Friday, 24 August 2018

thumbnail

Bermain Tiub Di Riverside Janda Baik, Pahang

Semalam, kami beramai-ramai menuju ke tempat perkelahan pilihan kami sejak dulu lagi.

Janda Baik, Pahang.

Dan lokasi (hampir) tetap kami ialah di Riverside. Seingat saya, kami sudah berulang ke sini semenjak tahun 2010. Setahun mungkin 3-4 kali juga kami merendam badan dalam air sungai yang sejuk.

Kenapa?


  1. Lokasi yang dekat. Kira-kira 45 minit memandu dari Gombak. 
  2. Masih dalam suasana kampung, walaupun sudah semakin banyak pembangunan. 
  3. Kedudukannya di tepi jalan utama sangat memudahkan akses. 
  4. Kemudahan (Riverside) yang hampir lengkap. Ada bilik mandi, tandas, surau dan lain-lain. 
  5. Kadar sewaan pondok juga berpatutan, bergantung pada jenis pondok. Pondok kami berharga RM20 sehari. 
  6. Boleh membuat aktiviti BBQ, barang bawa sendiri. 
  7. Air sungai yang jernih dan cetek sangat mesra kanak-kanak. Riverside sudah agak ke hilir, tapi airnya masih lagi elok untuk mandi-manda. 
  8. Aktiviti "tubing" memang mengujakan anak-anak. Tube ada disewakan oleh pihak Riverside; RM5 per tube + RM5 deposit.


Tips; 


  1. Datang awal sekiranya pergi pada hujung minggu. Kami pernah datang jam 8 pagi dan pondok sudah habis ditempah. Hanya walk-in, tak ada tempahan awal. 
  2. Bawa makanan sendiri. Walaupun ada restoran tapi lebih mudah bawa bekal dari rumah. 
  3. Bawa duit lebih, kalau-kalau ada musim buah. Semalam kami beli durian kampung yang maha-manis-meleceh-yang-amat dengan harga RM12 sekilo. 
  4. Dalam perjalanan balik boleh singgah beli buah berangan madu panggang di belakang R&R Genting Sempah. Manis dan sedap dimakan panas-panas. Tak pasti harga terkini, kali terakhir RM15 sekilo.


Ini video yang saya ambil semalam, anak-anak saya dan sepupu mereka bermain tube.

Pesanan saya untuk bapak-bapak, tak usahlah main tube ni. Takkan maunya bergerak, tersangkut di dasar sungai. Buat modal kena gelak nanti kalau dah dirakam masuk video.

About

Saya juga menulis untuk beberapa blog yang lain dan semuanya dihimpunkan dalam blog utama di http://www.sharulnizam.com