Kembara Itu Perlukan Komunikasi, Persefahaman Dan Pengorbanan

"Wahai dindaku Milah kesuma jiwa. Kanda mahu berbicara. Marilah ke mari."

"Ya, kandaku sayang. Dinda datang."

"Ah dindaku yang cantik molek. Semakin hari semakin manis, semakin bersinar wajahmu menerangi hati kanda."

"Alah kanda ni, suka nak sakat-sakat dinda. Ada apahalnya wahai kanda gagah perkasa memanggil dinda?"

"Begini, adinda. Kanda mendapat mimpi dan alamat, ada enam buah negara di bumi barat menanti kedatangan seorang raja. Kanda fikir, kanda mahu ke sana untuk memeriksa. Apa kata dinda?"

"Kalau benarlah kanda berdaulat, pergilah. Dinda tak membantah. Urusan keluarga dan istana, pandailah dinda mentadbirnya."



Kah kah kah!

Drama betul.

Ramai juga yang bertanya, saya ke Yurop tempohari dengan siapa? Milah dibawa sama kah? Anak-anak? Tompok dan Chemong? Tok Penghulu? Pegawai Cukai LHDN cawangan Wangsa Maju?

Haih!

Ke Yurop ini, modalnya bukan kecil. Total perbelanjaan seorang (termasuk persediaan awal di tanah air) hampir menyamai perbelanjaan haji secara muassasah. Tahu?

Dan tempohnya bukan sekejap. 12 hari.

Jadi, saya pergi 'seorang' diri. Tanpa Milah, tanpa empat Ha.

"Tak. Pergi sorang je, dan beberapa orang ahli rombongan yang belum dikenali."

"Amboi! Sampai hati tinggalkan Milah."

"Amboi! Sakan. Jangan nakal sangat kat sana. Ingat anak bini."

Begitulah lebih kurang.

Saya senyum saja. Gurauan berkasih, begitulah.

Bincang

Sebenarnya, hal kembara ini sudah tentu ada perbincangan keluarga. Tidak bolehlah semberono ikut suka. Perlu ada kefahaman. Perlu ada persetujuan.

Saya dan puan Milah sudah sepakat. Buat masa ini, kalau mahu melancong atau mengembara ke luar negara, pergilah. Sementara ada tenaga, sementara ada kemampuan, pergilah keluar melihat tempat orang. Hadiah untuk diri sendiri. Masa untuk berehat.

Untuk pergi bersama, kami setuju belum tiba masanya lagi. Anak-anak masih perlukan perhatian, terutamanya si Hafiz yang makin melasak. Seorang pergi, seorang tingg di rumah menjadi mangsa dera anak-anak.

Dan sudah tentu juga, kalau pergi berdua atau sekeluarga, belanjanya lebih besar.

Anak-anak okay?

Kami nasihatkan mereka, cari peluang sendiri. Setakat negara ASEAN, abah dan ummi masih boleh usahakan. Kalau mahu yang lebih jauh, tunggulah bila sudah sampai waktu yang sesuai. Bayangkan kalau bawa Hafiz melihat Sakura di Tokyo, terujakah dia? Abah dan Ummi sibuk mahu beromantis bawah pokok sakura merah jambu, dia merengek mahu pulang makan aiskrim hijau. Huih! Lainlah kalau Gemura tiba-tiba muncul melawan raksasa di tengah bandar, berbaloilah kalau Hafiz ikut sekali. Eh, kenal Gemura tak?

Lagipun nilai kembara itu, mungkin kurang atau boleh jadi tidak ada langsung jika membawa anak-anak berpetualang pada usia begini. Jadi, biarkan mereka lebih matang dan tahu menikmati kembara itu nanti.

Itu dengan isteri dan anak-anak.

Yang penting, yang masih punya abah dan emak, mohonlah restu. Berkali-kali saya 'ingatkan' mak abah supaya tidak lupa mendoakan perjalanan saya dan rakan-rakan baik saja. Hati boleh jadi tenang.

Insya-allah.

Kalau yang tersayang semua sudah mengizinkan, urusan yang lainnya akan dipermudah dan lancar. Itu yang saya yakin dan alami sendiri.

Sudah tentu, doa, jangan lupa. Berhajatlah.

👳

"Hafiz, abah nak pergi main salji lagi boleh?"

Tanya saya selepas beberapa hari pulang dari Yurop.

"Ok. Boleh."

Pendek dan penuh keikhlasan.

Yeay!

Jom.

Ke mana kita lepas ni, kawan?


__________
Sharul
Masih homesick waktu travel, menangis dalam kereta




My Instagram