Mencari Mutiara Naga Di Gaya Street, Tiba-tiba Ghaib Ke Pasar Filipina

Hari keempat di bumi Sabah, masing-masing sudah segar setelah mendapatkan rehat yang cukup. Maka, aktiviti utama yakni membeli-belah pun membuka tirai.

Kah kah kah!

Destinasi pertama, ke Jalan Gaya.

Keluarga kusayang

Pasar Minggu Gaya Street

Asalnya saya tidak tahu pasar ini hanya ada pada hujung minggu. Fikir saya sentiasa ada (setiap hari). Memang kebetulan itinerari yang dibuat, hari Ahad kami sudah ada di bandar Kota Kinabalu. Jadi, nasib kami agak baiklah.

Dari hotel (aparment sebenarnya), kami mengambil keputusan untuk menggunakan teksi sahaja. Tidak ada masalah untuk memandu, tetapi yang lecehnya nanti untuk mencari parkir. Tidak mahal pun tambang teksi yang dikenakan, mungkin disebabkan faktor jarak yang sangat dekat.

Dan sampai di pasar, Hafiz pun mula menunjuk perangai, mahu didukung sahaja.

Geram!

Mungkin dia tak suka dengan suasana pasar yang ramai dengan manusia dan "jeritan" orang menjual.

Kami terus berjalan di sepanjang pasar melihat-lihat apa yang menarik untuk dibeli buat cendera hati. Sudah tentu, mutiara Sabah yang terkenal menjadi tumpuan. Oleh kerana mutiara ini lebih kepada hiasan kaum ibu, saya memerhati saja dari jauh sambil melayan karenah si bongsu.

Tak banyak pun yang kami beli, walaupun barang jualan ada pelbagai jenis. Keychain dan tshirt, sudah kami beli semasa di Pekan Nabalu. Harga pun tak banyak berbeza. Lain-lain, tak ada yang benar-benar menarik minat.

Membeli-belah di Gaya Street Barang antik Pasar Gaya

Kuih Cincin

Ini sahaja yang akhirnya kami beli di sini (selain kerongsang mutiara). Kuih ini memang kuih tempatan yang terkenal. Kuihnya besar sedikit daripada saiz kuih Loyang, dan agak keras untuk dikunyah. Rasanya manis dan lemak (tepung), dan sedikit berminyak. Kami memilih yang bersaiz kecil kerana lebih mudah dimakan dan agak rangup.

Kuih Cincin Rabiatul
Sumber gambar; FB Kuih Cincin Rabiatul


Pasar Besar Kota Kinabalu

Dari Gaya Street, kami berjalan kaki menuju ke Pasar Filipina. Sempat juga kami singgah bergambar di Marlin Statue dan Todak Waterfront. Di sini keadaan agak tenang, mungkin hari masih pagi. Banyak bot-bot yang bersusun di sepanjang pantai, saya kira ini sama ada bot nelayan atau bot pelancong ke Pulau Gaya.

Atas faktor keselesaan abah dan mak, kami tak ke Pulau Gaya seperti mana itinerari kebanyakkan orang kalau ke Kota Kinabalu. Elok juga, kerana kalau ke sana pun minimum setengah hari perlu diluangkan. Lagipun kalau ada aktiviti luar sebegitu, badan cepat penat.

Kami teruskan berjalan ke pasar yang sering disebut ramai, tahu-tahu kami sudah sampai ke pasar yang sebenar-benar pasar, Pasar Besar Kota Kinabalu. Keliru juga mulanya, kerana kami sangka inilah pasar Filipina.

Sempat juga kami membelek-belek barang jualan di sini dan mak pun sempat membeli ikan bilis mata biru. Tak tahu kenapa ikan bilis mata biru ini memang menjadi pilihan mak-mak. Semasa ke Pangkor dulu pun, ikan bilis ini yang dibeli.

Marlin Statue Kota Kinabalu Waterfront Ikan Bilis Pasar Besar Kinabalu Makanan Laut Kering Warna-warni pasar Menuju ke pasar

Pasar Filipina

Pasar Filipina ini betul-betul bersebelahan pasar besar. Dan pasar ini bukanlah pasar basah (menjual ikan, udang dan seumpama), sebaliknya lebih menyerupai tempat membeli-belah di Rantau Panjang, Kelantan. Kedai-kedai dibina rapat antara satu sama lain dan barang jualan yang melimpah ruah tersedia untuk dipilih oleh pengunjung.

Sekali lagi, kerongsang mutiara menjadi pilihan.

Saya pula memilih beg "telekung" untuk Hanim dan Hanis sebagai kenangan. Haris tak berminat apa-apa pun, seperti saya.

Untuk Hafiz?

Aiskrim dah cukup.

Selesai membeli-belah, kami langsung pulang ke hotel. Sekali lagi kami menggunakan teksi. Kesian abah dan mak yang nampak agak keletihan berjalan agak jauh seharian.

Lega masing-masing sudah dapat menunaikan hasrat untuk membeli-belah.

Topi Sabah Pasar Kraftangan

ITINERARI 5H4M KUNDASANG-KOTA KINABALU, SABAH
(Senarai lengkap aktiviti selama 5 hari di Sabah, Malaysia)






Reactions

Post a Comment

0 Comments