Hujung Minggu Bersama Keluarga Di Perdana Botanical Garden, Kuala Lumpur

Sabtu lepas kami sekeluarga ke Botanical Garden, Kuala Lumpur. Nama moden sangat. Walhal nama Taman Tasik Perdana elok saja. Entah apa identiti yang nak ditunjuk pun tak faham.

Haih!

Baru intro dah nak membebel. Perangai pakcik-pakcik sangat. Kah kah kah!

Sabarlah, boi.

Musim cuti sekolah ni, hujung minggu kenalah luangkan masa untuk anak-anak. Terperap di rumah lima hari sebelum hujung minggu, memanglah bosan. Kalau ke mall, memang duit melayang sekelip mata. Jadi, sebagai alternatif kita bawalah ke taman awam yang berhampiran. Oleh kerana Tasik Titiwangsa dalam proses baik pulih, kami lajak saja ke Botanical Garden. Jam 9.00 am baru sampai.

Tenang

Tapi tak mengapa sampai ke sini waktu matahari panas merembang pun. Sebab taman yang maha luas jantung oksigen Kuala Lumpur ini dipenuhi dengan pokok-pokok yang merimbun dan menimbulkan suasana "hutan" yang damai. Betul. Sejuk dan aman. Tempat berehat pun banyak tersedia di sepanjang jalan dan laluan tikus.

Kami mulakan "penjelajahan" kami melalui pintu masuk taman yang berhampiran dengan parkir bertingkat (berhampiran masjid Bukit Aman). Di sini ada kedai cenderamata dan "Herbarium", seakan ruang pameran. Ada juga rumah komik/kartun tetapi tutup sewaktu kami ke sana. Yang ada hanyalah lukisan-lukisan kartun popular tanah air di laman seperti watak dalam Boboiboy, Upin-Ipin, kartun dari majalah Gila-gila dan beberapa lagi.

Hafiz? Sudah tentu tanpa segan silu bergambar dengan Upin Ipin dan Boboiboy. Tapi nampak Yaya, langsung lari. Malu letteeewww nak bergambar dengan perempuan. Menyampah. Bersama BoboiBoyBersama Upin & Ipin

Taman Permainan Kanak-kanak

Kami terus saja ke taman permainan yang sangat berwarna-warni. Ada dua taman permainan di sini, satu lagi betul-betul di hujung taman tapi tak jauh antara satu sama lain. Taman ini agak luas dan pilihan permainan bermacam-macam, jadi tak ada masalah berebut dengan kanak-kanak yang lain.

Cuma ada sedikit musykil.

Sejak bila si Hafiz ni gayat?

Aduh lah! Boleh dia merangkak atas titi mainan tu sebab ada lubang-lubang tembus nampak ke tanah. Bukan tinggi mana pun, tak sampai dua meter agaknya. Pagar pun tinggi. Sudahnya kakak dia yang berdua itulah jadi peneman.

Hafiz gayat

Tram Keliling Taman

Semasa melayan Hafiz yang sudah lencun berpeluh bermain, Umi Hafiz nampak tram yang sedang menunggu penumpang di tepi padang. Rupanya tram ini memang untuk kegunaan pengunjung taman yang mahu mengelilingi tasik dengan cara santai dan tenang. Setelah ditanya diselidik, kami pun dengan penuh rasa kegembiraan naiklah tram ini enam beranak. Tram Botanical Garden Kami naik tram



Sedikit maklumat berkaitan tram;
  1. RM10 dewasa, RM5 kanak-kanak untuk tambang. Tak tau kenapa, kami berdua laki bini saja yang dikira dewasa. Empat Ha dikira harga kanak-kanak. 
  2. Stesen utama terletak dalam taman (berhampiran taman permainan kanak-kanak). 
  3. Boleh turun atau naik di mana-mana sepanjang laluan tram. 
  4. Minimum 20 minit perjalanan. 
  5. Laluan keliling tasik dan sekitar (laluan Planeterium, Muzium Polis, Masjid Negara, Tang Ling). 
  6. Boleh muat 10 - 13 penumpang, bergantung saiz tram. 
  7. Bermula jam 9 am sehingga 5 pm.
  8. Pemandunya akan terangkan tempat-tempat yang boleh dikunjungi sepanjang laluan. Boleh tahu juga harga tiket atau mana tempat yang percuma.
Habis keliling taman dengan tram, kami sambung pula jalan kaki di kawasan sekitar. Sudah tentu, aktiviti bergambar adalah wajib. Cuma lupa nak bawa tripod, jadi gambar abah memang tak ada sangat lah.

:(

Wajah Kesayangan Hamba KamiTaman Tasik Perdana

Oasis Garden

Ini antara taman-taman kecil yang ada di dalam Botanical Garden. Ada banyak lagi sebenarnya, dan perlu ambil masa yang lama untuk melawat semuanya. Untuk kaki hiking, trekking yang dah lama tak masuk ke hutan, Botanical Garden sesuai untuk melepaskan kerinduan. Gituh!

Oasis Garden Nature

Selepas puas jalan keliling, kami pun beransur pulang. Hajat di hati mahu ke Planetarium, katanya percuma. Hehehe!

Parking

Ruangan Parkir Tasik Perdana

Tak dinafikan, antara sebab saya tak membawa keluarga ke taman ini "lebih awal" adalah disebabkan faktor parkir. Slot yang sedia ada (berhampiran taman) sangat terhad. Namun, semenjak tahun lepas (2017) sudah ada ruangan parkir yang lebih besar dan teratur disediakan untuk orang ramai. Ya, berbayar. Sekali masuk (sehari) bayarannya ialah RM4.00. Tak jauh pun nak berjalan ke taman dari situ, mungkin sekitar 200 meter. Parkir ini sangat hampir dengan Panggung Anniversari yang terkenal satu ketika dahulu.

Botanical Garden sangat sesuai untuk aktiviti bersama keluarga. Untuk riadah, untuk piknik dan macam-macam lagi. Pesan saya, jagalah kebersihan taman yang cantik ini. Tak guna kerajaan tempatan berhabis duit mengindahkan taman, tapi kita menjadi pemusnah. Sayangi alam kita.

Oh! Sebelum terlupa.

Jangan lupa bawa bekalan sendiri, terutamanya air minum. Tidak ada jualan di dalam taman ini. Paling hampir ialah kedai makan yang terletak di bangunan parkir.

Ingat tu!





My Instagram