Travelog Berburu Buku Jakarta - Pasar Jatinegara

Hari kedua, kami mulakan dengan sarapan pagi. Badan sudah sedikit segar, walaupun tidur malam tadi tidak begitu pulas. Penghawa dingin tidak begitu sejuk, dan saya selalunya sukar untuk lelap di tempat baru.

Istilah keluarga kami, beralih tempat.

Sarapan di Clay Hotel
Sarapan di Clay Hotel


Selepas sarapan, kami siap sedia untuk check-out. Backpack kami tumpangkan di kaunter hotel, kerana tidak mungkin kami mengusung beg ke sana-sini sepanjang hari. Mujur pihak hotel tidak keberatan.

Sekarang, misi berburu buku keempat.



Pasar Jatinegara

Dari Clay Hotel ke tempat tujuan kami pagi ini, tidaklah begitu jauh. Pemandu Uber tersalah arah lokasi, kami terpaksa turun di seberang jalan dan melintas menggunakan jejantas untuk ke Pasar Jatinegara. Tidak menjadi masalah sebenarnya, kerana tanpa sedar itu menambah pengalaman.

Tempat kami diturunkan, terdapat banyak sangkar-sangkar bersusun sepanjang kaki lima jalan. Semasa di dalam kereta, saya sempat mengecam apa isinya. Yang jelas, ada anjing, kucing dan ayam. Kali pertama saya melihat kucing dan anjing dijual begitu sahaja, hanya di dalam sangkar dan di tepi jalan. Ayam, sudah biasa.

Ayam dan Musang
Ayam dan Musang
Anjing dan Kucing
Anjing dan Kucing


Namun, Jatinegara ada kejutannya yang lain.

Baru beberapa langkah, saya terkejut melihat deretan sangkar yang berisi makhluk berdarah sejuk, bersisik, dan lidah bercabang.

Ular.

Ular di Jatinegara
Ular melingkar di dalam sangkar

Meremang bulu roma.

Ular sawa yang paling jelas. Manakala satu kotak (tengah-atas), entah berapa ekor ular yang berlainan kaum berkongsi ruang yang sama. Dalam rasa seram-seram sejuk itu, saya berani-beranikan juga mengambil sekeping gambar. Dan pada masa itu jugalah tali pengikat khemah jualan itu, "membelai" kaki saya.

Ya Alloh! Ada ular terlepas kah?

Mahunya saya tak melompat. Kaki secara otomatis, menendang-nendang mahu menghindarkan "ular" yang melingkar di kaki tadi.

Mujur tidak ada yang perasan.

Memalukan betul!

Saya segera beredar. Mata sempat mengerling ke kiri kanan. Ada sangkar musang, ada sangkar tupai, sangkar itik, sangkar labi-labi dan macam-macam lagi.

Dan tidak ada "tali khemah" yang mengekor.



Membeli-belah

Kami sampai ke seberang jalan menggunakan jejantas. Kiri kanan jalan dipenuhi kedai dengan barang-barang jualan yang pelbagai. Yang paling banyak, pakaian terutamanya untuk kanak-kanak. Ada juga langsir yang pelbagai warna. Serta-merta saya teringatkan bonda, tempat sebegini memang menjadi terapi untuk mencuci mata.

Saya melihatnya seperti tempat membeli-belah terkenal di Rantau Panjang, Kelantan. Cuma ianya lebih besar, lebih selesa untuk berjalan dan mungkin tak keterlaluan kalau saya katakan, lebih bersih. Ini "mungkin" sahaja, kerana perbandingan ini berdasarkan kunjungan kali terakhir saya ke Rantau Panjang tahun 2006.

Berlatarbelakangkan pasaraya Jatinegara
Berlatarbelakangkan pasaraya Jatinegara

Ruang jualan yang bersih
Ruang jualan yang bersih

Toko jualan yang pelbagai
Toko jualan yang pelbagai

Ruang parkir speda
Ruang parkir speda

Dengan Bajaj
Dengan Bajaj

Acah-acah pelancong
Acah-acah pelancong
Lorong gelap
Lorong gelap

Kami pusing keliling. Kelibat buku tidak ada. Bayam sempat bertanya, rupanya lokasi jualan buku harus berjalan sedikit jauh ke hadapan.

Dan kami terus berjalan-jalan. Melihat-lihat.

Dalam tempoh tidak sampai pun sehari, saya rasakan Jakarta sangat meriah dengan aktiviti ekonominya. Gedung-gedung jualan yang luas, meriah dengan barang jualan yang pelbagai. Seperti di Kuala Lumpur, anak-anak muda berpapasan ke sana-sini menikmati kehidupan. Jadi, momokan Jakarta kota kemiskinan itu bagaikan tidak tepat.

Entah lah. Saya hanya menafsir apa yang saya lihat.




Buku-buku Bekas dan Bajakan

Kami sampai ke lokasi jualan buku. Seperti juga di lokasi terdahulu, buku-buku yang dijual kebanyakkannya buku bekas dan bajakan. Novel, buku teks dan yang menarik perhatian saya, hampir semua tempat berburu buku ini pasti ada menjual kamus. Kamu Bahasa Indonesia. Mengapa ya, kamus begitu banyak dijual? Tidak pula saya tanyakan kepada penjual-penjual di situ. Rugi. Saya simpulkan, kamus mempunyai permintaan yang tinggi.

Orang Indonesia, kalau tidak semua dan hanya di Jakarta, menghargai bahasa mereka.

Saya?

Entah bila kali terakhir menyimpan kamus dewan bahasa.

:(

Kami terus mengintai buku-buku yang bisa menggoda.

Toko Buku Jatinegara
Toko Buku Jatinegara
Buku bekas
Buku bekas
Longgokan tepi jalan
Longgokan tepi jalan
Melihat-lihat
Melihat-lihat
Memilih-milih
Memilih-milih

Kali ini, tidak ada yang berkenan di mata. Sama sahaja yang ada di Senen dan Kwitang. Lagi pun, saya berjimat duit untuk lokasi berburu buku kami yang kelima;

Pesta Buku Antarabangsa Indonesia.

JCC, kami datang!



<< Sebelum
Travelog Berburu Buku Jakarta - Thamrin City dan Waroeng Mee
Seterusnya >>
Travelog Berburu Buku Jakarta - Pesta Buku Antarabangsa Indonesia













Reactions

Post a Comment

0 Comments