Cerita Panjang Encik Sharul Mendaki Gunung Telapak Buruk & Gunung Berembun Di Jelebu

Pewai!

Pancit!

Mental koyak!

Akhlak rosak. Eh, tiber!

Mungkin cerita yang saya bakal kongsikan ini bunyinya berlebih-lebihan, malahan penuh dengan drama tak terbayang akal. Tetapi percayalah. Ia berlaku.

16 Februari 2019 mencatat kenangan ngeri dan penuh tragis seumur hidup saya. Merobek perasaan, menyentap jiwa. Tak sanggup saya ulangi lagi.

Ok. Itu bunyi seperti drama.

Kah kah kah!

Asalnya kami mahu ke Gunung Nuang (via Janda Baik), tetapi atas sebab tertentu urusan mendapatkan permit ada sedikit kesukaran. Jadi, kami beralih ke Gunung Telapak Buruk dan Gunung Berembun di Jelebu, Negeri Sembilan sebagai ganti.

Saya tak pernah mendengar nama kedua-dua gunung ini walaupun letaknya tidak jauh pun dari Lembah Kelang, menandakan sebenarnya di Malaysia ini memang sangat banyak gunung untuk ditawan.

Sudah tentu, tanpa segan silu saya memberi nama untuk menyertai ekspidisi ini. Kali terakhir saya mendaki gunung ialah bulan Ogos 2018, mendaki Gunung GAP dan Gunung Ulu Semangkuk di Kuala Kubu Bharu. Sudah enam bulan, manalah kaki tak jadi merenyam-renyam.

Di tapak Crash Site, Gunung Telapak Buruk

4.30 am | Bertolak Ke Masjid Kariah Pantai

Saya hanya seorang diri memandu dari Gombak. Haris yang selalu menemankan saya, ada perkhemahan pula di sekolah. Rakan-rakan pula ada urusan masing-masing. Maka dalam hening subuh saya memandu seram-seram berani di lebuh raya LEKAS. Lebuh raya pun sunyi, mulalah terbayang yang bukan-bukan. Kereta seven-seater, hanya saya seorang diri, di lebuh raya yang sepi dan gelap, apa lagi yang boleh kau bayangkan dalam fikiran? Tak kanlah nak bayangkan cendol durian? Tak senonoh betul.

Sejam lima minit kemudian, saya sampai di Masjid Kariah Pantai tempat untuk kami berkumpul. Alhamdulillah, selamat. Rakan-rakan sepergunungan juga sudah sampai kumpulan demi kumpulan. Selesai solat Subuh, kami bergegas ke kedai di sebelah masjid untuk membeli sarapan. Oleh kerana mengejar masa, sarapan pagi kami bungkus saja untuk dimakan di atas gunung. Nasi lemak berlaukkan telur goreng mata kerbau, seketul ayam dan beberapa biji kuih tradisional menjadi pilihan saya.



7.00 am | Lapor Diri Di Balai Polis Pantai

Mengikuti prosedur yang ditetapkan, kami menyerahkan senarai nama peserta mendaki kepada pegawai bertugas Balai Polis Pantai. Jadilah pendaki yang bertanggungjawab, kawan. Jangan ambil mudah dan remeh dalam hal-hal sebegini.

7.30 am | Naik Lori Dari Loji Rawatan Air Pantai / Berembun Trailhead

Oleh kerana kami memilih "trek satu hala" bermula dari Gunung Telapak Buruk dan berakhir di Berembun, kereta kami parkirkan di Loji Rawatan Air Pantai dan sebuah lori akan mengangkut kami seramai 24 orang terus ke tapak permulaan. Loji ini akan menjadi penghujung trek kami nanti.

"Kau nak duduk depan ke belakang, Sharul?"



Tiba-tiba Pokme melontar soalan yang saya tak terfikir pun. Walhal, saya sudah teruja mahu memanjat lori berkumpul beramai-ramai di belakang. Sudah lama saya terbayang-bayang momen itu semenjak dimaklumkan kami bakal menaiki lori.

Soalan Pokme mematahkan semangat. Tetapi akhirnya saya akur dengan saranan beliau. Saya duduk di hadapan bertiga bersama pemandu dan Nash.

Kenapa saya perlu di depan?

Kerana dikhuatiri saya mabuk. Jalan dari loji ke Gunung Telapak Buruk berkelok-kelok, mudah benar untuk orang pemabuk seperti saya hilang pedoman. Rakan-rakan mendaki sudah maklum akan rahsia sulit saya yang terdedah ketika mahu mendaki ke Pine Tree Hill & Twin Peak tempoh hari.

Benar, saya mungkin saja akan muntah sekiranya perut saya sudah berisi sarapan pagi itu. Jalan tidaklah begitu berkelok dan lori hanya dipandu perlahan. Tetapi masih terasa ayunan dan goncangan lori ke kiri ke kanan ke atas dan ke bawah, pemangkin untuk saya mengeluarkan isi perut.

Untuk ini, saya berterima kasih kepada Pokme.



9.10 am | Bertolak Dari Menara Telefon Gunung Telapak Buruk

Kami tiba di tapak permulaan trek selepas hampir satu jam setengah di dalam lori. 30 minit yang pertama melalui jalanraya biasa, selebihnya mendaki gunung melalui jalan sempit dan berlubang-lubang. Katanya ada lima menara di puncak gunung ini, dan hentian kami tak pasti di menara yang ke berapa. Kami segera bersarapan, kemudian membuat sedikit senaman regangan badan dan yang wajib, memanjatkan doa agar pendakian kami ini bermanfaat dan dipermudahkan.

Bismillah.



Pagi yang masih berkabus tebal dan sejuk melancarkan perjalanan. Hanya selepas beberapa minit, badan sudah mula berpeluh dan kabus pun makin menipis. Cahaya matahari pagi pun sudah mula menikam muka dan menerangkan lantai rimba Gunung Telapak Buruk.

Tidak ada apa yang sukar di sini. Semuanya baik sahaja, maklumlah tenaga masih banyak. Cuma yang saya perasan, trek di sini agak sempit kalau saya boleh bandingkan dengan trek di Gunung Angsi.

Saya seperti biasa, berada dalam kelompok sweeper. Berada di belakang, dan bersantai-santai sambil bergurau senda dengan kawan-kawan seperjuangan. Saya berkenalan dengan Anura dan Ayu, walhal sebelum ini kami sudah pernah mendaki bersama. Pokme, seperti biasa melaksanakan tugas malim gunung dengan setia. Abang Azhar juga ada, dan dua tiga orang rakan baru trip kali ini.



11.00 am | Crash Site (2,550 meter)

Akhirnya kami tiba di Crash Site pada kedudukan kilometer 2.55. Bermula dari trailhead Gunung Telapak Buruk, hampir pada setiap jarak 50 meter akan ada penunjuk jarak yang ditampal pada pokok. Sangat jelas terlihat jadi sangat mudah dijadikan panduan untuk setiap pendaki.

Apa ada di Crash Site?

Pada 23 Ogos 1945, kapal terbang Royal Air Force B-24 Liberator yang berlepas dari Cocos Island jatuh terhempas di puncak gunung ini semasa menghantar bekalan (juga maklumat perang dunia sudah tamat) kepada pejuang negara yang masih berada di dalam hutan waktu itu. Kejadian ini berlaku hanya beberapa hari selepas Perang Dunia Ke-2 tamat. Pada mulanya, kapal terbang yang memuatkan lapan orang kru ini disangkakan hilang di lautan. Tidak ada sebarang indikasai masalah yang diterima.

Dipercayai pada tahun 1950 sudah ada laporan berkaitan penemuan kapal terbang ini tidak begitu jelas tidak ada tindakan pun yang diambil. Lagi pula tahun itu komunis masih berleluasa. Hanya pada tahun 1991, bangkai kapal terbang ini sekali lagi dilaporkan dijumpai oleh sekumpulan orang asli. Sekali lagi, tidak ada tindakan yang diambil sehinggalah tahun 2006.

Pada tahun 2009, sukarelawan dari Britain dan Malaysia menggali dan mengeluarkan sisa kapal terbang yang ada, termasuklah mayat lapan orang kru yang terkorban. Mereka kemudiannya dikebumikan di Cheras War Cemetry, Kuala Lumpur pada tahun 2012.

Sumber; https://www.atlasobscura.com/



Kami bergilir-gilir turun ke bawah, memandangkan masing-masing tak mahu menggalas beg. Tak jauh pun, sekitar lima minit sudah sampai ke tapak kapal terbang terhempas. Masih boleh nampak badan, tayar dan sebahagian enjin yang terbenam ke tanah. Kami pun bergambar dengan penuh kegembiraan sebagai satu lagi "unlocked achievement".

Ironi.

Kami "bergembira" dengan tragedi puluhan tahun lampau yang mengorbankan lapan nyawa. Entah bagaimanalah nasib mereka di saat nyawa bakal berpisah dengan badan. Hanya selepas 67 tahun "terperam" di dalam hutan, barulah jasad mereka dikebumikan dengan sempurna. Saya sendiri, sakan bergaya ala-ala Shahrukh Khan mendendangkan lagu Gerua di atas kapal terbang.

Gerua Bangkai Royal Air Force B-24 Liberator Di atas kepak kapal terbang

Agaknya, perangai tak semenggah saya itu menjadi punca diserang makhluk yang menyeramkan!

Allahu.

Waktu saya mahu balik ke tempat berkumpul, saya pun sempat menjeling ke seluruh badan terutamanya bahagian kaki. Mahu memeriksa agar tidak ada entiti liar yang mengikut rapat. Kerana, sebelum saya meninggalkan tapak kapal terbang terhempas itu, saya duduk mencangkung di aliran anak sungai untuk mengambil gambar. Saya teringat kebanyakkan komen/coretan blog yang saya baca tentang trek gunung ini, pacat menjadi topik perbincangan hangat dan sentiasa diperdebatkan. Tempat lembab adalah habitat subur golongan penghisap darah ini dan saya berada agak lama di anak sungai itu.

Tali air

Saya periksa kaki sebelah kanan, tidak ada apa-apa yang meragukan. Tali zip poket yang terletak di bahagian peha beralun-alun mengikut langkah kaki, mengelirukan juga. Tapi saya sudah sedia maklum itu hanya tali zip.

Saya periksa sebelah kiri.

Tak ada apa-apa juga.

Eh!

Sekejap.

Sebelah kiri seluar saya, mana ada poket di bahagian peha. Tak ada poket, tak adalah zip. Tapi, kenapa ada tali zip yang bergoyang-goyang ke kiri ke kanan, dan semakin lama semakin laju menuju ke atas?

Maaaaaaaaakkkkkk!!!!!!

Ada pacat!!!!

Tolongi aku bunda, aku gak rela diketit pacat!!!

Bulu kuduk saya meremang. Bulu tangan terpacak. Mata saya membuntang besar, namun ketampanan saya masih terjaga. Eh! Saya berjoget-joget kegelian. Entah rentak zapin, entah rentak inang. Rasanya lebih menjurus ke rentak raver. Ligat. Makin saya berjoget, makin rancak pula pacat itu ke ke kiri ke kanan. Pacat itu, gila ke apa? Kenapa nak menari juga? Kau nak ke mana laju-laju tu, syaiton?

Besarnya lah pacat ini, ya ampun. Pacat kalau besar-besar hujung batang lidi, saya beranilah nak jentik atau tenyeh. Tapi yang ini, panjangnya bagai seekor ular sawa Caucassian dan besarnya seperti batang pokok kelapa bunting pelamin.

Ok.

Itu melampau.

Yang jujurnya, pacat ini sangat besar dan panjang. Seingat saya, ukurannya mungkin sama atau lebih dari panjang jari manis orang dewasa. Besarnya? Mungkin sebesar kabel caj telefon. Gemuk gedempol, spesis BMI Obesiti.

Jadi, kau ingat aku berani?

Mujur waktu saya sedang tergedik-gedik berlawan menari dengan pacat yang kerasukan itu, ada rakan sekumpulan yang berdekatan. Sementara mendapatkan pertolongan, saya tolak pacat itu dengan hujung lensa kamera. Saya tolak ke kiri, dia elak ke kanan. Saya tonyoh ke kanan, dia menepis ke kiri. Geramnya lah aku! Belajar Taek-wan-do ke pacat ni? Saya pasti, dia sedang menyeringai penuh kesumat kerana bila-bila masa saja dia akan sampai ke bahagian perut saya yang gebu. Nampak jelas di mata pacat itu berbinar-binar mengenang makan tengah harinya yang lazat.

"Aummcak! I am coming to you! Jaga Cik Sharul jaga, saya datang ni."

Eh, setannya perangai. Acah-acah Sarip Dol lah pula.

Zaaasssss!!

Sekejap itu juga si penghisap darah yang rakus itu disingkir dari peha saya. Jeritannya kedengaran sayup hiba seperti Luke Skywalker yang baru tahu ayahnya ialah Darth Vader. Entah tercampak ke mana, saya tak ambil peduli. Saya sudah trauma, bayang-bayang makhluk tak bertulang itu sedang bergentayangan tetap segar dalam ingatan. Cepat-cepat saya periksa bahagian badan yang lain, dan segera saya lari ke tempat berkumpul.

Ngeri!

Kau gelaklah, gelak. Nanti pusat kau kena nyonyot dengan pacat ni, barulah kau tau langit tinggi ke rendah.

Di tapak berkumpul, saya menghilangkan kengerian tadi dengan makan sebungkus Kit Kat dan lima teguk air Revive.

Bermula dari saat itu, asal berpeluang saja dalam diam saya mula memeriksa badan agar tidak ada entiti panjang-yang-anjal-berwarna-hitam-coklat bergayutan.

Selepas menghabiskan masa sekitar satu jam di sini, kami pun bertolak ke check point seterusnya iaitu puncak Gunung Berembun.

Selamat tinggal, Telapak Buruk.

Selamat tinggal, Pacat Skywalker!



1.15 pm | Puncak Gunung Berembun

Kami sampai ke puncak Gunung Berembun dalam tempoh satu jam 20 minit dari Crash Site. Oleh kerana sudah tengah hari, kami ambil keputusan untuk makan tengah hari di sini. Meriah dengan makanan, jadi Insya-allah tak kelaparan. Rezeki menjadi "abang kamera" yang tak bertauliah, saya mendapat hidangan spagheti yang mengenyangkan.

Terima kasih.

Di sini walaupun namanya "puncak", pemandangan sekeliling masih hutan. Tidak ada suasana puncak seperti di Bukit Kutu, Gunung Ulu Semangkuk ataupun Gunung Datuk. Yang ada hanyalah beirut yang selalunya memang diletakkan di puncak gunung. Jadilah, untuk dijadikan "bukti".

Jam 2 petang, kami pun mengemas barang dan berangkat ke destinasi seterusnya. Bermulalah perjalanan yang paling menyeksakan dalam hidup!

Farid makan Puncak Gunung Berembun

3.15 pm | Pewai Ke Gua Kambing

Saya tak pernah sepewai ini. Mental koyak. Semuanya rasa menyakitkan hati. Selama satu jam lebih, trek hanya menurun dengan kecerunan yang agak curam. Entah, mungkin sekitar 60-70 darjah. Kaki saya menggigil-gigil cuba menampung badan setiap kali mahu melangkah ke bawah. Rasa nak menangis itu tak ada lah. Kalau dah sampai menangis, memang teruk sangatlah. Tapi rasa sangat menyebalkan. Mendengus serupa naga jantan sakit sembelit. Lepas belok, turun lagi. Lepas turun, turun lagi. Macam tak ada henti.

Dada jadi sesak.

Kurma entah berapa kali saya makan, agar sentiasa bertenaga.

Air, macam tak berhenti minum. Mujur saya bawa dua botol.

Beg yang tak berisi banyak barang pun, terasa sangat berat.

Kamera DSLR dengan tele-lense, memang membebankan. Mahu saja saya campak biar hancur terhempas ke bumi.

Akal sudah mula tidak waras.

Penanda jarak yang melekat di pokok pun saya "carut"kan. Jarak setiap 50 meter, rasanya bagai tak kunjung sampai. Rasanya sudah seperti empat tahun saya berjalan dari kedudukan 5,250 meter, rupanya baru sampai jarak 5,300 meter.



Apa ni?

Atau ini sumpahan dendam amarah sang pacat yang kempunan tadi?

Waktu tiba di Gua Kambing, saya sudah sangat lelah. Ada air sungai yang jernih, saya siramkan ke kepala agar segar. Kami berehat hanya seketika, kerana perlu segera ke checkpoint berkumpul seterusnya iaitu di Lata Berembun.

Saya fikir, saya sudah ok.

Tapi rupanya semakin terseksa.

Saya dicadangkan oleh Pokme untuk memasang muzik di telefon, untuk mengalihkan tumpuan.

On.

Tapi sakit hati juga.

Lagu-lagu yang ada semuanya sedih belaka. Hal-hal kecewa, hal-hal putus cinta. Gila apa, tengah penat begitu yang berkumandang lagu Enggan nyanyian Fauziah Latiff. Eh! Nak kena rejam ke telefon ni?

Nasyid? Zikir? Surah-surah pilihan? Rupanya sampai sekarang saya tak simpan di dalam telefon. Selama ini saya hanya dengar secara terus dari radio online ataupun Youtube. Semenjak tukar telefon, saya tak habis lagi memindahkan fail lama, terutamanya folder MP3.

Arghhh!

Sampai satu anak sungai, saya sudah terduduk. Kamera yang berat di leher, saya masukkan ke dalam beg. Pisang, saya makan dengan penuh paksaan. Sudah ada rasa mahu muntah, tapi saya tahan. Ada lagi cebisan kewarasan saya untuk bersabar dan bertenang untuk mengembalikan tenaga.

Penanda jarak sudah menunjukkan 7,000 meter. Terdengar deruan bunyi sungai. Hati jadi teruja, tapi kemudian terus-menerus kecewa kerana sungai masih tak nampak kelibat.

Kecewa.

Mujur saja ada Pokme dan abang Azhar yang masih setia menemankan.

Saya melangkah perlahan-lahan.



4.45 pm | Lata Berembun

Alhamdulillah.

Pada kedudukan 7,700 meter, bagai hilang semua berat yang terpikul.

Tak tahu bagaimana lagi mahu saya terangkan betapa leganya kala terlihat rakan-rakan lain (kumpulan depan) sedang berehat-rehat di tepi sungai. Allahu. Dengan kaki yang semakin sakit, saya perlahan-lahan menuruni tebing tinggi dan berkumpul bersama mereka. Saya duduk melunjur kaki, dan kasut saya yang setia saya lucutkan satu persatu.

Sambil berdoa agar tidak ada pacat yang menumpang dari Crash Site tadi. Alhamdulillah, makbul.

Kami kemudiannya menunaikan solat Zohor dan Asar di bawah rimbunan pokok hutan dan diiringi deburan air sungai yang merdu.

Tenang. Aman.

Saya panjatkan doa dalam diam, syukur kerana diberi kekuatan untuk meneruskan perjalanan. Syukur masih sihat dan waras.

Dan saya tak menunggu lama untuk melompat masuk ke dalam sungai yang sangat jernih dan menggoda. Perlahan-lahan, tubuh letih saya tenggelam dalam air Lata Berembun. Penat saya sedikit demi sedikit menghilang, rasa sakit hati yang menyucuk juga gugur perlahan-lahan.

Cantik betul ujian hari ini.

Sesudah penat dan kelelahan mental, saya dihadiahkan pula dengan aliran sungai yang benar-benar memberi nikmat.

Ini juga pengajaran hidup, wahai Sharul.

Permulaannya bersemangat, perjalanannya cantik. Tapi tanpa sedar ujian datang bertandang. Hati mula berbolak-balik, ragu dengan kemampuan sendiri. Menyesal, marah mula bercampur-aduk dan semangat pun semakin pudar. Namun tuhan tak akan membiarkan kita hanyut kalau kita masih teguh mencari petunjuk dari-Nya. Ditiupkan kekuatan, dihadirkan pula orang-orang yang kuat menyokong dan membantu. Nah, kejayaan akhirnya muncul di depan mata.

Cantik.

Sangat.

Air Terjun Berembun

5.45 pm | Selamat tinggal, Lata Berembun

Setelah puas berehat, mandi, makan dan minum tiba masa untuk berangkat. Katanya ada kurang lebih dua kilometer lagi sebelum sampai ke garisan penamat. Dengan semangat yang sudah diperbaharui, rasanya sudah gagah untuk menghadapi apa jua yang melintang di hadapan.

Kecuali pacat.

Heh!

Lata Berembun, Jelebu

6.55 pm | Tamat

Alhamdulillah. Kami sampai ke Loji Rawatan Air Pantai dengan selamat tanpa ada sebarang kecederaan yang serius. Selesai bergambar, kami kemudian bersurai menuju ke R&R Seremban untuk membersihkan badan, solat dan makan malam.

Jam 9.00 malam, kami begerak pulang ke rumah masing-masing.

Terima kasih Telapak Buruk dan Berembun untuk kenangan yang berwarna-warni.

Loji Rawatan Air Pantai

Video

Seperti biasa, saya sertakan video sepanjang perjalanan dari Telapak Buruk - Crash Site - Puncak Berembun - Gua Kambing - Lata Berembun - Loji Rawatan Air Pantai.






0 comments:

Post a Comment

My Instagram