SBOT Trail Run 2017

June 05, 2017

SBOT Trail Run 2017

Medal kedua tahun ini. Abam segan silu masuk acara berlari anak-anak tahun ni, tak pasti kenapa. Mungkin sebab tahun lepas dah dapat buat HM yang tak dirancang, terus rasa dah sampai kemuncak perjuangan.

Masuk SBOT ni pun memikirkan pasal minggu depan dah nak lari HM di SCKLM.

Ya Alloh.

Persediaan apakah ini?

Laluan SBOT Trail Run
Kilometer 4 baru offroad


Tapi trek larian SBOT tak boleh juga dipandang enteng. Kejam tak terkata. Main psikologi yang tak sudah. Bayangkan, tempat permulaan dan pengakhiran dua-dua di hospital. Tak psiko namanya tu? Dah tu, sepanjang laluan larian lalu pula rumah-rumah lama dan terbiar penempatan pesakit kusta (maksud saya rumahnya, bukan pesakitnya), kemudian lalu pula kawasan perkuburan lama, perkuburan Islam dan perkuburan Cina.

Insaf betul.

Dengan sepupu, Abang Husin
Running Buddy
Tukang Bagi Getah
Jirat
Dengan manusia-manusia yang memeriahkan suasana


Bukit Batak

Selepas saja lalu kawasan kubur, ditambah seksa lagi dengan larian mendakit Bukit Batak. Ya Rabbi, tingginya sampai jalan pun dah tertonggek-tonggek lentik Usop Wilca. Memang tak lah nak lari, kan. Penat naik turun bukit sebelum tu pun tak habis lagi. Kelajuan perjalanan kekal seiring kepantasan sloth dalam cerita Zootopia. Mujur di atas ada checkpoint air. Minum sampai tiga gelas, memang tak pernah dibuat. Ada air anggur dan buah epal.

Oh ya! Cuaca sangat panas dan terik. Memang terasa kulit kering macam serum botox dah kehabisan dos. Warna kulit abam jenis penebat haba yang baik ni, memang bertambah lah sinar metaliknya. Merelit merelap.

Bukit Batak
Pandangan tidak menggambarkan seksaan sebenar

Batak Hill
Batak Hill


Kemudian sudah mula masuk laluan dalam hutan. Dalam ni, laluannya memang jarang dilalui berdasarkan lantai hutan masih penuh dengan daun kering. Di sini agak sejuk, kononnya boleh lah nak bertenang dan berswafoto. Laluan menurun, boleh lah berlari. Sampai laluan mendaki, abam cekak pinggang korek hidung pakai ibu jari. Bagi besar lubang hidung senang nak hirup oksigen.

Huu haaa! Huuu haaaa!

Kalau Darth Vader lari kat sini, camanalah agaknya ya?

Abam pun terus lari tipu-tipu dan bila nampak peserta 10 km makin ramai di hadapan, abam pun naik semangat. Mood berlagak activated. Abam lari 15 km, okeh? Haruslah merasa takbur dan riak bila dapat menewaskan peserta 10 km.

Eheh!

Bukan lah nak berlagak, tapi nak bagi semangat pada diri sendiri.

Masa semangat meluap-luap ni lah abang keteguran. Ya, betul! Keteguran dalam hutan Sungai Buloh. Masa tu abam berhenti nak hirup oksigen, maklumlah penat.

Tiba-tiba.





"Pakcik ok ke pakcik?"

Abam ditegur oleh dua anak muda yang kelihatannya seperti sebaya dengan abam. Hek e leh! Abam dah cukup hipster dah pakai topi semua, pakcik juga yang dipanggilnya. Buat tarian raver nanti baru dia tahu erti penyesalan.

Abam pun senyum dalam kesakitan. Lantas abam memecut, tinggalkan mereka berdua di belakang jauh sekali.

Akhirnya kaki menjejak ke dunia nyata. Kembali bertemu kawasan perkampungan, kedai-kedai pokok bunga yang berwarna-warni. Abam dah tak larat, jadi buat catwalk saja pada kilometer terakhir. Sesekali lari juga, tak sampai 50 meter berhenti.

Bumbung hospital dah nampak. Kereta abam pun dah nampak. Akhirnya, tepat dua jam 38 minit abam menamatkan larian sejauh 14.67 kilometer. Purata 10 minit plus plus untuk setiap km.

Alhamdulillah.

SBOT Trail Run Medal Depan

I did it!
I did it!
SBOT Trail Run Medal Belakang

Gelang Getah Kejayaan
Gelang Getah Kejayaan


Selesai.

Nak makan. Nak tidur.

________
Sharulnizam Mohamed Yusof
Pelari Irama Malaysia Nak Jadi Hipster

#tulistulissharul
#sbottrailrun





You Might Also Like

0 comments

Press

press