Mencari Runtuhan Banglo Lama Di Bukit Kutu, Kuala Kubu Bharu

Sudah dua kali sebenarnya saya mendaki Bukit Kutu. Sekali pada tahun 2017, kemudian tahun 2018. Dan pada tahun 2019 barulah saya berkesempatan mahu mencatat pengalaman itu di dalam blog.

Kah kah kah!

Acah-acah sibuk dengan kehidupan dunia yang fana.

Baik.

Saya ceritakan saja pengalaman yang lebih terkini, iaitu pada tahun 2018.

Mendaki Bukit Kutu, Kuala Kubu Bharu

Bukit Kutu, Kuala Kubu Bharu

Ini maklumat ringkas perjalanan kami.
Jarak; 14 km (pergi balik)
Masa; 8 jam
Ketinggian; 1090 meter (3456 kaki)
Tarikh; 3 Mac 2018 (Sabtu)

Kalau mendaki Bukit Kutu atau pun Gunung GAP dan Gunung Ulu Semangkuk (GUS), memang kami akan berkumpul di Masjid Jamek Ar-Rahimah di Kuala Kubu Bharu terlebih dahulu untuk solat Subuh. Kemudian terus saja ke Restoran Fazlina Maju yang berhampiran untuk sarapan. Ada kedai runcit dan 7-11 juga di sini, jadi boleh lah membeli bekalan yang bersesuaian untuk dibawa mendaki. Ada antara kami juga tinggalkan kereta di sini untuk "car pool". Risiko, tanggung sendiri. Insya-allah, setakat hari ini belum ada kejadian yang tak diingini berlaku.

7.30 pagi | Parkir di Perkampungan Orang Asli Pertak

Kalau tak silap, bayaran sebanyak RM 3 per kereta dikenakan untuk parkir. Kami tiba agak awal, jadi tak ada masalah untuk meletakkan kenderaan berbanding tahun 2017. Siap, kami pun berjalan menuju ke trek permulaan (jambatan gantung) dan rutin biasa tak kami lupakan. Sedikit senaman meregangkan badan, diiringi doa memohon keselamatan, kemudahan dan keinsafan sepanjang pendakian.

Lokasi; Parking Bukit Kutu

Trek ke Bukit Kutu, Kuala Kubu Bharu 1 Trek ke Bukit Kutu, Kuala Kubu BharuBergerak menuju ke Bukit Kutu

8.00  pagi | Mula

Cuaca sangat cantik pagi itu untuk kami memulakan perjalanan. Oleh kerana ini kali kedua saya ke sini, elemen "kejutan" pada laluan trek itu sudah tidak ada tetapi rasa teruja dengan suasana alam tetap menggebu-gebu.

Saya seperti selalu, memilih untuk berada dalam kumpulan "sweeper". Kumpulan ini kalau dalam aktiviti trekking biasanya seperti marshall dalam acara lumba basikal. Tugasnya memastikan tidak ada ahli kumpulan yang tertinggal di belakang. Saya, masuk ke hutan mahu menimati alam. Dan sudah tentu, mengambil gambar. Kudrat juga, biasa-biasa saja. Jadi, sesuai sangat berada dalam kumpulan belakang yang lebih santai. Pemasaan yang saya catat ini memang berdasarkan kelajuan tim sweeper.

Perlahan, tapi sampai. Insya-allah.

Trek ke Bukit Kutu, Kuala Kubu Bharu 2 Trek ke Bukit Kutu, Kuala Kubu Bharu 3 Trek ke Bukit Kutu, Kuala Kubu Bharu 4

Abang Haris, hilang lesap dengan kumpulan depan. Kalau nak bergambar dengan dia ni, sama ada sebelum memulakan perjalanan atau pun di puncak nanti.

Selepas 15 minit, kami perlu menyeberang sungai buat kali ketiga. Dua yang pertama ada jambatan, yang ketiga ini perlu diranduk. Eloknya, bukalah kasut. Perjalanan masih jauh dan kasut yang basah boleh membuatkan langkah tidak selesa. Lagi-lagi kalau kaki melecet. Sakit oi!

Setengah jam yang pertama, trek masih lagi santai dan luas. Trek mendaki akan bermula selepas menyeberang sungai yang keempat.

Bersedialah.

Meredah sungai di Bukit Kutu, Kuala Kubu Bharu

8.30 pagi | Mendaki

Untuk satu jam seterusnya, trek agak memacak naik. Dengan beg yang dikendong dan kamera DSRL tergantung di leher, saya menghela nafas berat setiap kali menapak. Berat. Memang sudah tahu itu lumrah mendaki, mahu mengeluh pun tak ada guna.

Menapak 20 langkah, lima kali kamera dijepret merakam gambar untuk kenangan.

Gambar pokok. Gambar daun digigit ulat bulu. Gambar buah-buahan hutan. Gambar cahaya matahari di balik daun. Gambar kawan-kawan yang berjejehan air peluh. Gambar diri sendiri yang berlagak gagah perkasa paksa-paksaan.

Ini semua, harta karun yang murah tapi tidak terbanding nilai sentimentalnya satu hari nanti.

Mendaki Bukit Kutu, Kuala Kubu Bharu Berehat sebelum meneruskan pendakian Bukit KutuTrek mendaki Bukit Kutu Alam semulajadi di Bukit Kutu Alam semulajadi di Bukit Kutu 2Alam semulajadi yang mendamaikan di Bukit Kutu

Gua Batu Tedung, Bukit Kutu

Jam 10.00 pagi, kami sampai di Gua Batu Tedung. Rupa gua ini menjelaskan sebab namanya sebegitu. Gua ini agak luas, dan bumbungnya menjulur ke luar dan berbentuk seperti kepala ular tedung yang sedang kembang. Tapi pertama kali saya melihat "ular tedung" ini, rupanya lebih mirip kepada ikan pari. Heheeh! Kan lebih elok dinamakan ikan pari. Nama ular tedung ni, meremang bulu roma.

Bayangkan.

"Oi! Aku nampak dah ular tedung!"

Jerit kawan kau di depan. Dan sepantas itulah kau lari lintang pukang menuju kota metropolitan Kuala Lumpur mahu menyelamatkan diri.

Kah kah kah!

Kami berehat seketika di sini, sebelum menyambung pendakian.

Gua Batu Tedung, Bukit Kutu Gua Batu Tedung, Bukit Kutu 2

11.30 pagi | Tiba di puncak Bukit Kutu

Akhirnya, kami tiba ke puncak. Abang Haris sudah berehat-rehat dengan ahli kumpulan laju yang lain.

Kawasan puncak ini ada satu dataran agak luas. Di sini boleh nampak dengan jelas bekas cerobong dapur yang katanya dibina ketika British menjajah Malaya. Tak jauh dari situ pula ada satu perigi yang masih lagi berfungsi namun sudah dipenuhi sampah. Saya yakin, itu kerja pendaki yang pendek akal!

Cuma yang menjadi kehairanan saya, kenapa orang-orang British sanggup bersusah payah mendaki sejauh ini (bayangkan zaman dahulu dengan teknologi serba terbatas) untuk membina kediaman (ataupun kem tentera)? Walhal, zaman itu pasti hutan lebih tebal dan jalan juga belum dirintis. Bukan di sini saja. Sama seperti Fraser Hill, Cameron Highland dan beberapa tempat lagi. Kata orang, mereka mahu mencari tempat yang sejuk seperti tanah air mereka (England), sebab itulah mereka naik ke tanah tinggi. Bunyi seperti lucu, tapi ada kemugkinan benar juga. Kan?

Wallahualam.

Ketinggian Bukit Kutu, Kuala Kubu Bharu Pemandangan dari puncak Bukit Kutu Pemandangan dari puncak Bukit Kutu 2 Runtuhan banglo Bukit Kutu, Kuala Kubu Bharu Perigi lama di Bukit Kutu, Kuala Kubu Bharu

Seperti pendakian saya sebelum ini, kami kemudian mendaki bukit kecil di sebelah dataran ini untuk bergambar. Ada satu batu besar yang boleh didaki untuk melihat keliling Bukit Kutu hampir 360 darjah, tapi tak beranikah saya naik ke situ.

Gayat.

Biar abang Haris saja yang naik.

Abah hanya mampu bergambar di bawah saja.

Tangga ke puncak Bukit Kutu Anak dan bapak di Bukit Kutu, Kuala Kubu Bharu Model Bukit Kutu

Bukit Kutu Ruins

Kali pertama ke sini dahulu, saya tak sempat ke runtuhan banglo yang terletak kira-kira 5-7 minit berjalan dari dataran. Taklah jauh sangat, jadi kami ke sana untuk melihat sendiri apa yang ada.

Memang jelas sekali ada struktur binaan rumah di sini. Ada pintu, ada tangga. Kelihatan sedikit "spooky", tapi kalau dah ramai di situ jadi meriah lah pula. Kami pun bergambar, ala-ala model tersungkur di pintu dapur.

Bergambar di Bukit Kutu Ruins 2Bergambar di Bukit Kutu Ruins Bergambar di Bukit Kutu Ruins 3Bergambar di Bukit Kutu Ruins

1.45 petang | Turun

Setelah puas bergambar dan perut pun sudah diisi mengembalikan tenaga, kami pun mula turun balik ke tapak permulaan. Tidak banyak berhenti kali ini, kami terus saja mahu segera menamatkan pendakian. Lagi-lagi, hari sudah mula hujan ketika kami sampai di Gua Batu Tedung. Mujur ada baju hujan, selamat lah kamera dan bag daripada lencun.

Trek turun Bukit Kutu

4.00 petang | Mandi dan solat

Kami tiba di parkir lebih laju berbanding semasa mendaki. Itu biasalah, kalau tidak ada apa-apa yang menghalang. Sempat kami bersihkan diri di sungai menghilangkan bau peluh. Air agak keruh disebabkan hujan yang turun, dan kami bermain di gigi air sahaja risau kalau-kalau ada "kepala air" yang muncul.

Ini gambar kami berendam dalam sungai selepas mendaki tahun 2017.

Mandi sungai di Bukit Kutu, Kuala Kubu Bharu Mandi sungai di Bukit Kutu, Kuala Kubu Bharu 2 Mandi sungai di Bukit Kutu, Kuala Kubu Bharu 4

Selesai mandi dan solat, kami kembali berkumpul di Kuala Kubu Bharu untuk menikmati cendol yang sangat sedap di seberang Masjid Jamek ar-Rahimah.

Saya makan dua mangkuk, kawan.

Penat mendaki tadi perlahan-lahan menghilang, diganti dengan rasa puas yang tak tertanggung.

Bukit Kutu, nanti kita jumpa lagi.



Ini ada video kami semasa mendaki Bukit Kutu.








Reactions

Post a Comment

0 Comments