Nasi Kuning Parit Buntar

June 02, 2017

Nasi Kuning Parit Buntar

Nasi Kuning.

Kalau sesekali ke Parit Buntar dan berpeluang untuk sarapan pagi, kami akan singgah di kedai ini. Saya tak pasti apa nama tempatnya, yang saya ingat di hadapan warung ini ada panggung wayang lama yang sudah tidak beroperasi. Tidak begitu jauh dengan bulatan Parit Buntar yang ada menara jam di tengah-tengahnya.

Pekan Lama
Pekan Lama
Menara Jam Parit Buntar
Menara Jam
Sedap?

Ketika memandu ke sana pun, sudah beberapa kali saya menelan air liur terbayangkan hidangan ini. Ketika menaip ini pun, air liur saya sudah meleleh tujuh tempayan.

Ya Alloh, sesungguhnya aku berpuasa.

Sebenarnya, rasa nasi kuning ini tidaklah begitu unik atau ada rasa istimewa tertentu. Keterujaan menikmati makanan ini lebih kepada perasaan yang timbul.

Poyo kan?

Ianya seperti perasaan yang menggamit kenangan masa kecil, ibarat sewaktu Anton Ego menikmati hidangan Ratatouille yang dihidangkan oleh Liguini (baca: Remy si tikus).

Begitulah ketika menikmati nasi kuning ini.

Hati awal-awal lagi sudah terpersona dengan suasana pagi di Parit Buntar yang tenang, di kelilingi pula bangunan-bangunan renta di sekitar. Dan kala nasi di senduk ke pinggan, kepul-kepul wap mula menghiasi ruang warung yang agak retro. Bunyi telur yang digoreng dengan minyak panas menjadi halwa penyedap telinga, dan bila terletak elok di atas nasi, wap-wap nasi kuning dan telur goreng bersatu membuat tarian yang memikat jiwa. Lalu sambal tumis dijirus perlahan-lahan, hilanglah wap tadi bertempiaran kerana kepedasan.

Segera tangan dibasuh di sinki bersebelahan dengan tingkap nako.

Air teh o ditempah.

Dengan lafaz Bismillah, butir-butir nasi kuning dan lelehan sambal pun disuap, satu persatu. Panas, pedas.

Nikmat.

Saya kongsikan lokasi kedai yang menjadi idaman kalbu ini. Kedainya seperti di dalam gambar ini, yang ada meja makan berlapik kuning hijau.




_________
Sharulnizam Mohamed Yusof
Suka juga Kuey Teow di sebelah Stadium Parit Buntar






You Might Also Like

0 comments

Press

press