Api-api Ikan Bakar Di Kuala Perlis Tempat Untuk Menjamu Mata Dan Selera

Kalau ke Perlis atau lebih tepat ke Kuala Perlis, kami pasti mencari ruang untuk menikmati makanan laut gaya utara. Satu ketika dahulu, kami sering ke Lynda Ikan Bakar, tapi kami kemudiannya diperkenalkan sahabat satu kedai makan, yang Insya-allah, menawarkan kepuasan perut.

Restoran Api-api Ikan Bakar.

Tak susah mencari lokasi restoran ini, sudah ada dipetakan dalam Google Map. Klik saja map di bawah;



Tebing Sungai Perlis

Kami tiba di kedai makan ini agak awal, sekitar jam 6 petang. Cuaca petang yang masih panas bagaikan berpakat memarakkan lagi selera makan kami. Kami beruntung sebenarnya kerana lebih kurang setengah jam selepas kami tiba, restoran mula penuh dengan orang ramai.

Beratur untuk memilih ikan pun sudah panjang!

Mungkin faktor cuti sekolah dan hujung minggu. Jadi, pandai-pandailah merancang kalau mahu ke sini. Tak pasti sama ada tempahan awal boleh dibuat. Rasanya boleh, sebab ada meja yang sudah dikhaskan.

Selepas membuat pesanan, kami pun berjalan keliling restoran untuk mengambil gambar. Lokasi restoran ini menarik, betul-betul di tebing Sungai Perlis. Bersebelahan dengan restoran, ada bot-bot nelayan berlabuh yang menimbulkan suasana perkampungan tepi sungai yang menarik. Saya jangka, bila matahari sudah terbenam nanti pemandangannya pasti mengancam!

Hafiz & Ummi Restoran Api-api Ikan Bakar Bot Nelayan Kuala Perlis

Makan Malam Yang Menggiurkan

Hidangan sudah siap. Dengan lafaz Bismillah, kami pun melahap.

Ya Allah Ya Tuhanku!

Masa menaip ini pun sudah berkumpul air liur dimulut dek terbayangkan kesedapan makanan kami petang itu.

Ini menunya:
Ikan Jenahak Bakar
Kepah Masak Cili
Ketam Masak Sambal
Sotong Goreng Tepung
Kangkung Belacan
Nasi Putih
Jus Oren

Puas!

Kepah Masak Cili dan Jenahak Bakar memang "lauk of the day". Sambalnya pedas, sampai licin dikerjakan walaupun mulut menganga luas bagai menghambur api. Jenahak pula lembut, dan sos berwarna kuning itu menambah rasa lemak ikan yang manis. Memang berebutlah kami enam beranak.

Sotong Goreng Tepung?

Mantap.

Hampir semuanya memuaskan perut. Licin.

Berbaloilah dengan harga RM130 (lebih kurang)

Kepah Masak Cili Ikan Bakar & Ketam Sambal Kangkung Belacan

Matahari Terbenam Di Kuala Perlis

Alhamdulillah.

Perut pun sudah kenyang dan hari semakin gelap. Waktu itu matahari sudah semakin tenggelam dan warna petang di Sungai Perlis memancar keemasan.

Aduhai!

Memang terpegun melihat pemadangan yang tenang sebegini. Dengan angin sepoi-sepoi bahasa yang menyegarkan, memang jadi khayal dibuatnya.

Insya-allah, ada rezeki kami akan ke sini lagi.





0 comments:

Post a Comment

My Instagram