Kenapa Saya Membaca Buku-buku Indonesia?

October 20, 2016

Koleksi Buku Indonesia



Kenapa ya?

Kenapa saya membaca buku-buku dari Indonesia?

Saya tidak berapa pasti. Jadi, untuk memberi jawapan yang jelas serta kukuh pertanyaan kebanyakkan rakan saya, saya tidak ada.

Saya simpulkan begini;
  1. Saya mula terpikat dengan buku Indonesia semenjak membaca karya Habiburrahman El Shirazy, buku bertajuk Ketika Cinta Bertasbih. Kalau diingat-ingatkan semula, buku ini jugalah sebenarnya permulaan saya kembali membaca. Kemudian saya menonton filemnya pula, diikuti filem Ayat-ayat Cinta. Datang pula filem Laskar Pelangi. Saya tonton dan saya teruja. Dan semua filem ini berasal dari buku!
  2. Saya kemudian mula membeli buku-buku Andrea Hirata dan beberapa penulis Indonesia lain yang bukunya diterjemah kepada bahasa Melayu. Ketika itu banyak diterbitkan oleh PTS. 
  3. Buku Andrea Hirata membuka mata saya bahawa novel bukan hanya hal cinta antara dua manusia. Hal pendidikan boleh dijana menjadi naskah bacaan yang menarik. 
  4. Buku Sang Pemimpi karya terbaik yang saya baca waktu itu.
  5. Berkesempatan ke Jakarta (tepatnya Gramedia) beberapa kali menjadikan keterujaan saya kepada buku terbitan Indonesia semakin membunga.
  6. Buku Indonesia hampir semuanya (berdasarkan pemerhatian "timbang kati") berbahasa Indonesia, yang tidak banyak berbeza dengan bahasa Melayu. Oleh itu pilihan bacaan menjadi sangat besar dan pelbagai.
  7. Ini termasuk buku-buku popular antarabangsa yang diterjemahkan. Buku seperti LOTR, Harry Potter, The Maze Runner sudah lama diterjemahkan. Di Malaysia, terjemahan memang ada cuma tidak terlalu ketara.
  8. Oleh kerana Indonesia itu luas, maka adil kalau saya katakan penulis mereka juga ramai. Pembaca? Sudah pastilah melimpah-ruah. Jadi apabila penulis sudah ramai, karya kreatif yang dihasilkan juga sangat pelbagai dan punya identiti tersendiri. Menjadi kesukaran pula memilih buku di sana kerana pilihan yang ada tidak setara dengan rupiah di dompet!

Buku Indonesia
Antara buku Indonesia dalam koleksi


Sukarkah membaca buku-buku berbahasa Indonesia? 

Timbul pula soalan, boleh fahamkah bahasa Indonesia itu?

Saya katakan, pertama kali mungkin sukar. Tetapi kalau sudah biasa dan kerap, ianya semakin mudah. Saran saya, mulakan dengan buku terjemahan dahulu. PTS banyak menerbitkan buku terjemahan seperti Andrea Hirata dan Hamka. Buku kedua-dua penulis ini berbaloi untuk dimiliki. Dan saya rasakan, terjemahan yang dibuat hanya melibatkan beberapa patah perkataan (per mukasurat). Bahasa dan lenggok Indonesianya masih ada.

Kemudian, beralih pula kepada bacaan dengan karya-karya lain yang menggunakan bahasa Indonesia yang standard. Saya menghadapi sedikit kesukaran membaca buku-buku yang menggunakan "bahasa pasar", yakni bahasa harian. The Naked Traveller menggunakan konsep bahasa sebegini, kerana mungkin mahu disesuaikan dengan tema bukunya tentang pengembaraan santai.

Ada perkataan yang tak difahami, itu normal. Untuk mengatasinya mudah. Zaman internet gunakan sahaja carian di Google. Pilih kategori "web" atau "images", sudah pasti ada jawapannya. Selepas jumpa, catatkan pada buku (yang dibaca). Dan ini sebenarnya, akan meningkatkan kosa kata kita. Jangan terkejut, perkataan-perkataan yang kita fikir bahasa Indonesia itu, kadang-kadang wujud dalam bahasa Melayu kita juga.




Adakah ini bermakna, buku Indonesia itu lebih bagus? 

Saya tidak akan membuat pernyataan begitu. Sangat tidak adil. Kerana buku yang baik dihasilkan oleh otak-otak yang hebat dan berfikir, dan orang-orang ini bertebaran di seluruh alam. Bukan hanya di Malaysia atau Indonesia.

Saya hanya membandingkan keluasan untuk memilih. Yang ini, saya setuju. Indonesia (buku-bukunya) lebih banyak dan pelbagai.

Oh! Harganya juga sangat mesra marhaen; sama ada yang baru, yang bekas apatah lagi yang bajakan.

:)




Bacalah

Sebenarnya, bukanlah isu sukar atau tidak untuk memahami buku-buku Indonesia.

Soalan yang sebenar adalah;

Kenapa saya membaca buku?

Bila sudah ada rasa cinta dan suka membaca, hal-hal sebegini menjadi perkara yang kecil.

Jom!

Kita terapkan hobi yang paling senang ini dalam diri dan keluarga.

Jom membaca!







You Might Also Like

2 comments

  1. Assalamualikum bang, akhirnya berjumpa jugak org yg hobi sama mcm saya, suka berburu buku terutama buku dari Indonesia. Saya mula2 suka baca buku indonesia selepas saya ke Medan dan beli beberapa buah buku (terutama buku kartun atau komik Indonesia. bermula dari situ la saya mmg suka baca buku komik indonesia atau buku non fiksi yg kebanyakannnya berkisar tentang kehidupan di jakarta atau di indonesia. Terima kasih kongsi info2 tempat2 buku bekas kat Jakarta.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumussalam. Wah! Minat buku Indonesia juga ya? Tapi saya tak pernah baca buku kartun dan komik, kebanyakkan pilihan saya ialah buku-buku fiksi dan non-fiksi. Buku-buku di sana banyak pilihan.

      Ini pun ada rasa teringin nak ke sana lagi. Ahahaha!

      Delete

Press

press