Perkelahan Tahun Baru Di Riverside, Janda Baik

"Esok pergi berkelah, nak?"

Kata saya pada kekasih dunia akhirat yang berlesung pipit. Manis.

"Hah? Betul ke?"

"Ya lah. Lagi pun barang sekolah budak-budak semua dah siap, kan? Kita pergi pun setengah hari saja."

Ya.

Begitu saja rancangan spontan kami untuk berkelah pada hari cuti tahun baru. Sudah tentu, lokasinya dekat saja dengan rumah. Sungai yang menjadi pilihan kami anak-beranak semenjak abahnya masih belasan tahun lagi.

Janda Baik, Pahang.

Hanya 45 minit memandu dari Gombak.

Jam 7.00 pagi, kami bertolak enam beranak menuju ke Riverside, Janda Baik.

Riverside, Janda Baik



Ini lokasi pilihan kami semenjak awal tahun 2000-an lagi. Semenjak kami beranak seorang, sehinggalah sudah empat hari ini. Dahulu, kami menyelit saja di celah-celah jalan untuk mandi sungai di Janda Baik. Kadang-kadang, betul-betul di hadapan rumah orang.

Tapi bermula tahun 2008 saya kira, kami sudah kekal memilih Riverside, Janda Baik.

Kenapa?

  1. Lokasinya yang betul-betul di tepi jalan. Mudah akses.
  2. Pondok yang disediakan (untuk sewaan harian) juga memudahkan untuk pengunjung berehat. Kadar sewa yang berpatutan (bergantung pada jenis pondok). Ada kaunter untuk BBQ.
  3. Sungainya yang agak lebar dan mesra kanak-kanak. Walaupun bahagian sungai ini sudah agak ke hilir, tetapi masih bersih dan jernih (kecuali hujan). Paling dalam pun, separas lutut orang dewasa.
  4. Boleh tubing dengan sewaan pelampung RM 5 sebuah.
  5. Ada kemudahan asas seperti surau dan bilik air.
  6. Ada juga kedai jualan, tetapi tak pernah kami cuba kecuali kedai jualan Apam Balik.

Dahulu, boleh juga membuat tempahan awal. Sehari atau seminggu sebelum, saya akan menghubungi Pak Husin empunya Riverside. Lama-kelamaan orang sudah semakin ramai, maka tidak ada lagi tempahan melainkan "siapa cepat dia dapat". Hujung minggu sentiasa penuh, apa lagi kalau musim cuti sekolah atau cuti awam yang panjang.



Pondok No 8

Kami ada beberapa pondok yang menjadi pilihan. Pondok nombor 8 lah yang paling selalu disebabkan kedudukannya di bawah pokok. Jadi dalam pondok terasa sejuk. Yang tak seronoknya ini kawasan laluan utama juga. Orang lalu-lalang agak kerap.

Juga, pondok ini ada "laman" dengan kerusi meja batu. Yang menjadi kegeraman kami, tiba-tiba saja ada orang duduk di situ waktu kami sibuk mandi-manda. Bukanlah tak boleh, tapi main redah macam itu saja kita memanglah sakit hati. Entah bayar atau tidak, itu pun satu hal juga. Boleh hilang selera berkelah jadinya.

Sarapan dari rumah Pondok No 8

Mandi-manda

Seawal jam 9 pagi, anak-anak sudah masuk berendam ke dalam sungai. Itu pun lepas ditegah kerana hari masih pagi dan sejuk. Tapi kalau dengan budak-budak, terutamanya si Hafiz, memang itu sajalah dia zikirkan sampai ummi abah dah tak larat dengar.

Sejuk?

Sangat!

Air yang segar datang dari hutan dan suasana yang redup, memanglah airnya sejuk sampai menggigil seluruh badan nak berendam. Saya yang lemak tebal ini pun tak tahan. Tapi budak-budak? Bibir sampai dah naik biru pun tak mau naik juga. Jadi, pandai-pandailah kawal anak. Si Hafiz entah berapa kali kami umpan naik ke pondok dengan jajan. Itupun ada hati nak bawa makan di sungai.

Rutinnya macam itulah.

Mandi.

Makan.

Tubing.

Sampai jam 1 petang, barulah abahnya turun mencemar sungai. Kah kah kah! Sempat juga melayan tube menunjuk skill pada orang-orang yang ada di sepanjang tebing sungai. Sudah bermain beberapa kali, jadi pengalaman sangat membantu.


Empat beradik Hafiz Siblings Empat Hanim & Hafiz

Keluarga

Riverside memang menjadi pilihan kami sekeluarga setakat hari ini. Bukan kami saja yang ke sini, sudah ramai saudara dan rakan-rakan yang kami kenalkan dengan Riverside. Kalau ada kad keahlian MLM untuk Riverside, agaknya kami sudah berada di puncak piramid. Hahahaha!

Insya-allah, nanti mahu rancang percutian bermalam di sini. Mahu mandi-manda sampai kecut, kemudian waktu malam BBQ di tepi sungai dan pagi esoknya, berendam lagi bersuka-ria bersama anak-anak.









My Instagram