Berjumpa Sang Maple Yang Oren Di BMW Museum & Welt, Munich



Dari stadium Allianz Arena, agenda hari pertama kami di bumi Eropah diteruskan ke muzium BMW, satu jenama kenderaan keluaran Jerman (antaranya) yang terkenal di dunia.

Saya, sama seperti di stadium Allianz sebelumnya, tidak terbit rasa teruja. Hahahah! Maksudnya, sama seperti sukan bola yang bukan minat saya, kenderaan juga bukan dalam daftar "minat" saya, tak kiralah berjenama atau tidak.

Naik BMW pun jarang.

Tapi kalau BMW versi Malaysia, saya suka betul. Zaman remaja jerawat batu dahulu memang keraplah naik BMW.

Bas Mini Wilayah.

Best oi! BMW nombor 14, warna merah hati (sebelum buat pembedahan plastik bertukar warna merah jambu!) yang gagah di jalanan.


BMW Museum

Muzium ini terletak di Olympiapark di Munich, Jerman dan mula beroperasi semenjak tahun 1973. Semasa pertama kali saya melihat muzium ini dari seberang jalan, bentuknya kelihatan seperti corong minyak yang kita biasa gunakan di rumah. Kah kah kah!

Rupanya lakaran muzium yang dihasilkan oleh Karl Schwanzer ini memang terkenal dengan panggilan "mangkuk salad" aka salad bowl. Diameternya sekitar 20 meter dan pintu masuknya bermula dari tingkat bawah.

Dengan sedikit bayaran untuk tiket, kami dapat melihat sejarah BMW dari awal hingga sekarang. Ruang pamerannya juga besar, dan berselirat. Hahaha! Sila pastikan tempat permulaan lawatan yang betul. Silap gaya, boleh sesat juga.

Melangkah masuk ke ruang pameran, saya melihat satu persatu rekaan kenderaan BMW dari awal kemunculannya sehingga yang terkini.

Yang moden dan terkini, saya tidak begitu hairan.

Yang saya tilik dan belek, ciptaan awal BMW yang serba terbatas mengikut definasi dunia hari ini,  tapi sebenarnya sudah mencapai kegemilangan pada zamannya.

Saya jadi tertanya bagaimana suasana dunia waktu itu dengan kenderaan yang kurang, dan jalanraya yang lengang.

Tenang, barangkali.

 

Praktikal

Saya melihat kenderaan hanya sebagai medium untuk memudahkan pergerakan dari satu tempat ke tempat yang lain. Canggih atau tidak, itu faktor kedua. Memilih kenderaan bagi saya bukan semata-mata gaya, tetapi memenuhi tanggungjawab dengan adil. Saya berkeluarga, kerap mengembara dalam negeri (jarak jauh), tentulah saya memilih kenderaan yang dapat memenuhi keperluan minimum itu. Jenama, faktor yang entah ke berapa. Harga, itu yang utama. Harga juga perlu berbaloi dengan nilai kenderaan yang dibeli. Sudah dapat apa yang diperlukan, saya bisa hidup bahagia.

Praktikal.

Sedar diri.

BMW Welt

Di seberang muzium, ada bangunan khas untuk mempamerkan keluaran BMW yang terbaru. Ruang pameran ini sangat besar dan moden. Masuk adalah percuma. Kami melihat-lihat dan bergambar, kerana itu sahaja yang kami mampu.

Ya. Saya pasrah.

Menitis juga air liur sebenarnya melihat Mini Cooper yang comel-comel tu.

:(


Berjumpa Sang Maple Si Mohabbatein

Tanpa disangka-sangka, akhirnya saya bertentang mata dengan dedaun yang "melambangkan" Eropah. Hanya di susur laluan jalan kaki antara BMW Museum dan BMW Welt, daun-daun romantis  ikon filem lakonan Shahrukh Khan dan Aishwarya Rai itu bersepah di lantai selepas gugur dari rantingnya.

Saya terpegun.

Benarlah kini saya berada di Eropah.






My Instagram