Menjejak Sejarah Laksamana Terbilang di Muzium Hang Tuah, Melaka

Sudah menjadi kebiasaan, apabila mahu bercuti saya akan dapatkan maklumat tempat-tempat menarik di destinasi tujuan. Tak semestinya dapat saya lawat, tapi menarik untuk menambah maklumat. Walaupun tempat itu sudah berulang-kali saya kunjungi, pasti ada tarikan baru yang muncul.

Saya terjumpa "Hang Tuah Center (HTC)" dalam carian di internet. Wah! Ini tempat baru! Tapi kemudiannya baru saya tahu, HTC ini sudah lama dibina.

Saya baca blog-blog yang ada maklumat tentang tempat ini, nampak (dan bunyi) seperti menarik. Menarik bagi saya, apabila melihat bangunan-bangunan yang ada di HTC ini bercirikan senibina Melayu dan tradisional.

Entah.

Saya mudah benar "tergoda" dengan bangunan-bangunan sebegini. Tak semestinya bangunan komersial seperti HTC, Muzium Terengganu atau Mini Malaysia. Kalau terjumpa rumah-rumah kampung yang masih mengekalkan gaya tradisi, pasti saya teruja. Kalau ada kamera, memang saya tak lepaskan peluang untuk bergambar.

Sungai Duyung

Selesai makan tengah hari di MITC, kami memandu terus ke HTC yang terletak di Sungai Duyung lebih kurang selama 20 minit. Saya memang bergantung sepenuhnya dengan aplikasi "Google Map", kerana hampir tidak ada langsung papan tanda hala tuju ke sana.

Risau juga dengan Google Map ini, habis segala ceruk kampung kami lalu. Tiba-tiba saja sudah sampai di jirat Cina!

Haih!

Mujur kami tiba juga di HTC.

Muzium Hang Tuah, Melaka Hang Tuah Center Melaka

 

Pameran

Tidak ramai pengunjung yang ada ketika kami sampai. Mungkin waktunya yang di luar waktu puncak, tambahan lagi cuaca sangat panas ketika kami di sana. Kawasannya luas dan tidak ada masalah untuk parkir kenderaan. Rupanya HTC ini (dikenali juga sebagai Muzium Hang Tuah) dibina bersebelahan dengan lokasi Perigi Hang Tuah.

Tapak asal HTC ini menurut penduduk di situ adalah hutan. Di seberang sungai di hadapan pintu masuk HTC pula, ada sawah padi. Kalau tak mengenangkan cuaca panas berdenting, memang saya terus ke sawah padi untuk menikmati suasana kampung yang damai.


Hang Tuah Center Melaka - Abah, Hafiz dan Pepatung Hang Tuah Center Melaka - Kami Hang Tuah Center Melaka - Kakak Hanis

Kami mulakan dengan bangunan utama yang menempatkan ruang pameran. Ruangnya luas dan selesa, tapi yang menjadi penghalang kepada saya untuk "menikmati" pameran ini ialah si bongsu!

Takut dia pada patung-patung tak pernah surut. Bayangkan, di pintu masuk saja sudah tercegat patung "pengawal" yang bagi saya, memang mengerikan! Manalah budak lima tahun tu tak takut. Aduhai!

Kami lebih banyak menghabiskan masa di beranda, bermain congkak dan dam haji. Abah lawan Umi, mestilah abah menang! :P

Rumah Lima Hang Bersaudara

Kami hanya sempat mengunjungi dua rumah; Rumah Hang Tuah dan Rumah Hang Jebat.

Rumah Hang Tuah khas dibina untuk mempamerkan senibina rumah Melayu, sama seperti yang ada di Mini Malaysia. Sekali lagi, anak-anak terkejut dengan patung-patung yang ada di segenap ceruk. Kenapa ya, mesti ada patung? Kalau setakat mahu menggayakan baju, tak menarik pun baju yang dipakai. Rambut berserabut, mata buntang terjojol seperti kelaparan. Hoi! Seram tahu? Kalau naik seorang diri, mahu terkedang di lantai berbuih mulut pengsan terkejut.


Hang Tuah Center Melaka - Rumah Hang Tuah Hang Tuah Center Melaka - Rumah Hang Lekir Hang Tuah Center Melaka - Tangga Melaka

Kami beransur ke rumah Hang Jebat.

Pun, tak sampai pun lima minit.

Pekerja yang bertugas, khayal dengan telefon. Ruang pameran pula, sarat dengan barang-barang. Banyak juga barang kaca, jadi menjadi "pantang" untuk saya membawa Hafiz ke dalam. Kalau pecah, siapa nak tanggung? Jadi, kami tak ke mana pun dalam rumah ini.

Kami menamatkan lawatan kami setakat di rumah Hang Jebat. Faktor cuaca menjadikan kami mahu segera berlindung dalam kereta. Lagipun, melihat keadaan sekitar yang tak menggamit rasa membuatkan kamo mahu segera beredar.

Rumusan
Sedikit ralat dengan kesempatan yang tak digunakan sepenuhnya semasa di ruang pameran. Di situ seharusnya lebih banyak maklumat tentang Hang Tuah boleh diperoleh. Lain-lain, bagai melepaskan betok di tangga. Tidak berfungsi sepenuhnya. Sempat saya berbual dengan seorang kakak yang rumahnya bersebelahan dengan HTC.

"Rumah Hang Lekir tu, ada gelanggang silat." Kata dia.

"Wah! Memang ada lah latihan kat situ tiap malam?"

Lalu kakak itu pun menjulingkan mata ke atas. Nampak mata putih.

Kah kah kah!

Tapi, jangan jadikan ini sebagai penghalang untuk kita datang berkunjung. Kalau bukan orang tempatan yang menyokong, siapa lagi kita harapkan untuk kemajuan industri pelancongan negeri?

😁



Berikut maklumat tentang HTC.

Waktu Operasi

9.00 am – 5.30 pm (Setiap Hari)

Bayaran Masuk 

WARGA MALAYSIA
Kanak-kanak (7-12 tahun) – RM 3.00
Dewasa - RM5.00

PELANCONG LUAR NEGARA
Kanak-kanak (7-12 tahun) - RM4.00
Dewasa - RM10.00

Alamat dan Maklumat Lanjut





My Instagram