mahu ilmu diperkembangkan. Mereka memahami AlQuran dan Sunah mengikut interprasi nafsu mereka sendiri. Tidak tahu menahu hujung pangkal. Naif sekali. Dan bertambah memilukan apabila ada yang menyokong puak ini untuk menjadi lebih berkuasa.

Pakistan, melalui cerita Malala, sudah membuktikan tanpa ilmu semuanya menuju kehancuran. Sebaliknya, dengan pendidikan yang telus tamadun akan jauh lebih ke hadapan.

Malala hebat. Tetapi saya lebih mengagumi acuan yang membentuk Malala. Sudah tentu, peranan bapanya Ziadin, menjadi teras kekuatan gadis Pashtun ini. Aba atau ayah, mahu membentuk masyarakat yang celik huruf, yang tahu, yang terbuka dan Malala, Kushal dan Atal menjadi bukti kesungguhan beliau. Hebat. Ayah yang hebat, dan sudah tentu ibunya juga hebat. Walaupun buta huruf, sang ibu tidak menghalang anak sulungnya menuntut ilmu, "melanggar" tradisi Pashtun yang lebih gemar anak perempuan terperap di rumah.

"Saya Malala" bercerita hal-hal kebiasaan di Swat. Adat resamnya, pergaduhan anak-anak sekelas, hubungan kekeluargaan, busuk masam bandarnya, kepincangan pemerintahan, dan kehijauan gunung-ganang dan lembah yang mengelilinginya. Dari cerita biasa, timbul kisah luar biasa.

Saya seperti biasa, meng"google" Swat. Dan seperti Afghanistan, bumi ini sangat cantik. Sangat mempersona. Sayang, jatuh di tangan si durjana.

Semoga Pakistan (dan Afghanistan) pulih dan maju.

Oh! Buku ini versi terjemahan. Kesalahan ejaannya banyak sekali. Dan gaya penceritaan, agak bercelaru. Tidak pasti ianya gaya penulisan Christina, atau terjemahannya.
Saya Malala
Saya Malala

Ulasan Buku Yang Lain

You Might Also Like

0 comments

Press

press