Terpinga-pinga Di Allianz Arena, Munich Mengharap David Beckham Muncul Di Balik Pintu



Saya bukanlah peminat sukan bola sepak.

Main?

Lagilah ke laut. Memang tak reti. Kaki bangku. Sepak pun sepak jenis "tonjol". Umur sudah mencecah 41 tahun ini pun, undang-undang bola sepak saya masih tak tahu. Entah apa dimaksudkan dengan offside, saya sudah lupa. Dahulu, semasa usia semakin meningkat remaja saya mula menjarakkan diri dari rakan-rakan kerana permainan inilah. Asal petang, main bola. Asal hujung minggu, main bola. Geram betul. Ajaklah main Saidina ke, baling tin ke, sedaplah jugak. Daripada tercongok di tepi padang menjadi tukang kutip bola, eloklah saya balik menonton drama cina pukul enam.

Eheh! Banyak betul alasan.

Tapi itulah. Hujung pangkalnya, saya memang tak minat bola.

Nama pemain bola sepak tempatan yang saya ingat pun, mungkin Subadron Aziz. Itupun sebab dia kahwin dengan Salwa Abdul Rahman. Itupun sebab lagu Salwa yang terkenal tu selalu keluar radio.

"Hanyalah kau
satu satu di hatiku...
Tiada lagi
dua dua...."

Kah kah kah!

Allianz Arena, Munich

Panjang betul pengenalan.

Sebenarnya nak cerita hal stadium bola.

Lokasi pertama kami di tanah Eropah, tepatnya di Jerman ialah stadium bola yang terkenal di kalangan penggemar bola sepak antarabangsa iaitu Allianz Arena.

Saya mengikut saja, tanpa ada perasaan yang benar-benar teruja.

Tapi bila bumbung stadium sudah mula kelihatan dari jauh, saya mula memanjangkan leher untuk mengintai. Oh! Stadium ini. Macam pernah nampak di TV. Ya lah, betul. Stadium yang kelihatan seperti sarang burung ini pernah saya lihat.

Perlahan-lahan rasa mahu tahu itu muncul.

Pada awalnya, pasukan Bayern Munich dan TSV 1860 bergabung mahu mendirikan stadium bola yang baru kerana mereka berpendapat "Watching football should be fun and a great experience for everyone". Tetapi wujud tentangan dan cadangan untuk menggunakan stadium yang sedia ada sahaja, Stadium Olimpik (Olympiastadion, Berlin). Namun setelah mendapat undian persetujuan oleh penduduk Munich melalui satu referendum pada tahun 2001, cadangan membina stadium yang baru di Munich bakal menjadi kenyataan. Rekabentuk stadium ini kemudiannya dilakar oleh jurutera JacquesHerzog dan Pierre de Meuron dari Switzerland dan strukturnya boleh memuatkan 66,000 orang penonton dalam satu-satu masa.

Pada 19 September 2003, kerja pembinaan pun bermula. Dalam tempoh dua tahun, stadium ini siap sepenuhnya pada tarikh keramat 30 April 2005. Majlis rasmi perasmian stadium ini dianjurkan sebulan kemudian pada tarikh 30 & 31 Mei 2005.

Hebat.

Kalau berdasarkan catatan sejarah, stadium ini bukanlah semata-mata bangunan yang kaku. Ianya "hidup" kerana dibina demi meraikan pencapaian pasukan bola sepak Bayern Munich dan TSV 1860. Dan mereka mahu meraikan kejayaan dan kecemerlangan ini dengan penyokong-penyokong yang setia. Sebagai tanda berterima kasih. Dari penyokong, kepada penyokong.

Cantik, bukan?



Stadium Tour

Kami tidak mengambil apa-apa pakej, jadi kami hanya bergentayangan di luar stadium. Sentuh sana, sentuh sini dan bergambar sakan. Dapat juga kami intai sedikit ke dalam stadium dari celahan pintu masuk yang ada. Tercari-cari juga, manalah tahu terserempak dengan pemain bola Bayern Munich yang terkenal, David Beckham tu.

Kah kah kah!



Tidak apa sangat yang boleh diperolehi di sini (sekiranya tidak mengambil pakej). Bijak betul pengurusan mahu menjana pendapatan, kerana mereka tahu bukan sedikit kaki bola yang teruja mahu merasai sendiri pengalaman yang dilalui pemain bola pujaan mereka. Bayar sahaja maka hasrat pun tertunai.

Cuma saya tertanya-tanya, apa fungsinya alat ini ya? Yang dalam gambar ini. Adakah sama yang kau fikir seperti apa yang aku fikir?

Hhuii!!







My Instagram