Tuesday, 21 November 2017

thumbnail

Durian Gopeng, Perak

"Berapa sekilo?"

"Tengok saiz bang. Ada 10, ada 15, ada 20."

"Durian kampung ya?"

"Ha'ah. Yang depan ni semua durian kampung."

Durian Kampung
Galak dia bercerita itu ini begitu begini. Saya iyakan saja. Terus saja saya katakan saya mahu beli durian penuh satu bekas yang memang tersedia di dalam kereta.

Sepanjang perjalanan turun dari Cameron Highlands pulang ke Kuala Lumpur, memang sengaja saya memilih laluan jalan persekutuan, bukan lebuhraya. Memang kami sudah rancang dari awal, kami mahu mencari durian Perak dan bekas kosong sudah kami siapkan. Ruang kereta agak sempit untuk kami bawa durian bersama durinya, jadi bekas kosong sudah memadai.

Beli durian, buka, terus masuk dalam bekas.

Mudah.

"Tiga biji cukup bang?"

"Cuba dulu, kalau tak penuh tambah lagi."

Setiap biji yang dibuka, ulas-ulas duriannya elok cantik gebu dan montok. Jadi geram. Seulas saya cuba, manis. Seulas lagi, lemak. Seulas lagi, aduhai, pahit dihujung manis durian kampung buat saya dirasuk nafsu mengketedarah.

Saya kembali ke kereta, kerahkan angkatan pemakan durian Gombak turun dan berjemaah bersama saya mengadap 3-4 biji durian di tepi pondok.

Durian empuk

Ya ampun.

Tahu-tahu sudah selesai.

Perut penuh, bekas pun penuh.

Tidak ada langsung yang rosak. Yang mangkal pun, tidak begitu ketara. Masih manis. Alhamdulillah.
Sembang-sembang dengan empunya gerai, katanya musimnya kali ini berlanjutan mungkin sehingga Februari 2018. Masih ada pokok yang baru mengeluarkan putik. Kata dia lagi, kalau mahu buat tempahan telefon saja. Ada saya sertakan nombornya di bawah.

Durian GopengMenikmati durian kampungTempahan durian

Lokasi

Nun di Gopeng sana. Kalau datang dari Kuala Lumpur, susur keluar di Gopeng. Selepas tol, belok ke kiri (patah balik ke Kuala Lumpur) dan pondok ini kira-kira satu kilometer dari simpang tadi. Mungkin juga kurang. Saya lupa ambil gambar, tapi di seberang jalan pondok ini ada satu bukit batu kapur.

Kalau terlajak sekalipun, jangan risau. Sepanjang laluan antara Gopeng-Tapah, banyak betul pondok durian di tepi jalan. Meriah. Rambutan juga ada. Yang penting, sediakan saja ongkosnya.

Di bawah saya kongsikan lokasinya. Tandanya Restoran Teduhan Gunung, lokasi pondoknya di seberang jalan,




Hujung bulan 12 nanti, kami mahu ke utara lagi. Moga-moga ada rezeki berjumpa dengan raja buah yang menggoda ini.

Sunday, 19 November 2017

thumbnail

Masjid Merah, Putrajaya

Lama sudah tak singgah ke masjid ini. Selalunya kalau ke Putrajaya, saya lebih kerap singgah ke Masjid Besi. Di sana lebih mudah parking dan agak luas. Kalau di Masjid Merah ini, berebut dengan pelancong. Mahu solat pun, rasa diperhatikan saja. Hahahahaha!

Oh! Namanya Masjid Putra. Saya panggil Masjid Merah.

Entah bila kali terakhir saya masuk ke dalam masjid ini. Hujung bulan Oktober hari itu, saya dan keluarga ke Putrajaya untuk makan tengahari bersama adik-beradik isteri. Sebelum balik, kami singgah dulu ke masjid ini untuk menunaikan solat.

Cantik betul.

Sengaja saya memilih ke ruangan tengah masjid. Betul-betul di bawah kubah, dan menghadap mimbar / ruang solat imam.

Memang sakanlah berfotofon.

Cantik.

Memang cantik.


Kubah Masjid Putra

Bahagian hadapan Masjid Putra

Simetri

Kombinasi merah dan merah jambu

Candelier

Menara masjid

Datang untuk singgah solat, elok saja. Cuma itulah, kurang selesa juga "berebut" dengan pelancong yang ramai. Ya, ada tujuannya pelancong dibenarkan hadir. Itu juga dakwah. Mereka diberitahu dan mengambil pengalaman sendiri melihat senibina Islam.

Comel juga melihat makcik-makcik yang berkelubung dengan pakaian khas untuk pelancong.

Warna merah hati.

Eh!

Kenapa ada juga yang Islam (berdasarkan pemakaian tudung) turut diminta memakai pakaian khas?

Saya "selak".

Hmmm.

Pakaian "akak" rupanya ketat betul. Tersembul sana-sini. Padanlah.

Eloklah pakai "kelubung" tu. Buat peringatan.




Friday, 17 November 2017

thumbnail

Laksa Pak Ngah, Kuala Kangsar

Teringat semasa di Kuala Kangsar untuk acara larian HKSNS 2017, kami sempat singgah di kedai Laksa Pak Ngah untuk makan tengahari. Dua tiga orang juga yang cadangkan ke sana. Kalau dah ramai yang cadangkan, mestilah cuba. Kan?

Untuk ke kedai makan ini, taklah susah. Google Map kan saja "Laksa Pak Ngah", jumpalah nanti. Lokasinya di belakang SJKC Tsung Wah, Jalan Dato Sagor. Jaga-jaga, takut terlajak sebab lorong nak ke belakang tu hampir tak nampak.




Laksa, Mi Kari & Nasi Goreng Ayam

Kami sampai keadaan tak lah begitu sesak, walaupun rata-rata meja penuh. Nasib kami baik sebab tak lama pun mencari tempat duduk. Hiasan kedai biasa-biasa saja, sedap mata memandang dan agak bersih. Cuaca di luar agak berbahang, tapi taklah begitu terasa di dalam kedai.

Kami pun perhatikan menu yang ada dan teruskan dengan misi makan-makan kami.
Anak dara yang berdua makan mi kari.

Abah, Umi dan abang Haris makan laksa biasa.

Hafiz, nasi goreng ayam.

Tiga cendol pulut, dua ABC, dua air kosong.

Kami buat pesanan semenjak tahun 1955 (tahun perniagaan ini ditubuhkan), akhirnya penghujung tahun 2017 barulah hidangan kami sampai. Itu pun ada lah juga hidangan yang tak sampai, terpaksa 'order' semula.

Ya, ini nak menceritakan betapa lamanya menunggu pesanan kami, hampir 45 minit juga. Orang tak begitu ramai, dan hidangan laksa sepatutnya taklah begitu lama mengambil masa. Wallahualam.

Selera makan pun hampir terganggu.

Mi KariMi Kari, saya rasa kuahnya saja. Sedap, cuma tak berlemak (bersantan) seperti selalu. Agaknyalah, sebab kuahnya cair. Versi Kuala agaknya.

Laksa Pak NgahLaksa, mi buatan sendiri. Oklah, buat kejutan lidah sikit. Sama seperti mi kari, kuahnya cair. RM 3.50.

Nasi Goreng AyamNasi goreng ayam sedap. Boleh makan, tapi kaya dengan MSG. Hehe!


Cendol dan ABC, eloknya letak dalam mangkuk. Dalam gelas susah nak menikmati. Rasanya biasa-biasa. Eloknya, tak terlalu manis. Yang di atas ni Cendol Special; cendol + jagung + kacang merah + pulut + aiskrim. RM5.

Keseluruhannya, boleh lah. Ikut selera masing-masing, mungkin sesuai mungkin tak. Cuma yang tak boleh tahan tu waktu menunggu yang lama.

Selamat menjamu selera.





_________
Sharulnizam Mohamed Yusof
Jalan-jalan Kumpul Lemak





About