Mendaki Pine Tree Hill & Twin Peak Di Fraser Hill, Pahang Tanpa Rasa Mabuk

“Sharul, aku plan nak mendaki Pine Tree Hill & Twin Peak, Fraser Hill. Ikut tak?”

“Aku ikut!”

Saya menjawab tanpa perlu lagi berfikir-fikir. Peluang mendaki gunung bukan selalu datang. Lagi-lagi yang mengajak ialah Pokme, “malim gunung” berdedikasi serta kesayangan ramai. Kumpulan mendaki Pokme juga, kumpulan yang mesra. Majoritinya anak muda yang berumur 20-an dan awal 30-an, sama bayalah dengan saya. :P

Jadi pada tarikh 31/03/2018, hari Sabtu saya dan 22 orang muda yang lainnya memandu dengan penuh semangat ke Fraser Hill, seawal jam 4 pagi. Kami berkumpul di Kuala Kubu Baru terlebih dahulu, untuk mengisi perut, mengosongkan perut, membeli bekal dan juga sesi "car pooling".

Ini bukanlah kali pertama saya mendaki Pine Tree Hill & Twin Peak (PTHTP). April 2017, saya sudah pun meninggalkan jejak kaki di tanah tinggi bumi Pahang ini.

Juga meninggalkan muntah!

Kah kah kah!

Mendaki Pine Hill & Twin Peak Di Fraser Hill, Pahang Pintu gerbang Pine Tree Trail

MABUK YANG PERTAMA KALI

Saya ingat lagi, bermula perjalanan dari Sungai Buloh (tempat berkumpul) sampailah ke Fraser Hill, saya muntah sebanyak tiga kali. Ya, tiga kali muntah yang mengakibatkan saya kurus sekilo pada pagi hari kejadian.

Punca? Sebab pembawakan budak dalam perut. Dah lima bulan masa tu. Kah kah kah!

Sebab mabuklah. Mabuk naik kereta yang berhimpit-himpit, kemudian jalan mendaki dari Kuala Kubu Baru ke Fraser Hill yang berlekuk-lekuk, ibarat kerengga bunting sedang menari tarian selamat pulang kepada suaminya. Gelek habis!

Saya hampir saja memutuskan untuk berpatah balik, atau menunggu saja di masjid Fraser Hill, atau tumpang saja sesiapa yang mahu ke Kuala Lumpur. Saya benar-benar menjadi insan yang lemah waktu itu, lembik longlai kerana mabuk dan keletihan muntah.

Tiba-tiba.

Tahu-tahu, saya sudah berselfie di pintu gerbang masuk ke trek Pine Tree Hill.

Drama betul!

Bak kata Bos Kamarul (bos Pokme), dapat masuk hutan terus ligat. Hahaha! Sungguh, bila dapat masuk ke dalam trek dengan suasana pagi yang berkabus, terus saja badan menjadi segar.

Cantik oi pemandangan dalam hutan. Segar, nyaman dan memukau. Jarang benar saya tak menikmati suasana hutan, tambah-tambah lagi warna kegemaran saya ialah hijau. Tak hairanlah, kalau "shutter count" kamera saya boleh melonjak ke 300-400 petikan kalau dah masuk ke dalam hutan. Untuk swafoto saja sudah 267 keping.

Maka, selepas saja dimaklumkan Pokme tarikh untuk mendaki, perkara pertama yang saya katakan pada Pokme ialah saya mahu memandu sendiri. Tak kisahlah seorang diri atau berteman, saya tetap mahu memandu sendiri. Sebab saya yakin, kalau saya duduk di belakang stereng kereta saya akan memandu dengan penuh rasa kegembiraan dan bahagia.

MUNGKINKAH MABUK BERULANG KEMBALI?

Akhirnya saya pun memandulah kereta sendiri, ditemani Along (rakan sekerja semasa praktikal tahun 1999, sama dengan Pokme) dan dua orang pemuda harapan bangsa, Junaidi dan Alif.

Dari Gombak ke Kuala Kubu Baru, Alhamdulillah selamat. Dari Kuala Kubu ke simpang Fraser Hill, saya sudah mula rasa sebu. Dari simpang utama ke Fraser Hill (berbaki lagi 5 kilometer), saya kecundang. Entah di celah hutan mana saya hentikan kereta, dan bermulalah adegan terjeluak seorang lelaki berambut putih berperut gendut. Ah! Teringat momen saat mengandung anak sulung dulu. Eh!

Drama di tengah hutan Fraser Hill

Rasa sebu dan mual semakin menguasai,  mujur juga tidak ada isi perut yang keluar. Along mengganti saya memandu, dan saya terkulai di tempat duduk penumpang dengan plastik tersedia di tangan. Manalah tahu, kan.

Alhamdulillah.

Kami sampai di masjid Fraser Hill dengan selamat tanpa sebarang adegan muntah, lalu segeralah kami menunaikan fardu Subuh. Saya kembali pulih perlahan-lahan dan akhirnya bersedia untuk memulakan pendakian. Yeay! Sarapan juga diambil untuk menambah tenaga. Mujurlah kesayangan saya menyediakan seberkas sardin untuk dimakan dengan roti. Sedap.

Terima kasih, mucuk mangi.

DIMULAKAN DENGAN CURHAT SEORANG JURUFOTO

Kami memulakan pendakian dengan senaman ringkas dan bacaan doa memohon perjalanan kami dipermudahkan dan selamat. Juga, moga terselit sedikit sebanyak ibrah menyaksikan keindahan alam Yang Maha Kaya.

Saya, sebagai jurukamera sukarelawan (syok sendiri), seperti biasa bersedia dengan Canon EOS 60D tersangkut di leher. Berat bukan main, mengharap juga leher boleh kembali jenjang setelah sekian lama sama saiz dengan kepala. Kamera telefon juga sedia memulakan tugas merakam video. Kalau habis bateri, power bank ada dicaj penuh dalam beg.

Semangat, kan?

Nampak tak kesungguhan orang ambil gambar sebab minat? Usahanya, kegigihannya, kesengsaraannya, seksa membawa kamera yang berat, hati yang tersiat kala kamera terhentak di batu, dan macam-macam lagi.

Jadi, bila ada yang menggunakan gambar kita tanpa kredit (royalti lagilah tak ada), hati siapa tak kecewa. Tak kisahlah kalau gambarnya pun sejenis melukut di tepian gantang, usahanya yang perlu dilihat melebihi hasilnya.

#donemeratap

Group photo di pintu gerbang Pine Tree TrailMendengar taklimat di pintu gerbang Pine Tree Trail

TIADA GUNUNG YANG TAK DAPAT DIDAKI

Trek di PTHTP ini sedikit kejam. Atau amat kejam. Permulaannya sedaplah, menurun. Kemudian mendaki dan kemudiannya menurun lagi sebelum mendaki hampir 90 darjah.

Sedap, sebab masa ini tenaga masih banyak dan trek menurun ini bolehlah dibuat secara santai, sambil menyanyi lagu Wawasan 2020.

Tunggulah.

Tunggulah bila nak balik. Bila badan dah mula letih, kaki dah mula semut-semut, air dah habis, seluar di bahagian dalam sudah lencun, kamera tiga kilogram dah jadi 28 kilogram. Kemudian trek pula turun naik turun naik. Masa ini kalau nak menyanyi pun, lagu Tudung Periuk Hai Pandailah Menari saja yang sesuai.

Memang masa itulah, kata-kata pujangga mula terngiang di telinga.

"Duduk kat rumah lagi baik!"

Trek ke Pine Tree Hill & Twin PeakTrek ke Pine Tree Hill & Twin Peak 1Trek ke Pine Tree Hill & Twin Peak 2

HIDUP MESTI TERUS

Alang-alang sudah sampai, teruskan saja. Nak menyesal, simpan untuk kemudian hari. Hahaha!

Hari itu, orang agak ramai semasa di permulaan trek, tapi semakin menjarak di pertengahan laluan. Biasalah. Jangan sombong, maniskan mulut bertegur sapa.

Selalunya dalam kumpulan besar, akan ada pecahan beberapa kumpulan kecil berdasarkan kelajuan dan tenaga ahli. Setiap kumpulan ini, akan ada ketuanya sendiri berserta walkie-talkie untuk berhubung sesama kumpulan. Terancang, kan? Sebab itu saya suka dengan kumpulan mendaki ini, Insya-allah langkah berjaga-jaga sudah ada.

Saya, seperti selalu akan berada dalam kelompok kumpulan paling belakang. Kumpulan "sweeper', terma yang diguna untuk memastikan tidak ada individu/kumpulan yang ketinggalan. Dan kumpulan ini selalunya bergerak agak perlahan, tak memerah tenaga.

Selain faktor tenaga muda remaja saya yang semakin merosot, berada dalam kumpulan ini juga memberi peluang untuk saya menikmati suasana dalam hutan. Dapat melihat keajaiban ciptaan Ilahi. Boleh ambil gambar daun, gambar semut, gambar pokok dan gambar diri-sendiri. Barulah dapat bergaya mulut itik muncung lapan inci tanpa segan silu.

Perjalanan baik-baik saja. Kami selamat sampai ke puncak pertama sedikit awal dari tempoh masa yang dijangka. Oleh kerana saya sudah pernah sampai di sini, jadi rasa teruja itu sudah berkurangan. Sama juga bila ke puncak kedua, sudah hampir hilang selera untuk bergambar.

Difikirkan, yang betul-betul memberi kepuasan kepada saya adalah keseluruhan perjalanan mencapai puncak itu. Bukan semata-mata kejayaan memijak kaki di puncak. Banyak yang saya takluki dalam perjalanan ini.


Pertama
“... gayat saya ‘hilang’ semasa mendaki bukit 90 darjah menghampiri puncak pertama. Tinggi juga, mungkin setinggi bangunan tiga tingkat. Saya tak sedar akan hal ini, sehinggalah saya melihat semula gambar-gambar yang diambil.”
Kedua
“... saya sedikit canggung untuk memulakan perbualan dengan orang yang baru dikenali. Tapi aktiviti begini, mengajar saya untuk lebih berani membuka diri dan lebih mesra. Walaupun masih kekok, tapi semakin membaik.”
Ketiga
“... saya menjadi lebih menghargai alam. Gambar-gambar yang mungkin tidak ada nilai pada kebanyakkan orang, sebaliknya mendecapkan rasa syukur dan kagum saya dengan ciptaan syurga dunia ini. Betul. Beleklah tumbuhan kecil yang ada di tapak kaki, nescaya terpegun dengan ketelitian ciptaan-Nya.”


Mendaki di Pine Tree Hill & Twin Peak 1 Mendaki di Pine Tree Hill & Twin Peak 2 Gayat hilang di Pine Tree Hill & Twin Peak Gambar kumpulan di puncak Pine Tree Hill Pemandangan di puncak Pine Tree Hill Geng apak-apak menuju ke Twin Peak Gambar kumpulan di puncak Twin Peak

PULANG DALAM HUJAN TANPA KABUS

Semasa pertama kali ke PTHTP dulu, kami disambut dengan cuaca sejuk dan berkabus. Cuaca sangat baik dari mula hingga ke sudah. Seronok.

Cuma kali ini, cuaca hanya elok cerah sepanjang perjalanan pergi. Dalam perjalanan balik, hujan turun agak lebat. Air menderu turun di laluan, dan tanah menjadi sangat berlecak. Ditambah dengan salah seorang ahli kumpulan yang sudah kekejangan kaki, pergerakan menjadi agak lambat.

Lambat, bukanlah sesuatu yang menyebalkan. Ini juga ibrah. Ini juga satu daripada keseronokan pergi mendaki. Hati sedikit sebanyak terdidik untuk bersabar, punya perasaan simpati dan empati, tidak terburu-buru dan mencipta semangat berkerjasama. Ada yang membantu menghulurkan ubat, air dan sanggup menemankan sehingga ke sudah.

Cantik sekali aturannya.

Kan?Trek Pine Tree Hill - pulangTrek Pine Tree Hill - berkabus

PENGALAMAN YANG MENGAJAR

Kami kembali ke masjid untuk membersihkan badan dan mendirikan solat. Bau baju yang masam bercampur dengan air hujan yang segar, itu adalah kegembiraan. Melihat kasut yang diselaputi lumpur, itu adalah kepuasan. Dan kaki yang goyah untuk berdiri selepas sujud waktu solat, itu anugerah.

Alhamdulillah.

Syukur kepada Yang Maha Pencipta atas peluang melihat dan merasa nikmat alam yang damai. Entah bagaimana aku mahu katakan, kawan. Alam semulajadi itu cantik dan menawan. Selagi ada daya dan upaya, cubalah bersahabat dengan alam.

Nature di sepanjang trek Pine Tree HillNature di sepanjang trek Pine Tree Hill 1Masa dan jarak mendaki Pine Tree Hill & Twin Peak

Baca lagi catatan Hiking & Trekking saya dalam blog ini.

About sharulnizam







Reactions

Post a Comment

0 Comments