Apa Itu Mengayau? Carilah Jawapannya Di Muzium Sabah

Pulang dari membeli-belah di Pasar Pagi Gaya Street dan Pasar Filipina, abah dan emak sudah keletihan. Selesai makan tengah hari dan solat, kesayangan saya yang berdua itu baring berehat dan sudah tak mahu ke mana-mana lagi.

Begitu juga Hafiz, sudah meragam mahu tidur. Memang sudah waktunya untuk melelapkan mata.

Ummi Hafiz pula katanya ada sahabat mahu datang melawat. Jadi, mahu duduk di rumah sahaja menunggu dan berborak.

Saya?

Dengan tiga orang "askar" yang masih lagi cergas bertenaga, bersiap-siap mahu ke Muzium Sabah! Berpandukan Google Map, kami pun memandu di bandar Kota Kinabalu dengan tenang.

Pada era moden Muzium Sabah ditubuhkan pada 15 Julai 1956. Muzium ini terletak di tingkat dua sebuah premis perniagaan di Gaya Street atau kini dikenali sebagai Kota Kinabalu. Kemudian ia berpindah ke tingkat tiga Mahkamah Nosmal; turut menduduki tingkat dua. Antara koleksi penemuan adalah wasiat George C. Wolley, iaitu pentadbir Syarikat Berpiagam yang berkhidmat dalam British North Borneo sejak 1901 - 1932.

Pada tahun 1984, Muzium Sabah telah berpindah ke sebuah kompleks muzium baharu yang terletak di Istana Lama, Jalan Penampang. Muzium Sabah bernaung di bawah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.


Muzium ini terbahagi kepada beberapa bahagian; Bangunan utama, Pusat Sains & Teknologi, Ethnobotanical Garden dan Kampung Warisan. Kami hanya sempat ke bangunan utama dan Kampung Warisan.

Muzium Sabah

Muzium Utama

Bangunan dua tingkat ini menyediakan maklumat negeri Sabah, dan sudah tentu tentang sejarah penduduknya yang berbilang kaum serta kehidupan flora dan fauna yang sangat pelbagai. Ketika kami di sana, ruang legar muzium ini terisi dengan rangka tulang ikan paus yang sangat besar. Tak pasti dari mana rangka ini diperolehi, kerana ini bukan tarikan utama bagi saya. Kerana saya ke sini untuk berkenalan dengan penduduk Sabah.

Seronok!

Itu yang boleh saya katakan apabila melihat bahan pameran menceritakan adat dan budaya yang pelbagai. Saya khayal melihat baju-baju tradisional baik untuk lelaki mahupun perempuan. Asas pakaian rata-rata berwarna hitam, tetapi jalur hiasan dan pakaian sampingan seperti tanjak sangat berwarna-warni.

Eh! Mengayau?

Huuuu! Itu tradisi lama yang sudahpun menjadi sejarah. Mengayau atau bahasa mudahnya, potong kepala! Alamak, seram lah pula. Ada tengkorak yang bergantungan di sepanjang laluan, ada juga "parang" yang digunakan untuk aktiviti memburu digantung di ruang pameran. Seram pun, takut pun tapi tetap masih mahu membaca adat dan budaya masyarakat lama ini.

Budaya Mengayau di kalangan masyarakat Kadazandusun dipraktikkan secara meluas sehingga kedatangan pentadbiran Syarikat Berpiagam Borneo Utara.

Umumnya, budaya ini terbentuk daripada pertelingkahan darah yang mengakibatkan kematian yang kemudiannya menjadi peperangan antara puak.

Tengkorak-tengkorak yang diperolehi melalui budaya mengayau ini adalah menjadi warisan pusaka yang diwarisi dari satu generasi ke satu generasi.


Kami tak lama di dalam muzium kerana ingin ke lokasi seterusnya, Kampung Warisan.

Replika Mengayau Dalam Muzium

Kampung Warisan

Kami tersesat ke laluan yang agak jauh sebelum tembus ke kampung warisan, walhal untuk ke sana ada lorong di belakang kedai cenderamata muzium. Sudahlah tersesat, laluannya pula agak sunyi dan diapit pokok-pokok yang tebal. Dan-danlah masa tu terbayang apa yang dibaca tadi; mengayau!

Lari!

Hehehehe!

Kami empat beranak akhirnya sampai ke Kampung Warisan, yang bagi saya ia seperti suasana Mini Malaysia. Ada beberapa buah rumah yang dibina dan di bahagian dalam rumah, selain hiasan yang mencontohi rumah asal, ada juga jualan cenderamata berupa hasil kraftangan orang tempatan. Rumah-rumah ini terjaga rapi (bagi saya) dan suasana yang dilengkapi dengan pohon merimbun dan tasik kecil menimbulkan suasana yang nyaman.

Kami bergambar sepuasnya.

Sewaktu menuju ke bangunan utama, kami melintasi laluan yang bertiti gantung. Pendek sahaja, tetapi menarik untuk merasa dan dibuat kenangan.

Mini Sabah Hakka House Rumah Tradisi Adik-beradik Kaki Kayu Sumandak Gombak Titi Gantung

Pusat Sains & Teknologi

Kami tak sempat masuk ke bahagian ini, tetapi sempat bergambar dengan beberapa kenderaan lama dan galeri keretapi yang dipamerkan di bahagian luar. Replika keretapi lama juga menarik dan dihias cantik.

Galeri Keretapi Jesselton Keretapi Kereta antik

Waktu Operasi & Tiket

Harga Tiket;
RM 2.00 (Warganegara) / RM 15.00 (Bukan Warganegara)

Waktu Operasi;
9.00 am - 5.00 pm (Setiap hari)

Alamat;
Locked Bag 2015 88566 Kota Kinabalu Sabah, Malaysia
Telefon: (+60) 088 – 225033
Faks: (+60) 088 – 240230
Emel: Muzium.Sabah@sabah.gov.my
Laman web: http://www.museum.sabah.gov.my


Untuk saya, muzium ini berbaloi untuk dilawati. Selain murah (dan parkir percuma), maklumat yang dihidangkan juga menambah ilmu pengetahuan. Saya memang sukakan perkara-perkara berkisar adat dan budaya, dan sebenarnya saya mengharapkan ada juga buku-buku (novel) yang ditulis menceritakan warisan nenek moyang yang tak patut hilang ditelan arus kemodenan.

Dan jangan kekok membawa anak-anak, kawan. Mungkin "melawat muzium" itu kedengaran membosankan, tapi itulah cara kau mahu mengenalkan mereka dengan asal-usul diri dan masyarakat.

ITINERARI 5H4M KUNDASANG-KOTA KINABALU, SABAH
(Senarai lengkap aktiviti selama 5 hari di Sabah, Malaysia)




My Instagram